Isnin, 26 September 2011

Media Post : Penduduk Pusing Mengadu Lori Pasir Dalam Kawasan Taman



Kenyataan Akhbar YB V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh, pada 26/9/2011 di Pusing, Batu Gajah.

Penduduk Pusing Mengadu Lori Pasir Dalam Kawasan Taman

Penduduk Taman Pusing Baru mengadu bahawa banyak lori pasir yang menceroboh kawasan itu kerana projek perumahan berhampiran dengan Taman itu yang bersempadan dengan Kampung Pinang B. Mereka mengadu bahawa lori-lori pasir memasuki kawasan projek itu melalui jalan-jalan di Taman Pusing Baru. Masalah ini timbul sejak 4 hari yang lepas. Satu projek perumahan telah dimulakan di kawasan itu yang melibatkan pembinaan lebih kurang 94 unit rumah.

Penduduk Taman Pusing Baru mengadu bahawa jalan-jalan taman itu menjadi kotor kerana dipenuhi dengan tanah dan pasir di merata tempat. Tambahan pula debu dan habuk berterbangan dan memasuki rumah yang berhampiran. Rumah dan kereta mereka menjadi kotor dan perlu dibersihkan dan dicuci lebih kerap lagi. Selain daripada itu, orang ramai juga bimbang terhadap keselamatan pengguna jalan dan kanak-kanak yang bermain pada waktu petang.

Menurut penduduk, setiap hari berpuluh-puluh lori masuk satu dan keluar satu demi satu ke kawasan taman itu juga mengakibatkan pencemaran bunyi yang keterlaluan. Ini menjadi gangguan kepada orang-orang tua dan bayi-bayi di taman itu. Dipercayai lori-lori ini akan beroperasi untuk satu tempoh masa yang lama bagi meninggikan paras tanah rendah di kawasan itu. Ini mungkin melibatkan beratus-ratus lori yang membawa tanah akan memasuki kawasan taman ini sebelum kerja-kerja pembinaan rumah dimulakan.

V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh bersama-sama dengan bekas Ahli Majlis Batu Gajah Chan Chin Fah dan Vijakumar telah melawat tapak projek dan kawasan taman yang terlibat. Penduduk taman itu telah membuat aduan terus kepada wakil-wakil DAP ini.

V.Sivakumar telah melaporkan perkara ini kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah dengan serta merta untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Pihak Majlis harus mencari jalan penyelesaian untuk membantu penduduk-penduduk yang membuat aduan ini. Dicadangkan supaya membuka satu jalan baru ke tapak projek tanpa melalui jalan-jalan taman itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan