Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalsn Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Perak pada 14 September 2021 di Parlimen Malaysia.
Demi kestabilan politik di negara kita, Akta Anti Lompat Parti perlu diwujudkan dengan segera. Undang-undang ini perlu digubal untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara kita. Sejak sekian lama kita menghadapi kucar-kacir politik kerana terdapat dari kalangan wakil rakyat yang berpaling tadah. Ini mengakibatkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ditumbangkan oleh beberapa individu kerana kepentingan peribadi. Akhirnya mandat rakyat dipermainkan oleh ahli-ahli politik dengan pelbagai taktik kotor.
Keadaan ini menyebabkan proses pilihanraya tidak membawa makna yang sebenar kepada rakyat yang keluar mengundi. Saya percaya setiap rakyat yang menghormati sistem demokrasi berparlimen mahu melihat undang-undang Anti Lompat Parti diwujudkan segera untuk menyelamatkan negara kita daripada ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab.
Memorandum Persefahaman Tranformasi Dan Kestabilan Politik Diantara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan yang ditandatangani semalam di Parlimen akan membuka lembaran baru ke arah politik yang lebih matang dan menjurus kepada penggubalan undang-undang Anti Lompat Parti yang lama dinantikan. Saya percaya ini adalah peluang terbalik untuk pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk bekerjasama dem melaksanakan satu tanggungjawab penting dalam menutup kelompangan undang-undang yang amat memudaratkan negara.
Undang-undang Lompat Parti ini akan menghilangkan peluang mana-mana wakil rakyat yang dipilih untuk berpaling tadah. Justeru, nilai ekonomi atau nilai niaga wakil rakyat akan turun ke ‘sifar’. Kita juga dapat membendung amalan rasuah dalam aktiviti jual beli dan perdagangan wakil rakyat. Selain daripada itu, penyalahgunaan kuasa dan unsur-unsur ugutan terhadap wakil rakyat juga dapat dielakkan melalui undang-undang ini.
Wakil rakyat akan terus setia kepada parti yang mereka wakili. Rakyat juga tidak perlu bimbang tentang pilihan mereka. Politik negara akan menjadi lebih harmoni. Kesejahteraan rakyat pula terjamin. Ekonomi negara dapat dipulih dan dimantapkan. Keyakinan pelabur-pelabur juga dapat ditingkatkan.
Undang-undang Anti Lompat Parti ini boleh membawa satu perubahan besar dalam dinamika politik negara kita yang semakin tergugat dengan adanya fenomena ‘katak melompat ke sana, melompat ke sini’. Amalan ini amat dibenci oleh seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama meletakkan tanda noktah kepada perbuatan yang jijik ini melalui undang-undang Anti Lompat Parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan