Jumaat, 16 Disember 2011

KDNK Per Kapita Perak Ketinggalan Zaman

Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 16/12/2011 di Ipoh.

KDNK Per Kapita Perak  Ketinggalan Zaman

Negeri Perak merupakan negeri terkaya di Malaysia pada satu ketika dahulu. Tetapi kini, kedudukan ekonomi negeri Perak jauh lebih rendah daripada kebanyakkan negeri-negeri lain.  Negeri Perak kaya dengan peibagai  khazanah sumber asli. Perak merupakan sebuah negeri yang luas untuk aktiviti-aktiviti pertanian. Pelbagai  hasil  pertanian seperti getah, kelapa sawit, padi dan lain-lain lagi menjadikan negeri ini sebuah negeri yang cukup mantap dalam bidang pertanian.

Begitu juga aktiviti-aktiviti penternakan  tidak pernah  ketinggalan  di negeri  ini. Di seluruh pelusuk negeri terdapat  penternak-penternak lembu, kerbau, kambing, ayam, itik, arnab, rusa dan sebagainya.  Tambahan pula, penternakan ikan air tawar, udang, Arowana dan sebagainya juga menjadi mata pencarian kepada ramai pengusaha-pengusaha di seluruh negeri ini. 

Sumber hutan yang cukup lumayan menambahkan lagi pendapatan negeri ini jika dibandingkan dengan negeri-negeri  kecil seperti Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Kedah. Selain daripada itu terdapat juga aktiviti-aktiviti  menangkap ikan yang dilakukan secara besar-besaran di beberapa tempat seperti Pulau Pangkor , Teluk Intan, Hutan Melintang, Kuala Sepetang, Kuala Kurau dan sebagainya. Perak juga terkenal dengan sektor perlombongan yang diwarisi dari zaman penjajahan.

Sektor perusahaan juga tidak ketinggalan di negeri Perak. Terdapat banyak kawasan-kawasan perindustrian ringan dan perindustrian berat di merata tempat di negeri Perak. Sektor perkhidmatan juga telah mencapai satu tahap kematangan yang tinggi. Begitu juga, sektor  pembinaan, pengangkutan, perhubungan dan pelancongan meletakkan Perak dalam kategori negeri yang berpotensi tinggi.

Walaupun Perak dikurniakan dengan  sumber  bumi  dan kesuburan tetapi pencapaian ekonominya agak terbantut. Sepatutnya Perak  menjadi  negeri  yang  paling kaya di Malaysia, tetapi malangnya kita tergolek ke bawah di dalam  senarai ekonomi Malaysia. Ini membuktikan bahawa negeri kita tidak mempunyai pimpinan yang berwibawa untuk memartabatkan kedudukan ekonomi kita berbanding dengan negeri-negeri lain. Kegagalan ini adalah berpunca daripada pimpinan Barisan Nasional yang boros dan rasuah. Tambahan pula ketidak cekapan dalam menguruskan dana negeri juga mengakibatkan negeri Perak mengalami  kelumpuhan ekonomi yang parah.

Selepas 54 tahun merdeka negeri Perak yang kaya ini hanya mencatatkan KDNK per kapita lebih kurang USD5000 iaitu dalam lingkungan RM15 500. Jumlah ini adalah jauh lebih rendah daripada KDNK per kapita  Malaysia  bagi tahun 2012 yang dianggarkan dalam lingkungan RM26000. Perbezaa KDNK per kapita Malaysia dengan KDNK per kapita Perak menunjukkan satu jurang yang amat besar iaitu lebih kurang RM11000. 

Dalam erti kata yang lain, negeri Perak telah ketinggalan dalam persaingan ekonomi negara. Oleh kerana KDNK Malaysia adalah lebih tinggi daripada Perak, ini bermaksud negeri-negeri lain telah memberi sumbangan yang jauh lebih mantap untuk meningkatkan purata pendapatan negara. Perak menjadi negeri yang menurunkan purata pendapatan negara ke tahap yang lebh rendah. 

Ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh kerajaan Perak. Menteri Besar Perak,  Dato Seri Zambry berkata negeri  Perak berada dalam landasan  betul  menuju matlamat  negeri maju pada tahun 2018 di bawah program transformasi Perak Aman Jaya.  Pada hemat saya, pemimpin-pemimpin kita harus belajar supaya jangan ‘mengantung kain kotor di muka pintu’ dengan memberi hujah-hujah  palsu  yang  sungguh memalukan. Matlamat yang tidak berasas ini sukar dicapai selagi KDNK negeri Perak  tidak melepasi graf KDNK Malaysia dalam tempoh terdekat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan