Kenyataan Media V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah di Dewan Rakyat pada 16 Disember 2021
Persidangan Dewan Rakyat Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas Tahun 2021 telah berakhir pada hari ini. Ahl-ahli Parlimen telah menerima takwim persidangan bagi Penggal Kelima tahun hadapan. Saya rasa sungguh kecewa dengan takwim yang disediakan untuk tahun hadapan.
Walaupun kita telah membangkitkan isu menambahkan jumlah hari persidangan tetapi kerajaan tidak mengendahkan perkara ini. Menambahkan jumlah hari persidangan adalah perkara asas yang perlu dilaksanakan untuk menyuburkan sistem demokrasi di negara kita.
Tahun hadapan, Dewan Rakyat hanya bersidang selama 59 hari sahaja. Malaysia adalah antara negara yang paling buruk sekali di dunia dari segi bilangan hari persidangan yang diadakan setiap tahun.
United Kingdom bersidang lebih kurang 135 hari setahun. Begitu juga banyak negara-negara maju yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen bersidang lebih daripada. 100 hari setahun. Tetapi, Dewan Rakyat kita hanya bersidang 59/365 hari. Ini membuktikan kelemahan kerajaan kita yang tidak berani untuk mengadakan mesyuarat yang panjang.
Institusi Speaker telah menjadi boneka kerajaan yang memerintah. Kabinet melalui Menteri Undang-undang yang bertanggungjawab terhadap Parlimen menentukan segala urusan Parlimem termasuk jumlah hari persidangan. Ini adalah campurtangan eksekutif yang nyata mencemarkan doktrin pengasing kuasa.
Dalam ucapan dasar Belanjawan 2022, saya telah membangkitkan isu menambahkan jumlah hari persidangan Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 120 hari setahun sebagai satu permulaan kepada tindakan reformasi Parlimen yang membina. Tetapi, kerajaan masih berdegil dalam hal ini. Tidak nampak kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan sistem Parlimen negara kita.
Ahli-ahli Parlimen tidak diberi masa yang mencukupi untuk berbahas di Dewan Rakyat. Sebagai contoh, setiap Ahli Parlimen hanya diberi 5 minit untuk berbahas di peringkat jawatankuasa Belanjawan 2022.
Ramai juga dari kalangan Ahli-ahli Parlimen tidak mendapat peluang untuk berucap walaupun mereka berhasrat untuk berbahas kementerian -kementetian tertentu. Amalan ini boleh dianggap sebagai usaha untuk mengekang suara rakyat di pentas tertingggi negara kita.
Kabinet kita tidak menghormati Parlimen. Kerajaan lebih rela untuk berfungsi tanpa ‘check and balance’. Inilah punca kepada salah guna kuasa dan amalan rasuah yang berleluasa di negara kita.
Sekali lagi, saya dengan tegasnya mencadangkan kepada kerajaan untuk membawa reformasi Parlimen dengan sekurang-kurangnya menambahkan bilangan hari persidangan pada tahun hadapan sebagai langkah memperkasakan institusi perundangan di negara kita.