Jumaat, 13 Januari 2012

SMK Pusing Tiada Guru Bahasa Tami

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 13/1/2012 di Ipoh
SMK Pusing Tiada Guru Bahasa Tamil
Saya telah menerima aduan daripada beberapa orang ibubapa bahawa SMK Pusing tidak ada guru untuk mengajar Bahasa Tamil. Ini menyebabkan anak-anak mereka tidak dapat  mengambil  mata pelajaran Bahasa Tamil  dalam peperiksaan PMR dan SPM.  
Terdapat ramai murid –murid daripada SJKT Changkat memasuki  SMK  Pusing  selepas peperiksaan UPSR. Mereka ini mempunyai asas Bahasa Tamil yang kukuh. Tetapi, pengetahuan dan minat pelajar-pelajar ini akan terbantut apabila mata pelajaran Bahasa Tamil tidak diajar di sekolah menengah itu dengan alasan tidak mempunyai guru bahasa.
Saya dimaklumkan bahawa pihak sekolah telah menghubungi Pejabat Pelajaran Negeri Perak berhubung dengan masalah yang dibangkitkan itu pada tahun dahulu. Tetapi, masalah ini masih tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang. Satu daripada punca masalah ini ialah ketidak cukupan guru-guru yang terlatih untuk mengajar  Bahasa Tamil di sekolah-sekolah  menengah.
Perkara ini tidak boleh dijadikan satu alasan yang munasabah. Pihak Kementerian Pelajaran harus mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melatih lebih ramai guru-guru yang boleh mengajar Bahasa Tamil untuk pelajar-pelajar  sekolah menengah. SMK Pusing merupakan satu  contoh  sekolah  yang  menghadapi masalah ini. Terdapat banyak lagi sekolah-sekolah menengah yang lain mengahadapi masalah yang sama seperti ini.
Saya tidak menuduh pihak pentadbiran SMK Pusing kerana masalah ini. Dasar kerajaan adalah tidak serius dalam memberi kepentingan untuk bahasa ibunda di peringkat sekolah menengah. Kerajaan harus meneliti dan mengkaji semula proses melatih guru-guru Bahasa Tamil untuk mengajar di sekolah-sekolah menengah. Kerajaan harus meningkatkan pengambilan guru-guru pelatih  untuk menampung keperluan ini.  Dalam erti kata yang lain, kerajaan harus menempatkan guru-guru Bahasa Tamil di semua sekolah-sekolah menengah yang mempunyai permintaan pada masa hadapan.
Pada pagi ini, saya telah berjumpa dengan Penolong Pengarah Bahagian Sekolah Menengah Encik Ismail Bin Ebrahim  di Jabatan Pelajaran Negeri Perak. Saya telah memberitahu beliau mengenai masalah yang dihadapi di SMK Pusing. Beliau berjanji akan meneliti perkara yang dibangkitkan dan cuba menyelesaikannya dalam tempoh terdekat. Saya sungguh berharap pihak Jabatan Pelajaran  Negeri Perak akan mempertimbangkan masalah ini dan menempatkan guru Bahasa Tamil di SMK Pusing dan di semua sekolah-sekolah menengah yang memerlukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan