Selasa, 20 Disember 2011

Petani Kinta Kellas Membuat Laporan SPR



Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Pengerusi Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Batu Gajah, ADUN Kawasan Tronoh pada 19 Disember 2011 di SPRM Ipoh, Taman Meru. 

Petani Kinta Kellas Membuat Laporan SPR

Seramai  enam belas keluarga petani dan penternak membuat laporan SPRM di Ipoh pagi tadi. Mereka telah memberi maklumat awal kepada SPRM berhubung dengan masalah tanah pertanian mereka di kawasan Bakap, Mukim Sungai Terap.  Kawasan ini berhampiran dengan Kinta Kellas, Jalan Gopeng. 

Petani-petani dan penternak-penternak ini mengusahakan tanah ini selama lebih kurang 10 tahun. Sebelum itu, mereka menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian di satu kawasan yang bersebelahan selama beberapa tahun lamanya. Selepas tanah itu telah diambil alih oleh Maju Perak, mereka terpaksa mencari tanah baru untuk diteroka. Menurut salah seorang petani, pada masa itu kerajaan telah mencadangkan supaya mereka berpindah ke tanah baru yang berhampiran juga merupakan tanah milik kerajaan negeri.

Golongan petani ini telah bersetuju dan berpindah ke tanah baru itu. Mereka telah membersihkan hutan dan menanam modal beribu-ribu ringgit untuk membuka tanah pertanian baru.  Enam belas keluarga itu mengusahakan tanah seluas lebih kurang 80 ekar.  Mereka telah menaruh kepercayaan penuh terhadap kerajaan bahawa satu hari nanti kerajaan akan memberi hakmilik tanah kepada mereka. 

Selepas berpindah dan melakukan aktiviti pertanian di tanah itu selama beberapa tahun, petani-patani dan penternak-penternak telah membuat keputusan untuk memohon tanah itu daripada kerajaan negeri.  Pada tahun 2009, setiap keluarga telah memohon tanah seluas enam ekar untuk pelbagai aktiviti pertanian seperti menanam sayur-sayuran, menternak ayam, itik,  kambing, lembu, kerbau dan ikan air tawar. Selepas permohonan dibuat, pihak Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah dan agensi-agensi kerajaan yang lain telah melawat tapak tersebut. 

Selain daripada itu, kesemua enam belas petani-petani dan penternak-penternak itu telah dipanggil untuk menghadiri temuduga di Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah pada 17 Ogos 2010. Sehingga tarikh itu, tanah tersebut masih lagi merupakan tanah milik kerajaan negeri. 

Baru-baru ini petani-petani dan penternak-penternak tersebut  datang berjumpa dengan saya kerana hendak mengadu masalah yang mereka hadapi. Mereka tidak berpuas hati dengan pihak-pihak tertentu yang mengambil pasir di kawasan berhampiran tapak pertanian mereka. Mereka risau bahawa ini merupakan satu pencerobohan yang boleh mengganggu dan menjejaskan aktiviti pertanian mereka pada masa hadapan.  Meraka juga bimbang bahawa orang-orang yang terlibat dalam aktiviti mengambil pasir itu akan memasuki kawasan pertanian mereka tidak lama lagi. 

Persoalan pertama yang timbul daripada masalah yang dibangkitkan ialah samada pihak yang mengambil pasir itu mempunyai lesen dan kelulusan daripada pihak Pejabat Tanah dan Daerah Batu Gajah, Kinta.  Persoalan kedua ialah apakah status permohonan tanah yang dibuat oleh petani-petani dan penternak-penternak ini?

Untuk menjawab kedua-dua persoalan itu, saya telah mencadangkan kepada mereka supaya pergi terus ke Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah untuk mendapatkan maklumat yang sebenar.  Saya telah membawa petani-petani dan penternak-penternak ini ke Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah pada penghujung bulan Oktober 2011. Apabila semakan dibuat melalui seorang kakitangan pejabat itu, kami dimaklumkan bahawa tanah itu sudah diberikan hakmilik kepada orang  lain. Perkara ini telah mengejutkan semua petani-petani dan penternak-penternak yang berada di situ pada hari itu. 

Kemudian saya mencadangkan supaya pergi ke bahagian lain untuk menyemak pelan tanah itu untuk memastikan kebenaran maklumat yang diperolehi sebentar tadi. Apabila menyemak pelan kawasan, memang dipastikan bahawa tanah itu telah diberi hakmilik kepada orang lain. Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah keseluruhan tanah itu diberikan kepada seorang yang tidak pernah mengusahakan tanah tersebut. Saya sendiri telah melihat nama orang itu tertera di atas kain pelan dengan lakaran merah di kawasan yang dimaksudkan. Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Apakah rasional kerajaan memberikan tanah itu kepada seorang yang tidak langsung mengusahakan tanah tersebut sedangkan petani-petani dan penternak-penternak yang sedia ada diabaikan? Ini merupakan satu ketidakadilan kepada golongan petani-petani dan penternak-penternak yang bergantung kepada tanah itu untuk menyara hidup mereka.

Setelah itu, saya telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan salah seorang pegawai atasan di Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah untuk mengadu penyelewengan ini. Dalam perjumpaan dengan pegawai atasan itu, beliau pula memberi maklumat bahawa memang benar tanah itu pernah diluluskan kepada seorang tetapi kini kelulusan itu telah dibatalkan.

Apakah status tanah ini sekarang? Adakah tanah ini tanah hakmilik atau masih lagi tanah kerajaan negeri? Kenapa tanah itu diluluskan kepada seorang yang tidak mengusahakan tanah itu? Kenapa pula kelulusan itu dibatalkan kemudian? Adakah ini merupakan satu lagi salahguna kuasa dengan meluluskan tanah kepada kroni dengan cara menindas petani-petani dan penternak-penternak yang miskin? Adakah aktiviti-aktiviti pengambilan pasir di kawasan itu dilakukan secara halal atau haram? 

Saya juga telah membangkitkan isu ini di Persidangan Dewan Negeri Perak pada 24/11/2011. Tetapi, perkara yang dibangkitkan oleh saya tidak dijawab dalam ucapan penggulungan yang dibuat oleh Menteri Besar Dato Seri Zambry. Setakat ini, saya juga tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada mana-mana pihak berhubung dengan perkara yang bangkitkan setakat. Ini mengukuhkan lagi kecurigaan semua pihak  yang terlibat mengenai masalah kelulusan tanah ini. Berikut adalah teks ucapan saya dalam sidang DUN yang lepas:

Baru-baru ini sekumpulan petani dan penternak dari kawasan Bakap, bersempadan dengan Kinta Kellas telah datang berjumpa dengan saya. Mereka mengadu bahawa tanah yang mereka mohon itu telah dicerobohi oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan mengambil pasir (mungkin curi pasir). 

Saya telah membawa mereka ke Pejabat Tanah & Daerah Batu Gajah untuk menyemak status permohonan tanah tersebut, mengikut rekod komputer dan pelan di pejabat itu  didapati  bahawa keseluruhan tanah yang mereka mohon itu telah diberi milik kepada seorang yang tidak mengusahakan tanah itu. Ini telah memeranjatkan semua pemohon yang datang pada hari itu. Kemudian apabila perkara ini dirujuk semula kepada pegawai atasan, kami dimaklumkan bahawa tanah itu memang telah diluluskan kepada seorang lelaki dan kemudiannya telah dibatalkan kelulusan itu oleh kerajaan negeri. Saya rasa amat curiga dengan aktiviti meluluskan tanah dan kemudian membatalkan kelulusan itu secara sewenang-wenangnya. Mohon YAB Menteri Besar memberi penjelasan mengenai perkara ini juga.

Oleh kerana banyak persoalan yang mengenai isu tanah tersebut masih tidak terjawab sehingga hari ini, maka petani-petani dan penternak-penternak telah mengambil keputusan untuk memberi maklumat awal kepada pihak SPRM untuk menyiasat dan melaporkan perkara yang sebenar dengan kadar segera. Petani-petani dan penternak-penternak ini sungguh mengharapkan kerajaan supaya meluluskan tanah yang mereka memohon itu jika benar ‘rakyat didahulukan’.

1 ulasan:

  1. Ni sume kerja orang pas kot. tak kira halal/haram. Mantan.

    BalasPadam