Khamis, 12 Januari 2012

Perlu ‘Dadah Sifar’ di Semua Sekolah


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 12/1/2012 di Ipoh
Perlu ‘Dadah Sifar’ di  Semua Sekolah

Adakah sekolah-sekolah kita bersih daripada gejala penyalah gunaan dadah? Pada hemat saya masih terdapat penyalah gunaan dan pengedaran dadah di sekolah-sekolah tertentu. Masalah ini tidak dapat ditangani  sepenuhnya oleh pihak Kementerian Pelajaran dan Polis Diraja Malaysia. Kerajaan harus memastikan ‘Dadah Sifar’ di semua sekolah-sekolah di negara ini. Kita tidak boleh membiarkan anak-anak kita terlibat dalam aktiviti dadah yang boleh memusnahkan masa hadapan mereka.  Pelajar –pelajar  sekolah adalah golongan muda yang mudah terpengaruh dengan gejala dadah. Sering kali mereka tersungkur  ke dalam aktiviti-aktiviti penyalah gunaan dadah kerana pengaruh daripada sahabat-sahabat mereka di dalam sekolah mahupun di luar.

Kerajaan harus memastikan bahawa  kawasan sekolah dan pelajar-pelajarnya adalah  seratus peratus  bersih daripada pengedaran dan penyalah gunaan dadah.  Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mencegah aktiviti-aktiviti ini di sekolah selain daripada mengadakan forum dan taklimat mengenai dadah? Forum dan taklimat dadah tidak dapat membenteras penyalah gunaan dadah di sekolah. Kerajaan harus mengembangkan strategi yang lebih efesien dan efektif untuk membendung dadah di sekolah.

Mengikut statistik yang diberikan oleh kerajaan Negeri Perak, bagi kes kanak-kanak yang terlibat dalam penyalah gunaan dadah , 2009 dikesan 31 orang, 2010 dikesan 48 orang dan bagi tahun2011 setakat bulan  Jun ialah seramai 23 orang. Ini adalah kes-kes yang dikesan oleh pihak berkuasa. Mungkin ada banyak lagi kes penyalah gunaan dadah dikalangan pelajar-pelajar yang masih tidak dikesan lagi. Walau pun jumlah ini tidak begitu besar, tetapi kita masih gagal mencapai ‘dadah sifar’ di sekolah. 

Pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan telah mengwujudkan pelbagai program seperti program ujian air kencing di sekolah menengah dan Program Kem SHEDS (Sayangi Hidup Elak Dadah Selamanya). Tetapi adakah program-program ini berjaya mencapai matlamat untuk membendung gejala penyalah gunaan  dadah di sekolah?

Ujian air kencing harus dijalankan kepada  semua pelajar-pelajar sekolah menengah sekurang-kurangnya 3 bulan sekali. Tindakan ini boleh memastikan pelajar-pelajar  berasa takut untuk melibatkan diri mereka dalam aktiviti-aktiviti seperti ini. Ujian air kencing yang kerap di setiap sekolah menengah juga akan menghalang pengedar-pengedar dadah daripada menjalankan kegiatan mereka dengan pelajar-pelajar sekolah. 

Didapati masih terdapat kumpulan-kumpulan tertentu menggunakan pelajar-pelajar sekolah untuk tujuan pengedaran dan penyalah gunaan dadah. Kumpulan ini membuat keuntungan besar dengan cara menghancurkan masa hadapan anak-anak muda kita. Oleh itu, kerajaan juga harus memberi perhatian serius kepada kumpulan ini yang sering kali menjadi pelajar-pelajar sekolah sebagai sasaran utama mereka. 

Kerjasama semua pihak adalah perlu jika kita mahu mancapai ‘dadah sifar’ di semua sekolah-sekolah negeri Perak. Pihak pentadbiran sekolah harus memainkan peranan penting dengan memerhati gelagat setiap pelajar di sekolah itu. Ibubapa juga perlu memastikan anak-anak mereka bersih daripada dadah.  Ibubapa harus melaporkan kepada pihak berkuasa jika anak-anak mereka terlibat secara langsung ataupun tidak langsung sebelum terlambat. Orang awan juga perlu memerhatikan tindak-tanduk anak-anak muda kita di semua tempat. Jika terdapat perkara-perkara di luar tabii, maka orang awam juga harus memainkan peranan untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Pihak polis juga perlu membuat rondaan di kawasan sekolah terutamanya sebelum dan selepas  waktu sekolah. Agensi Anti Dadah Kebangsaan harus mencari jalan yang lebih mantap untuk memastikan  sekolah-sekolah tidak dijadikan hub pengedaran dadah oleh pihak-pihak tertentu. Kerjasama semua pihak ini boleh membantu dalam mencapai matlamat ‘dadah sifar’ di sekolah-sekolah negeri Perak. 

Selain daripada itu, kerajaan negeri juga harus mengambil inisiatif sendiri untuk membendung gejala dadah ini di negeri Perak. Apakah strategi  dan rancangan kerajaan Negeri Perak dalam menangani gejala sosial ini? Berapakah jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri dalam belanjawan 2012 sebagai usaha melindungi anak-anak muda kita daripada penyalah gunaan dadah?  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan