Khamis, 5 Januari 2012

Kerajaan Tindas SJKT Changkat


Kenyataan Media YB  V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 4/1/2012 di Batu Gajah


Kerajaan Tindas SJKT Changkat

SJKT Changkat merupakan satu-satunya sekolah Tamil di Kawasan Batu Gajah. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah yang agak lama di kawasan ini. SJKT Changkat adalah sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. Sekolah ini terletak di atas tanah seluas  2.58 ekar  yang masih belum dirizabkan lagi.  Keadaan fizikal bangunan sekolah adalah agak baik. Tetapi, SJKT Changkat tidak mempunyai padang permainan. Oleh yang demikian aktiviti-aktiviti sukan terpaksa diadakan di tempat yang lain seperti di Podium Majlis Daerah Batu Gajah.  Keadaan ini adalah bertentangan dengan dasar kerajaan ‘1Sekolah, 1Sukan’
.
Adakah kerajaan serius dengan slogan  ‘1Sekolah, 1Sukan’  ini ataupun  retorik semata-mata? Di bahagian belakang sekolah ini terdapat sebidang tanah yang sesuai dijadikan padang permainan bagi murid-murid sekolah ini. Memandangkan keperluan itu,  pihak sekolah telah memohon tanah seluas 1.3 ekar ini daripada kerajaan negeri pada tahun 2009. Pihak sekolah dan ibubapa masih menunggu  untuk berita baik daripada kerajaan negeri.  Mereka sungguh mengharapkan kerajaan untuk meluluskan 1.3 ekar tanah untuk tujuan padang permainan.  Jika kerajaan meluluskan permohonan itu, maka masalah besar sekolah ini dapat diselesaikan untuk kebaikan semua murid-murid. 

Oleh kerana tidak ada sebarang maklum balas daripada pihak pentadbir tanah, saya telah membangkitkan perkara ini dalam bentuk soalan bertulis di persidangan Dewan Negeri Perak yang bermula pada 21 November 2011. Kerajaan memberi jawapan bertulis yang sungguh memeranjatkan semua pihak. Kerajaan tidak berhasrat untuk meluluskan 1.3 ekar tanah yang dipohon itu untuk SJKT Changkat. Kerajaan bercadang untuk memberikan tanah itu untuk menjalankan projek PERMATA. 

Tindakan kerajaan ini tidak adil kerana pihak pentadbiran SJKT Changkat telah memohon tanah ini lebih awal iaitu pada tahun 2009. Tetapi, kini kerajaan merancang untuk memberikan tanah itu kepada pihak lain yang tidak mempunyai kepentingan. Pada masa ini, kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedang disediakan.  Perkara ini akan dihantar untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak lama lagi. 

Terbukti  bahawa sekolah Tamil diabaikan dan dianak tirikan oleh kerajaan. Kenapakah kerajaan harus meluluskan tanah yang dipohon oleh sekolah Tamil untuk projek PERMATA? Adalah lebih rasional dan munasabah untuk memberikan  sebidang tanah di tempat lain untuk projek PERMATA. Tanah bersebelahan dengan sekolah itu harus dijadikan padang permainan untuk murid-murid sekolah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan