Isnin, 25 Oktober 2021

Tingkatkan Ekuiti Kaum India .

Kenyataan Media V.Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada 25 Oktober 2021
 
Perlu Komitmen Kerajaan Untuk Tingkatkan Ekuiti Kaum India 3%
Dalam persidangan hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas, Yang Berhormat daripada kawasan Tumpat Dato Haji Che Abdullah Bin Mat Nawi telah menanyakan satu soalan kepada Perdana Menteri untuk menyatakan status pembangunan rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera seperti yang diumumkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas serta penglibatan agensi Kerajaan yang bermandat Bumiputera seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU). Soalan ini dijawab oleh Yang Berhormat Datuk Mastura Binti Mohd  Yazid Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Beliau telah menjawab secara terperinci mengenai status dan tindakan-tindakan pembangunan Bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas.

                       V. SIVAKUMAR 
Saya terima baik jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri kerana pembanguan sosio-ekonomi yang adil dan saksama antara kaum adalah tunggak keharmonian yang menjadi asas keselamatan dan kesejahteraan negara kita. Usaha-usaha untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi kaum Bumiputera adalah wajar. Agensi-agensi kerajaan yang terlibat perlu melaksanakan tanggungjawab dengan dengan penuh komitmen bagi mencapai sasaran pembangunan sosio-ekonomi seperti mana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas.
Dalam pada itu, saya telah membangkitkan satu soalan tambahan yang penting berkaitan dengan isu yang sama. Saya bersetuju dengan usaha-usaha dan tindakan-tindakan pembangunan Bumiputera melalui agensi-agensi seperti TERAJU dan sebagainya. Ini adalah penting demi memastikan pembangunan sosio ekonomi yang adil dan saksama antara kaum. Saya juga minta Timbalan Menteri untuk menjelaskan samada kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan agensi kerajaan bermandat selain daripada MITRA untuk membantu kaum India yang juga jauh ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Setakat ini ekuiti kaum India hanyalah 1.15% sahaja berbanding dengan sasaran 3%.
Sasaran ekuiti 3% bagi kaum India bukanlah sesuatu yang tidak boleh dicapai. Sekiranya kerajaan mempunyai kesungguhan politik dalam hal ini, saya pasti sasaran ini boleh dicapai dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas. Walau bagaimanapun, tanggunjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu MITRA semata-mata. MITRA bukanlah satu agensi strategik yang boleh membantu dalam pembangunan sosio-ekonomi secara menyeluruh. Intervensi dan penglibatan Jabatan Perdana Menteri adalah perlu untuk merangka pelan-pelan strategik, melaksanakan pelan-pelan tersebut sesaca sistematik dan pemantauan yang rapi untuk memastikan kaum India tidak tercicir daripada kemajuan yang bakal dinikmati oleh ‘Keluarga Malaysia’. Saya juga mencadangkan supaya kerajaan peruntukan RM500 juta setiap tahun bagi tujuan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan