Isnin, 27 September 2010

Tanah Runtuh di Outlet Longkang Taman Pusing Baru


Kejadian tanah runtuh di outlet longkang ke Sungai Menderus, Taman Pusing Baru semakin meruncing selepas hujan lebat yang turun pada minggu lepas. Outlet longkang ini terletak di penghujung Jalan Saroja, Taman Pusing Baru. Kejadian tanah runtuh ini bukanlah satu masalah baru. Ia merupakan satu masalah yang tidak terselesai lebih daripada 10 tahun. Pernah sekali pihak Majlis Daerah Kinta Barat menambak tanah di kawasan itu lebih kurang 10 tahun yang lepas. Tetapi, masalah ini masih wujud selepas beberapa tahun. Walaupun aduan telah dibuat oleh penduduk kawasan ini, tetapi tidak ada tindakan susulan daripada pihak kerajaan tempatan. Pada penghujung tahun 2008, bekan Ahli Majlis Chan Chin Fah, Vijakumar beberapa pegawai Majlis Daerah Batu Gajah telah membuat lawatan tapak. Pada masa itu, pihak berkuasa tempatan telah menjanjikan untuk menyiapkan 'culvet' dan 'head wall' dengan sayap pada awal tahun 2009. Tetapi, masalah ini telah dibiarkan sehingga hari ini. Akibatnya keruntuhan tanah menjadi semakin teruk dan meruncing. Sudah terdapat keretakan di tengah-tengah jalan di lorong belakang Jalan Saroja. Jika ini dibiarkan lebih lama lagi, maka keseluruhan jalan dan rumah berhampiran dengan tapak tersebut mungkin akan runtuh. Seorang penghuni rumah disitu yang bernama Fong Seak Yoong (58) merungut kekecewaannya bahawa aduan beliau telah selama 10 tahun jatuh di telinga pekak. Tidak ada pihak yang mahu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pihak Majlis Daerah Batu Gajah harus menyelesaikan masalah ini dengan segera sebelum apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di tempat ini. Tambahan pula, kos membaik pulih akan meningkat jika kerosakan tidak dikawal awal-awal lagi. Saya telah menulis surat kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah Dato Razali untuk mengambil tindakan segera mengatasi masalah ini. Sikap acuh tak acuh pihak majlis mengakibatkan banyak masalah tempatan tidak dapat diselesaikan secara efektif. Kerajaan tempatan yang tidak responsif kepada masalah rakyat akan menambahkan kebencian orang ramai terhadap kerajaan yang memerintah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan