Rabu, 11 Januari 2012

Bantahan Keras Terhadap Projek Pelupusan Sisa Pepejal


Satu sidang media telah diadakan pagi ini di Wisma DAP Perak untuk membantah keras projek pelupusan sisa pepejal di kawasan Lahat-Papan. Ini merupakan projek Majlis Bandaraya Ipoh ekoran daripada masalah yang timbul di kawasan pembuangan sampah Bercham. Oleh kerana tempat pembuangan sampah di Bercham sudah penuh dan tidak boleh digunakan lagi, sekarang Majlis Bandaraya Ipoh bercadang untuk memindahkan kawasan pembuangan sampah ini ke Lahat-Papan. Di Bercham, lebih kurang 650 tan sampah di buang setiap hari. Dijangkan lebih daripada 800 tan sampah akan dibawa masuk ke kawasan baru Lahat-Papan jika projek ini terlaksana.

Petani-petani dan penternak-penternak di kawasan cadangan itu membantah projek ini kerana mereka akan hilang punca pendapatan mereka. Mereka juga telah melabur jumlah wang yang besar di tanah yang mereka usahakan lebih daripada 20 tahun. Tambahan pula penduduk-penduduk di persekitaran seperti di Menglembu, Batu Gajah Perdana, Pusing, Lahad, Bukit Merah dan Papan juga membantah sekeras-kerasnya terhadap projek itu. Mereka risau pencemaran udara dan masalah kesihatan di kawasan itu.

Pihak pentadbir tanah Batu Gajah telah mengeluarkan notis pengosongan kepada petani-petani dan penternak pada 28/12/2011. Notis itu memberi arahan pengosongan tanah dalam tempoh 14 hari yang akan berakhir hari ini. Pihak MBI dan Kerajaan Negeri Perak tidak prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha tanah ini. Mereka sudah pasti akan menggunakan kekerasan untuk merampas tanah itu untuk mencapai tujuan mereka.

Saya memohon supaya satu perbincangan diadakan diantara Menteri Besar, Datuk Bandar, Pegawai Daerah Kinta, penternak-penternak, petani-petani dan wakil-wakil rakyat kawasan itu dalam tempoh terdekat. Ini harus dilakukan sebelum apa-apa tindakan diambil oleh kerajaan untuk mengusir petani-petani dan penternak-penternak itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan