Selasa, 20 Disember 2011

SJKT Menglembu : Jangan Memberi Janji Kosong Lagi


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 20/12/2011 di Ipoh.
SJKT Menglembu : Jangan Memberi Janji Kosong Lagi

Saya rasa kecewa dengan kenyataan media Dato Veerasinggam, Pengerusi MIC Negeri Perak  dan juga Penasihat Kepada Menteri Besar Perak berhubung dengan isu SJKT Menglembu. Sekali lagi beliau cuba memberi janji kosong tanpa sebarang asas yang kukuh. Beliau cuba membina bangunan di atas langit bahawa masalah bangunan  SJKT Menglembu sudah selesai. Beliau berkata bahawa bangunan baru akan dibina untuk SJKT Menglembu tidak lama lagi. Janji-janji seperti ini pernah dibuat berulang kali di masa yang lampau. Tetapi, setakat ini satu bata pun belum sampai ke tapak sekolah tersebut. Beliau juga berkata MIC akan memastikan  bangunan baru untuk SJKT Menglembu tidak lama lagi. Bolehkan MIC dipercayai? Orang ramai dan ibubapa merungut bahawa mereka sudah basi mendengar janji-janji kosong seperi ini. Apatah lagi pada musim pilihanraya, Barisan Nasional akan membuat ratusan janji kosong yang tidak akan ditunaikan selepas pilihanraya. Rakyat Malaysia sudah muak dengan taktik kotor ini. 

Dato Veerasinggam juga berkata bahawa MIC  adalah parti politik yang menjaga sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Adakah ini benar? Selepas zaman kolonial British, negara kita mempunyai lebih daripada 1000 sekolah Tamil di merata tempat. Kini, tinggal hanya 523 sekolah tamil di negara kita. Di mana perginya lebih kurang 500 buah sekolah Tamil dalam tempoh 50 tahun. Inilah pencapaian MIC yang dibanggakan oleh MIC dan Dato Veerasinggam. 

Berapakah sekolah Tamil baru  yang  telah  dibina oleh MIC selepas kemerdekaan? Kenapakah lesen-lesen sekolah Tamil yang ditutup tidak digunakan untuk membina sekolah-sekolah Tamil yang baru di negara ini. Kalau ditanya tentang perkara ini, pelbagai alasan yang  tidak munasabah diberikan oleh MIC. Akhirnya MIC telah menjadikan masyarakat India sebagai pengemis kepada kerajaan. Kita terpaksa tunggu bertahun-tahun lamanya  untuk kerja-kerja baik pulih  di sekolah-sekolah Tamil yang sedia ada. Sedangkan, kerajaan ini boleh membuang berjuta-juta ringgit dalam projek-projek gajah putih yang tidak berfaedah kepada rakyat. MIC sepatutnya berasa malu kerana kegagalan mereka menjaga sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Tetapi, pemimpin-pemimpin MIC pula berasa bangga dengan pencapaian yang merosot ini. 

Jika benar kerajaan serius untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu, Dato Veerasinggan harus meenjawab beberapa persoalan dengan  serta-merta :

1)      Sudahkan Kerajaan  Persekutuan meluluskan wang peruntukan untuk membina SJKT Menglembu secara khususnya?
2)      Berapakah jumlah wang telah diperuntukan untuk membina sekolah tersebut?
3)      Bilakah kerja-kerja pembinaan akan dimulakan?
4)      Bilakah bangunan baru dijangka siap dibina?
5)      Apakah struktur  baru yang dirancang untuk bangunan baru sekolah tersebut.

Dato Veerasingam harus menjawab soalan-soalan ini dan bukannya memberi janji kosong dengan berkata ‘ bangunan akan dibina tidak lama lagi’, ‘MIC menjaga sekolah Tamil’, dan macam-macam alasan lain untuk melarikan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan