Khamis, 16 September 2021

SOALAN DEWAN RAKYAT


TUAN SIVAKUMAR VARATHARAJU NAIDU minta MENTERI KESIHATAN menyatakan secara terperinci apakah tindakan-tindakan yang diambil apabila seseorang yang diuji itu didapati COVID-19 positif. Nyatakan prosedur-prosedur kuarantin bagi orang yang dijangkiti dan keluarganya sebagai tindakan pengawalan yang berkesan.
                       V. Sivakumar 

JAWAPAN MENTERI KESIHATAN

Yang di Pertua,

Terdapat tiga cara seseorang itu boleh menjalani ujian COVID-19 samada melalui ujian kendiri atau ujian di fasiliti kesihatan kerajaan atau di fasiliti kesihatan swasta. Keputusan ujian ini perlu di kunci masuk (key in) ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA). Seterusnya keputusan ini akan masuk ke dalam sistem MySejahtera. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) membuat verikasi dan pengesahan maklumat peribadi termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor talian yang boleh dihubungi serta kontak rapat ke atas kes-kes positif. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai kapasiti untuk mengasingkan kes-kes ini di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC), kes-kes yang tidak bergejala (kategori 1) atau bergejala ringan (kategori 2), diasingkan (isolation) di rumah atau di tempat kediaman, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342], 1988. Mereka ini diberi Home isolation Order (HIO) secara maya. Kes-kes ini seterusnya diarah untuk memantau diri sendiri setiap hari dalam aplikasi Mysejahtera. Pihak PKD boleh memantau keadaan mereka melalui dashboard di PKD masing-masing. Prosedur pemantauan secara maya ini dipanggil Virtual COVID-19 Assessment Centre (CAC). Sekiranya mereka mengalami gejala teruk semasa diisolasi di rumah atau di tempat kediaman, mereka dikehendaki menghubungi pihak PKD atau CAC fizikal atau terus menghubungi ambulan untuk ke hospital.

Sebaliknya ada beberapa negeri masih mempunyai kapasiti untuk membuat pengasingan kes-kes positif COVID-19 di hospital atau PKRC. Kes-kes positif ini akan diarah untuk pergi ke CAC secara fizikal. Terdapat dua jenis CAC fizikal iaitu yang dikendalikan oleh Kerajaan dan swasta dan kes boleh membuat pilihan samada memilih untuk ke CAC Kerajaan atau sebaliknya.

Semasa di CAC, penilaian COVID-19 dilakukan untuk menentukan status kesihatan pesakit samada dalam kategori 1, 2, 3, 4 atau 5. Bagi kategori 3, 4 atau 5, kes akan dirujuk terus ke hospital untuk rawatan lanjut. Bagi kategori 1 dan 2, penilaian selanjutnya dilakukan samada kes mengalami komorbiditi serta kesesuaian rumah untuk diisolasi. Bagi kes yang mempunyai penyakit komorbiditi, risiko kesihatan lain seperti wanita mengandung, bayi atau rumah tidak sesuai, kes akan diarah dimasukkan di Pusat Kuarantin Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC). Penyakit kormobiditi yang dimaksudkan adalah penyakit seperti sakit jantung, penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis atau masalah kegemukan. Bagi kes yang tiada komorbiditi atau risiko kesihatan lain dan rumah sesuai untuk isolasi, kes diarah untuk isolasi di rumah. Kes akan diberikan HIO dan dipakaikan gelang pengawasan (wristband) selama 10 hari.

Seperti mana virtual CAC kes positif ini juga diarah untuk membuat pemantauan harian kendiri dengan menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam MySejahtera dan jika mengalami gejala, kes boleh lapor ke CAC untuk penilaian selanjutnya. Petugas kesihatan di CAC akan menghubungi kes untuk membuat penilaian kesihatan. Jika penilaian kesihatan mendapati kes bertukar ke kategori 3, 4 atau 5, kes akan dirujuk ke hospital. Sekiranya kes mempunyai gejala teruk semasa tempoh isolasi di rumah/tempat kediaman, mereka juga boleh terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan tanpa melalui CAC terlebih dahulu.

Pada hari ke-10, kes positif yang tiada sebarang gejala, dikehendaki datang ke CAC untuk penilaian status selanjutnya. Jika tiada gejala, kes diberikan pelepasan pengawasan dan pemerhatian (release order - RO) dari HIO pada hari ke-10. Sebaliknya jika kes positif ini dipantau secara maya (virtual CAC), pada hari ke 10, MySejahtera akan memaparkan tanda tamat pada HIO maya. Kes tidak perlu pergi ke CAC fizikal lagi.

PKD juga melakukan penilaian untuk mengenalpasti kontak rapat bagi kes positif. Kontak rapat yang mengalami gejala akan diarah untuk ke CAC atau terus diarah untuk dikuarantin di rumah / tempat kediaman jika negeri tiada kapasiti untuk melaksanakn CAC fizikal untuk membuat ujian pengesanan penyakit COVID-19. Kontak rapat diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order - HSO) sertakan dipasangkan gelang pengawasan selama 10 hari. Pada hari ke-10, kes datang ke CAC untuk penilaian status selanjutnya. Jika tiada gejala, kes diberikan pelepasan pengawasan dan pemerhatian (release order - RO) dari HIO pada hari ke-10.

Yang di Pertua,

Untuk tindakan pengawalan perebakan penyakit COVID-19, kes positif yang diisolasi dan kontak rapat yang dikuarantin perlu mematuhi amalan-amalan berikut semasa isolasi atau kuarantin di rumah atau tempat kediaman.

i.Isolasi atau kuarantin dalam bilik yang berasingan daripada ahli keluarga.
ii. Bilik mempunyai tandas bersambung (attached bathroom).
iii. Pakai pelitup muka sekiranya perlu keluar dari bilik dalam rumah atau tempat kediaman dan elakkan bergaul rapat dengan orang lain. Hadkan jarak anda dengan mereka yang sihat sekurang-kurangnya dua (2) meter.
iv. Pastikan pengudaraan rumah atau tempat kediaman dalam keadaan baik seperti membuka tingkap.
v. Makanan hendaklah dihantar ke bilik oleh ahli keluarga (hanya diletakkan di luar bilik)
vi. Gelang pengawasan hendaklah dipakai sepanjang masa perintah pengawasan dan pemerhatian.
vii. Perlu sentiasa boleh dihubungi.
viii. Hendaklah berada di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh pengawasan dan pemerhatian ini.
ix. Sekiranya bergejala, sentiasa pakai pelitup muka. Tutup mulut dan hidung anda menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dan CUCI TANGAN serta merta dengan sabun atau hand sanitiser. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran untuk penilaian kesihatan.
x. Pada hari ke-10, kes dikehendaki pergi ke CAC untuk penilaian serta pelepasan Perintah Pengawasan & Pemerhatian (release order - RO) serta pemotongan gelang pengawasan.
xi. Pada hari ke-10, kontak rapat dikehendaki ke Pejabat Kesihatan berhampiran untuk pelepasan Perintah Pengawasan & Pemerhatian (release order - RO) serta pemotongan gelang pengawasan.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan