Rabu, 15 Disember 2021

Batalkan Kaedah Pentafsiran Sekolah Bercorak Diskriminasi


Perbahasan V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2022, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 13 Disember 2021 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia 

Kaedah Pentafsiran sekolah berdasarkan kategori  band 1 hingga band 6 adalah tidak rasional. Saya berpendapat bahawa pengkelasan sekolah mengikut kaedah ini akan memudaratkan lagi sistem pendidikan negara kita. 

                       V. SIVAKUMAR 

Sekolah dalam kategori band 1 dikatakan berada pada tahap berprestasI tinggi, manakala sekolah dalam kategori band 6 pula dianggap sebagai sekolah yang lemah dan berprestasi paling rendah. 

Bukankah kaedah pengkelasan seperti ini boleh meruntuhkan semangat guru-guru dan murid-murid di sekolah band 6? Dalam pada itu, Ibubapa juga akan memilih sekolah dalam kategori band 1 untuk menempatkan anak-anak mereka. Ibubapa mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik daripada sekolah yang terpilih. 

Justeru, sekolah band 6 hanya menerima anak-anak murid yang lemah dan lembab tahun demi tahun. Ini tidak akan membantu sekolah itu memulihkan kedudukannya. 

Saya berpendapat pengkelasan seperti ini bukanlah satu mekanisme membina malah boleh membinasakan seluruh sistem pendidikan kita. 

Semua guru-guru yang ditempatkan di setiap sekolah adalah pegawai pendidikan yang mempunyai kelayakan ikthisas dan ditempatkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Oleh itu, adalah tidak wajar untuk mentafsirkan tahap sekolah seperti ini kerana ia akan memberi gambaran  seolah-olah terdapat kelemahan pada para guru yang mengajar di sekolah band 6. Disamping itu, imej sekolah berkenaan juga akan terjejas. Ini akan memberi kesan jangka masa yang panjang untuk memperbetulkan keadaan. 

Saya mencadangkan supaya kaedah pentafsiran sekolah berdasarkan sistem ‘band’ ini dibatalkan segera oleh Kementerian Pendidikan Malaysia supaya setiap sekolah di negara kita diberi layanan yang sama rata oleh pihak kerajaan mahupun masyarakat secara umumnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan