Selasa, 7 Disember 2021

SOP Melumpuhkan Sambutan Thaipusam 2022

Kenyataan Media V.Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah pada 7 Disember 2021 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia



Pagi ini saya telah menanyakan soalan mengenai SOP sambutan Hari Thaipusam di Dewan Rakyat dalam sesi Masa Pertanyaan-pertanyaan Menteri. Saya membangkitkan isu ini kerana pihak kuil-kuil yang terlibat, penganut-penganut dan semua pemegang taruh harus membuat persediaan awal untuk menyambut perayaan itu pada 18 Januari 2022.

Menteri di Kementerian Perpaduan Negara YB  Datuk Wira Halimah telah memberi jawapan kepada soalan saya di Dewan Rakyat. Beliau memberitahu bahawa sambutan Thaipusan adalah dibenarkan pada tahun hadapan. 

Beliau juga menjelaskan bahawa sesi libat-urus telah diadakan dengan wakil 10 buah kuil yang menyambut Thaipusam  di seluruh negara. Beliau berkata, mesyuarat juga telah diadakan dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Negara dalam merangka SOP baru bagi sambutan perayaan tersebut. 

Secara asasnya SOP berkaitan dengan perayaan ini telahpun disiapkan. Beliau menunjukkan dokumen SOP itu di Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun, SOP berkenakan akan dimuktamadkan setelah berbincang dalam 2 lagi mesyuarat yang dijadualkan pada  bulan ini. 

Beliau juga telah mengumumkan bahawa perarakan kereta berhias iaitu ‘Ratham’ atau ‘Chariot’ adalah tidak dibenarkan dalam sambutan Thaipusam 2022. Beliau menegaskan sebarang bentuk perarakan yang dianjurkan oleh mana-mana agama adalah tidak dibenarkan di bawah SOP yang telah dirangka. 


                  V. Sivakumar 

Saya percaya SOP ini dirangka demi keselamatan rakyat. Walau bagaimanapun, jika kerajaan tidak memberi kebenaran untuk perarakan ‘Kavadi’ dan ‘Ratham’ , maka sambutan perayaan Thaipusam adalah tidak signifikan lagi. Sambutan Thaipusam yang dicadangkan adalah seolah-olah sembahyang  biasa yang diadakan di kuil.  

Saya rasa amat pelik dan terkejut dengan SOP yang diberitahu oleh Menteri Perpaduan Negara. Pilihanraya Negeri Melaka telah diadakan pada bulan lalu. Pilihanraya Sarawak pula akan diadakan pada bulan ini. 

Stadium bolasepak boleh  dipenuhi dengan peminat-peminat dan penyokong-penyokong. Pasar malam boleh dikunjungi oleh ribuan orang. Pusat-pusat membeli belah dan ‘Food Court’ pula boleh dipenuhi oleh ratusan pelanggan. Pelbagai pelancaran dianjurkan dalam keadaan bangunan tertutup. Semua ini boleh dibenarkan oleh kerajaan dengan SOP yang sedia ada. 

Tetapi, perarakan terbuka secara sederhana sempena sambutan perayaan Thaipusam pula tidak dibenarkan. Saya melihat kecacatan yang serius dalam SOP ini. 

Saya juga meminta Menteri Perpaduan  Negara samada pihak kuil dibenarkan untuk membuka gerai-gerai sementara sempena sambutan Thaipusam. Ini akan memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil untuk mencari sedikit sebanyak keuntungan dalam keadaan tekanan hidup yang semakin mendesak. 

Dalam pada itu, pihak kuil juga boleh menghasilkan pendapatan melalui hasil sewaan gerai-gerai tersebut. Kuil-kuil ini telah hilang pendapatan sejak bermulanya pandemik Covid-19. Tetapi, SOP yang diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara telah melumpuhkan lagi sambutan Thaipusam 2022. 

Apabila perarakan tidak dibenarkan, pastinya jumlah pengunjung ke kuil akan menjunam. Maka, isu penyewaan gerai-gerai sementara adalah tidak rasional dan praktikal lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan