Ahad, 18 Mac 2012

Padang Bola Sepak Desa Changkat: Penduduk Hilang Sabar


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 18/3/2012 di Desa Changkat Batu Gajah.

Padang Bola Sepak Desa Changkat: Penduduk Hilang Sabar

Masalah padang bola sepak di Desa Changkat  masih tidak diselesaikan oleh Majlis Daerah Batu Gajah. Perkara ini telah ditimbulkan berulang kali oleh penduduk kawasan ini tetapi tidak dipedulikan langsung oleh pihak Majlis. Ahli-ahli Majilis Daerah Batu Gajah langsung tidak mahu mengambil tahu tentang masalah yang dibangkitkan ini. Terdapat tanah lapang yang telah direzabkan untuk padang bolasepak. Padang itu dibiarkan begitu sahaja oleh pihak Majlis untuk sekian lama. 

Pada masa pemerintahan Pakatan Rakyat di Negeri Perak, padang yang ditumbuhi belukar itu telah dibersihkan untuk dijadikan padang permaian bola sepak untuk belia-belia di kawasan ini. Sebelum projek ini selesai, Barisan Nasional telah merampas kuasa di Perak. Selepas rampasan kuasa, padang dibiarkan begitu sahaja. Kerja menyiapakan padang bola sepak itu diberhentikan serta-merta. Ini membuktikan bahawa Barisan Nasional tidak mengambil berat dan prihatin terhadap penduduk Desa Changkat. 

Barisan Nasional lebih berminat membina projek-projek besar untuk membantu kroni-kroni mereka di Batu Gajah. Terdapat banyak projek-projek besar dan tidak berfaedah telah dilaksanakan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah semata-mata untuk mencari keuntungan besar kepada kron-kroni UMNO.  Perkara ini memang diketahui semua orang dan menjadi perbualan mulut di setiap kedai kopi. 

Saya rasa sungguh kesal terhadap sikap Majlis Daerah Batu Gajah yang tidak prihatin terhadap penduduk Desa Changkat. Kos menyiapkan padang bola itu tidaklah mahal. Tetapi, pihak Majlis tidak mahu mengambil berat tentang perkara ini. Saya telah menulis beberapa surat kepada pihak Majlis  mengenai isu ini. Saya juga telah membuat aduan dan berjumpa dengan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab berhubung dengan masalah padang ini. Setiap kali  saya diberi  ‘janji kosong’ yang tidak ditunaikan.  Saya juga kesal bahawa Barisan Nasional hanya mahu undi penduduk kawasan ini tetapi tidak mahu melaksanakan projek-projek kecil seperti ini untuk penduduk Desa Changkat. 

Apabila Pakatan Rakyat telah mengambil inisiatif untuk membuat sendiri pandang bola itu, tiba-tiba pihak Majlis membawa masuk jentera seolah-olah mahu membuat projek itu. Selepas bekerja beberapa hari, projek itu diberhentikan dan  dibiarkan begitu sahaja. Sudah hampir 6 bulan projek itu tidak disambung oleh pihak Majlis. Ini membuktikan bahawa pihak Majlis cuba mempersendakan penduduk Desa Changkat.

Saya menjanjikan apabila Pakatan Rakyat memerintah negeri Perak semula, saya akan menyiapkan padang bola ini dengan segala kelengkapan yang perlu. Saya akan memastikan Desa Changkat mempunyai satu padang permainan bola sepak yang baik dan lengkap untuk kegunaan belia-belia setempat. Tidak guna mengharapkan Barisan Nasional yang sentiasa menipu rakyat dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Saya memohon kepada semua penduduk Desa Changkat untuk memberi satu pengajaran dengan menolak  Barisan Nasional  sekali lagi dalam PRU13.

1 ulasan:

  1. riwayat ameno-bn-apco sememangnya akan berakhir di perak!

    BalasPadam