Isnin, 18 Oktober 2021

Hospital Awam : Rawatan Kecemasan Terganggu Kerana Covid-19

Kenyataan Media V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 18/10/2021 di Kampung Baru Nalla, Tronoh 


Saya dimaklumkan bahawa banyak kes-kes kecemasan tidak diberi rawatan di hospital-hospital awam  tertentu yang memberi tumpuan kepada pesakit-pesakit yang dijangkiti Covid-19. Ini menimbulkan banyak kesukaran kepada pesakit-pesakit tenat dan mengalami kemalangan yang parah. Mereka terpaksa mencari hospital-hospital lain yang boleh menerima dan memberi rawatan segera. 

                     V. Sivakumar 


Berhubung dengan perkara ini, saya telah menanyakan soalan bertulis kepada Menteri Kesihatan di Dewan Rakyat. Saya meminta supaya Menteri Kesihatan menyatakan “kemampuan hospital-hospital awam menangani kes-kes kecemasan terutamanya yang melibatkan kemalangan. Saya difahamkan terdapat hospital-hospital awam yang tidak mahu menangani kes-kes seperti ini dengan alasan hospital berkenaan memberi tumpuan kepada pesakit-pesakit COVID-19.”

Jawapan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan adalah berbeza dengan maklumat dan aduan yang telah saya terima di luar. Menteri Kesihatan dalam jawapannya mendakwa bahawa 
sesetengah hospital dikhususkan untuk perawatan pesakit COVID-19, ini tidak bermakna kes-kes bukan COVID-19 tidak diberi perhatian terutama kes-kes kecemasan dan kes-kes kritikal. 

Perkhidmatan kecemasan tetap disediakan oleh Jabatan Kecemasan dan Trauma di semua hospital di seluruh negara sama ada hospital tersebut adalah hospital COVID-19 ataupun tidak berdasarkan konsep "no wrong door policy".

Menurut Menteri Kesihatan, rawatan awal bagi kes kecemasan akan diberikan kepada pesakit di Jabatan Kecemasan dan trauma tanpa mengambil kira sama ada kes tersebut merupakan kes СOVID-19 atau bukan. Seterusnya pesakit akan dirujuk atau dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan sekiranya pesakit tersebut berada di hospital COVID-19, pesakit akan dirujuk kepada hospital yang berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Adakah ini benar? Jawapan beliau menafikan hospital-hospital awam tertentu menolak kes-kes kecemasan bukan Covid-19 ke hospital-hospital lain. Ini bermakna aduan-aduan yang saya dengar menjadi perkara yang menjadi buah mulut orang ramai adalah tidak benar. Tuduhan dan cemuhan yang tidak berasas seperti ini adalah tidak wajar. Ini akan menimbulkan banyak kekeliruan di kalangan rakyat terutamanya dalam keadaan terdesak atau apabila sesuatu kecemasan yang kritikal berlaku. 

Saya juga menyarankan kepada Menteri Kesihatan supaya memastikan perkara-perkara yang saya bangkitkan itu benar-benar tidak berlaku di mana-mana hospital di seluruh negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan