Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu Gajah] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan mengenai peluang pendidikan tinggi yang disediakan terutamanya ke universiti-universiti awam bagi lepasan diploma daripada politeknik-politeknik tempatan. Didapati ramai yang memperoleh keputusan yang cemerlang dari politeknik tidak mendapat tempat melanjutkan pelajaran di menara gading tahun ini. Mohon penjelasan.
Menteri Pengajian Tinggi [Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad): Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Batu Gajah. Secara umumnya pelajar-pelajar politeknik disediakan untuk memenuhi keperluan industri. Namun pihak kementerian juga menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Antara inisiatif KPT adalah dengan membuat kerjasama artikulasi program diploma politeknik ke program Ijazah Sarjana Muda Malaysian Technical University Network (MTUN).
Untuk makluman Yang Berhormat, Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA menyelaras permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam melalui sistem UPU Online. Penyelarasan ini merangkumi permohonan, pemilihan, penawaran, hebahan dan rayuan bagi program pengajian lepasan STPM, asasi, matrikulasi dan diploma untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam. Kejayaan mendapat tempat pengajian bergantung sepenuhnya kepada markah merit, bilangan tempat yang disediakan serta kelayakan calon selain kecemerlangan dalam proses temu duga yang dilaksanakan di universiti awam bagi sesetengah program pengajian yang memerlukan kompetensi.
Pada sesi akademi 2021/2022, KPT telah menerima sebanyak 7,652 orang calon lepasan politeknik yang memohon dan layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,103 ataupun 67 peratus telah ditawarkan tempat pengajian. Bilangan ini menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 4,445 daripada 7,175 orang calon yang memohon pada sesi akademi 2020/2021. Daripada analisa KPT, calon tidak ditawarkan tempat berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor. Di antaranya:
(i) persaingan yang sengit di antara pelajar diploma, asasi, matrikulasi dan STPM untuk mendapatkan tempat di IPTA;
(ii)tidak berjaya semasa sesi temu duga yang dijalankan secara bersemuka atau secara dalam talian;
(iii) memilih program yang sangat kompetitif dengan permintaan yang tinggi akan mengehadkan peluang calon untuk mendapat tempat; dan
(iv) tempat yang ditawarkan bagi tiap bidang pengajian adalah terhad.
Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu Gajah]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Menteri. Saya juga ingin tahu, adakah rancangan kerajaan dalam mengembangkan pendidikan politeknik di negara kita. Adakah kursus-kursus peringkat ijazah dan ijazah tinggi akan diperluaskan lagi di institusi politeknik? Sejauh manakah kebolehpasaran lepasan daripada politeknik dalam pasaran buruh hari ini berbanding dengan institusi-institusi yang lain? Mohon Menteri jawab, terima kasih.
Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad: Terima kasih banyak atas soalan tambahan dan atas keprihatinan daripada Yang Berhormat Batu Gajah. Tuan Yang di-Pertua, dalam kita hendak mengembangkan pendidikan politeknik negara ini, kolaborasi merentas kementerian bersama pihak industri telah diperkukuhkan melalui penubuhan Majlis TVET Negara. Urus setia Majlis TVET Negara ini KPT sendiri.
Bagi memastikan kurikulum pendidikan politeknik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, Majlis Penasihat Industri juga telah ditubuhkan bagi memberi input dan berkongsi maklumat-maklumat terkini berkaitan dengan keperluan industri. Memang betul KPT akan memperluaskan penawaran program ijazah sarjana muda di politeknik melalui work-based learning (WBL) di politeknik premier Yang Berhormat.
Manakala untuk tadi soalan mengenai kebolehpasaran pula, kebolehpasaran graduan politeknik bagi tempoh lima tahun adalah melebihi 90 peratus. Saya hendak bagi contoh, pada tahun 2018, kebolehpasaran ialah 96.1 peratus. Pada tahun 2019 pula, kebolehpasaran 96.7 peratus. Ada sedikit pengurangan pada tahun 2020 disebabkan cabaran kita menghadapi pandemik COVID-19 iaitu 91.4 peratus.
Ini menunjukkan bahawa kebolehpasaran graduan daripada politeknik ini memang sangat tinggi kalau kita bandingkan dengan institusi-institusi lain, Yang Berhormat. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan