Rabu, 29 Mei 2013



PACA NIGHT DAP DUN MENGLEMBU





Selasa, 28 Mei 2013

Isnin, 27 Mei 2013

Cabar Palanivel Buktikan 1500 Kerusi Matrikulasi Untuk Anak India


Kenyataan Media YB V.Sivakumar 
Ahli Parlimen Batu Gajah & 
Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh 
pada 26 Mei 2013


Cabar Palanivel Buktikan 1500 Kerusi Matrikulasi
Untuk Anak India



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan 1500 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India di seluruh negara bagi tahun 2012. Adakah beliau telah menunaikan janji tersebut? Setakat ini tidak ada apa-apa bukti yang ditunjukkan oleh kerajaan berhubung dengan perkara ini. Tetapi sering kali pemimpin-pemimpin BN menyebut tentang pemberian 1500 tempat matrikulasi ini dalam ucapan-ucapan dan melalui media massa. Kenyataan-kenyataan yang dibuat itu tidak disahkah kerana kesahihannya masih boleh dipertikaikan. 

Ramai yang berpendapat bahawa pemberian 1500 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India itu adalah satu janji kosong yang dibuat semata-mata untuk mempengaruhi masyarakat India kerana PRU13. Samada 1500 orang pelajar India telah mendapat manfaat ini atau pun tidak, masih merupakan satu tanda tanya dalam hati masyarakat India. Tidak ada guna hanya membuat pengumuman tetapi tidak membuktikan samada janji itu ditunaikan atau pun tidak. Oleh yang demikian, kerajaan harus bersikap tanggungjawab untuk membuktikan bahawa 1500 orang pelajar India telah ditawarkan kerusi matrikulasi pada tahun 2012. 

Kerajaan tidak sepatutnya memberi apa-apa alasan untuk melarikan diri daripada janji ini. Adalah wajar untuk kerajaan menunjukkan semua bukti bahawa tidak berlaku penipuan dalam hal ini. 

Presiden MIC G. Palanivel juga beberapa kali menyebut perkara ini dalam media massa. Beliau meyakinkan orang-orang India bahawa Perdana Menteri telah menunaikan janji memberi 1500 tempat matrikulasi kepada pelajar-pelajar India. Oleh kerana itu, beliau meminta kaum India memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN dalam pilihanraya yang lepas. Mungkin juga ramai di kalangan kaum India telah menyokong BN kerana isu ini. 

Kalau apa yang dikatakan olen G. Palanivel itu betul, beliau harus membuktikannya supaya masyarakat India tidak tertipu lagi. Saya mencabar Presiden MIC G. Palanivel untuk mendedahkan senarai keseluruhan 1500 tempat matrikulasi yang diberikan kepada pelajar-pelajar India.

BN Perak Kalah Undi Popular, Hilang Sokongan Majoriti




Kenyataan Media YB V.Sivakumar 

Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak
pada 25 Mei 2013 di Kampung Bahagia, Teluk Intan 

(Program Ceramah PAS  'Tipu PRU' di Dataran Pemuda PAS, Taman Bahagia, Teluk Intan)


BN Perak Kalah Undi Popular, Hilang Sokongan Majoriti

Kemenangan BN di Negeri Perak bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Walaupun dengan pelbagai penipuan pilihanraya dan tekanan politik, PR masih berjaya memenangi 28 kerusi berbanding dengan BN yang menang 31 kerusi. SPR telah bersekongkong dengan BN untuk memastikan kemenangan di negeri Perak. SPR telah sedaya upaya berusaha selamatkan BN daripada dikalahkan oleh PR di negeri Perak.

Walaupun PR berjaya memperolehi undi popular 55% rakyat Perak tetapi kalah dalam bilangan kerusi DUN. Ini menyebabkan BN menubuhkan kerajaan negeri walaupun hanya mendapat undi 45% pengundi Perak. Ini membuktikan sesuatu yang tidak kena dengan sistem pilihanraya yang kita amalkan di negara kita. Keputusan PRU13 telah mencalar sistem demokrasi,  di mana suara rakyat majoriti tidak didengar.

Walaupun undi lebihan PR di Perak adalah lebih daripada 100,000 tetapi ianya tidak diterjemah kepada kemenangan PR. Ini adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius. Rakyat Perak telah ditipu dengan strategi yang dihitung dan dicorakkan semata-mata untuk menambahkan jumlah kerusi tanpa mempedulikan hasrat rakyat yang sebenar.  Kerajaan BN Perak adalah rapuh dan dibentuk dengan jumlah undi yang terlalu kecil daripada 2 kerusi yang dimenanginya iaitu Lubok Merbau 53 undi dan  Manjoi 132 undi. Jika kita hitungkan  undi kedua-dua kawasan itu ialah 185 sahaja. Ini bermakna Kerajaan BN Perak hari ini dibentuk dengan 185 undi sahaja berbanding dengan undi popular PR yang melebihi 100,000. Dalam kata lain, rakyat Perak telah tertipu apabila BN menubuhkan kerajaan dengan cara yang tidak adil tanpa mendengar suara rakyat majoriti.

Sabtu, 25 Mei 2013

MASIH TERPINGGIR DI BAWAH PROGRAM MYDAFTAR



Kenyataan Media Oleh 
YB V. Sivakumar,
Timbalan Pengerusi DAP Perak,
Ahli Parlimen Batu Gajah



pada 24hb Mei 2013 di Ipoh,

‘MASIH TERPINGGIR DI BAWAH PROGRAM MYDAFTAR’

Masalah taraf kewarganegaraan diketahui masih menjadi satu fenomena bertahun-tahun lamanya di kalangan kaum India di Malaysia. Ribuan masyarakat kaum India selama ini masih dalam keadaan menggapai tangan untuk mendapatkan kad pengenalan biru dan juga taraf kewarganeraan mereka daripada Kerajaan Malaysia.

Proses untuk mendapatkan kad pengenalan biru adalah masih susah sehingga seringkali permohonan ditolak oleh pihak JPN. Jika diperhatikan, masalah ini hanya melanda masyarakat kaum India. Ratusan pendatang yang baru memasuki Malaysia pula cepat mendapat taraf kewarganegarran Malaysia. Isu taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan biru bagi kaum India di Malaysia masih belum selesai dan merupakan janji kosong kerajaan Barisan Nasional.

Salah satu perkara yang perlu disalahkan adalah pimpinan MIC yang tidak mempunyai mekanisma teratur bagi memastikan proses taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan biru diberi dan diiktirafkan kepada masyarakat kaum India. Apabila sahaja ada isu bangkit, pada masa itulah MIC akan mengadakan program-program yang tidak memberikan manfaat tetapi hanya mengaburi mata rakyat Malaysia.

Saya berpendapat bahawa program MyDaftar tidak memberikan penyelesaian terhadap masalah ini. Terdapat banyak birokrasi yang perlu ditangani dan masalah ini wajar diselesaikan 100%. Cara yang paling efektif adalah memudahkan mekanisma untuk meluluskan permohonan-permohonan yang diterima oleh pihak JPN.

Saya juga beranggapan terdapat beberapa pihak tertentu yang sengaja tidak mahu meluluskan permohonan-permohonan yang diterima dengan memberi alasan remeh seperti dokumen-dokumen tidak lengkap, tidak memenuhi syarat dan sebagainya, hanya untuk menolak pemberian kad pengenalan atau pengiktirafan kewarganegaraan.

Seorang yang bernama Muniandy A/L Munusamy, 63 tahun, telah beberapa kali memohon untuk mendapatkan kad pengenalan biru. Baru-baru ini beliau telah menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Negara pada 10 Mei 2013. Kandungan surat itu menyatakan bahawa permohonan beliau tidak berjaya di bawah syarat Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan keputusan ini adalah muktamad. Dalam pada itu juga, surat itu menyatakan bahawa jika pemohon masih berminat, boleh kemukakan permohonan baru dan mencukupi syarat-syarat permohonan. Soalannya, jika sesuatu keputusan itu telah dimuktamadkan, bolehkah ia dibincangkan semula?

Permohonan Encik Muniandy ditolak berdasarkan syarat-syarat dalam Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan di mana ke semua syarat Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan telah menepati permohonan Encik Muniandy untuk memdapatkan kad pengenalan biru. Jadi, kenapakah permohonan Encik Muniandy telah ditolak?

Saya meminta pihak JPN untuk memberikan penjelasan lengkap terhadap kes permohonan yang telah ditolak ini.

Di sini, saya juga mencabar Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Waythamoorthy, bahawa beliau harus berikan fokus dan selesaikan semua kes kad pengenalan merah dalam tempoh 100 hari.

Salah satu daripada janji Pakatan Rakyat di dalam Manifesto jika Pakatan Rakyat menjadi Kerajaan Persekutuan adalah akan menyelesaikan masalah-masalah kad pengenalan merah dalam masa 100 hari.

Memandangkan kononnya Waythamoorthy akan membela nasib kaum India, adakah beliau akan menyahut cabaran saya ini dan menyelesaikan masalah kad pengenalan merah mereka?

Khamis, 23 Mei 2013

KEJAYAAN  PR  PERAK 
DIHALANG.






JUMPA  PENGARAH  JPS  BERHUBUNG
MASALAH  BANJIR  SIPUTEH.






Rabu, 15 Mei 2013

Najib Tuduh Orang Cina Untuk Menutup Kelemahan 1Malaysia



Kenyataan Media V.Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Perak 
di Pulau Pangkor pada 10/5/2013
Najib Tuduh Orang Cina 
Untuk Menutup Kelemahan 1Malaysia
Konsep 1Malaysia yang diwar-warkan oleh Najib telah ditolak oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tidak menerima 1Malaysia kerana pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sendiri tidak mendokong konsep 1Malaysia dengan rela hati. Barisan Nasional menggunakan 1Malaysia untuk mengaburi mata rakyat terutamanya kaum bukan Melayu untuk mendapatkan sokongan mereka. Slogan retorik itu mungkin telah sedikit sebanyak menawan orang luar bandar yang tidak mempunyai pendedahan kepada media alternatif. Golongan ini termakan gula-gula Barisan Nasional seperti BR1M dan sebagainya.
Walau bagaimanapun golongan yang lebih arif terutamanya dari kalangan penduduk bandar dan separa bandar telah menolak Barisan Nasional dan 1Malaysia. Golongan ini lebih peka kepada maklumat dan perkembangan politik negara kita dan antarabangsa. Golongan ini juga mahu melihat satu perubahan di negara ini. Isu-isu remeh seperti perkauman tidak dipedulikan. Mereka mahu melihat satu kerajaan yang bersih dari rasuah dan kronisme. Mereka mahu supaya sistem dua parti direalisasikan di negara ini supaya kuasa monopoli Barisan Nasional dapat dikawal. Ini rata-rata akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Barisan Nasional bukan hanya hilang sokongan pengundi Cina, malah semua kaum telah menolak Barisan Nasional dalam PRU13. Untuk menutup kelemahan Barisan Nasional dan kegagalannya untuk mencapai prestasi yang baik, Najib Tun Razak cuba memutar belitkan isu dengan menuduh kaum Cina. Najib telah membuat percaturan yang salah dengan menyalahkan satu kaum yang sangat berjasa dan berkorban untuk tanahair ini.
Tanpa sokongan orang Melayu dan India sudah tentu Pakatan Rakyat tidak boleh memperolehi jumlah undi yang begitu banyak. Pakatan Rakyat juga telah menang banyak kawasan-kawasan di mana jumlah pengundi Melayu adalah lebih besar daripada pengundi bukan Melayu. Ini adalah satu bukti kukuh bahawa bukan sahaja kaum Cina malah seluruh rakyat Malaysia telah menolak Barisan Nasional dan menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU13.
Sudah tiba masa untuk Barisan Nasional berhenti permainan politik perkauman. Rakyat sudah muak dan benci dengan politik perkauman yang semakin melampau. Barisan Nasional akan hilang sokongan semua kaum jika tidak berhenti permainan politik kotor ini. Barisan Nasional mahu tuduh kaum cina untuk menutup kekalahannya yang lebih teruk daripada PRU12. Tuduhan seperti ini dapat mengambarkan isi hati pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang sebenarnya menanam tebu dibibir dengan melaungkan slogan 1Malaysia.

Selasa, 14 Mei 2013







TALIAN  TELEFON   BIMBIT  NGA  DICURI  DAN  DISALAHGUNAKAN.