Pemberian hak kewarganegaraan kepada seseorang adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Taraf kewarganegaraan tidak boleh diberikan kepada sesiapa sahaja secara sewenang-wenangnya. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri mengawal pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing.
Tetapi, persoalannya ialah mengenai masalah taraf kewarganegaran yang dihadapi oleh sebilangan kaum India di negara kita. Isu ini menghantui masyarakat India sejak negara kita mencapai kemerdekaan sehingga hari ini. Kerajaan masih gagal menyelesaikan masalah ini.
Ada pihak yang mendakwa terdapat lebih kurang 300,000 orang India masih memegang kad pengenalan merah atau tidak memiliki apa-apa dokumen kewarganegaraan di negara kita. Ini adalah satu jumlah yang cukup besar dan mungkin sukar untuk dibuktikan kesahihannya.
Pada hakikatnya, terdapat puluhan ribu orang India yang sebahagian besarnya lahir di negara ini masih memiliki kad pengenalan merah sehingga kini. Perkara ini tidak dapat dinafikan oleh kerajaan.
Masalah ini berterusan disebabkan tidak ada pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini secara serius. Kerajaan menggunakan isu ini setiap kali pilihanraya untuk meraih undi kaum India. Pelbagai janji kosong diberi sebelum pilihanraya untuk mengatasi masalah ini.
Kita juga pernah melihat pemimpin-pemimpin MIC membuat pelbagai program di seluruh negara untuk membantu dalam soal taraf kewarganegaraan ini. Selepas pilihanraya perkara ini diabaikan semula dan kerajaan juga melupai janji-janji yang dibuat olehnya. Masyarakat India telah menjadi mangsa penipuan kerajaan selama ini.
Saya rasa sedih dan kecewa bahawa kerajaan hanya mendapatkan sokongan dari kaum India tetapi tidak sanggup membantu menyelesaikan masalah serius ini sekian lama.
Program MyDaftar yang dilancarkan oleh kerajaan juga tidak ikhlas. Kerajaan hanya menggunakan projek ini untuk mengkaburi mata masyarakat India sebelum pilihanraya. Projek ini tidak dapat menghapuskan masalah kad pengenalan merah kaum India di negara ini.
Masih terdapat puluhan ribu kaum India masih berharap untuk mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia. Harapan ataupun impian mereka itu tidak akan tercapai selagi kerajaan Barisan Nasional memerintah negara ini. Oleh yang demikian, rakyat harus sedar bahawa satu perubahan suasana politik amat diperlukan di negara ini supaya masalah-masalah seperti ini dapat diselesaikan dengan kaedah-kaedah yang lebih efektif .
Satu lagi perkara yang amat menyedihkan ialah pemberian hak kewarganegaraan kepada orang-orang asing yang datang menetap di negara ini. Pemberian kewarganegaraan Malaysia oleh warga asing dibuat melalui pendaftaran atau naturalisai di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun peruntukan tersebut secara jelas menyebut akan perlunya penelitian yang terperinci terhadap setiap pemohon sebelum seseorang warga asing dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia. Walaupun ada banyak syarat-syarat yang ditetapkan, tetapi kita dapat lihat sendiri bahawa ramai warga asing sudah memiliki taraf kewarganegaraan di negara kita.
Pemberian taraf kewarganegaraan nampaknya lebih mudah diberikan kepada warga asing yang datang ke negara kita berbanding dengan puluhan ribu kaum india yang lahir dan akan mati di tanahair ini.
Ramai warga asing telah berjaya melintasi segala prosedur dan akhirnya sampai kepada tahap mengangkat taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Tetapi, pemohon dari kalangan kaum India pula sukar sekali melepasi tahap pertama permohonan iaitu pengisian borang permohonan kerana disekat dengan pelbagai permintaan dan birokrasi. Ini membuktikan sikap ‘double standard” kerajaan Barisan Nasional meminggirkan kaum India yang memberikan sokongan besar kepadanya selama lebih daripada 50 tahun.
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 30 Julai 2015 di Ipoh |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan