Selasa, 16 September 2014

P.Waythamoorthy Meletak Jawatannya Sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Siapakah Yang Mengambill Alih Portfolionya?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 15 Sept 2014 di Taman Badrishah, Ipoh.


Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri samada kerajaan Barisan Nasional benar-benar serius dalam menangani masalah sosio-ekonomi kaum India di negara ini. Setakat ini tidak ada apa-apa 'blue print' yang konkrit untuk membantu dan membangunkan iktisad masyarakat India.

Hanya terdapat janji-janji kosong yang ditaburkan oleh kerajaan sebelum pilihanraya umum untuk mendapat sokongan kaum India. Selepas pilihanraya masyarakat India telah dilupakan sama sekali. Bantuan yang diberikan untuk kaum India adalah terlalu sedikit yang pastinya tidak mungkin dapat melepaskan masyarakat itu daripada belenggu kemiskinan.

Setiap pemimpin India daripada pelbagai parti komponen Barisan Nasional hanya memperdayakan masyarakat India untuk kepentingan politik masing-masing. Ada juga pemimpin-pemimpin utama seperti Datuk Seri G. Palanivel yang tidak berani menyuarakan aspirasi masyarakat India malah ramai yang menganggapnya sebagai seorang pemimpin yang takut kepada bayang-bayangnya sendiri.

 Masyarakat India telah kehilangan pelbagai hak warganegara kerana pemimpin-pemimpinnya yang tidak berani menentang kerajaan yang diketuai oleh UMNO. Mereka terpaksa menjadi 'pak angguk' ataupun 'yes boss' kepada Perdana Menteri dan Menteri-menteri UMNO untuk menjaga kerusi dan kedudukan masing-masing. Agenda ekonomi kaum India telah dilupakan oleh pemimpin-pemimpin ini sama sekali. Perbuatan mereka ini seolah-olah 'ayam hitam terbang malam' melupakan tanggungjawab dan melakukan semua perbuatan jahat secara tersembunyi.



Apa sudah terjadi dengan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diberikan kepada P.Waythamoorthy selepas PRU13? Beliau telah meletak jawatan itu setelah sedar baha beliau dan masyarakat India telah sekali lagi dipermainkan oleh Barisan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 Tetapi, adakah perletakan jawatan itu boleh menyelesaikan masalah masyarakat India? Siapakah yang sebenarnya rugi kalau bukan masyarakat India? Apakah ruginya kepada kerajaan Barisan Nasional? Barisan Nasional akan berasa lebih seronok dengan perletakan jawatan itu.

Saya telah membangkitkan satu soalan lisan untuk dijawab oleh Perdana Menteri dalam persidangan Parlimen yang akan bermula pada 7 Oktober 2014. Saya minta Perdana Menteri menyatakan tentang status jawatan Timbalan Menteri yang diberikan kepada pemimpin Hindraf P. Waythamoorthy. Siapakah yang telah dilantik oleh kerajaan untuk mengambil alih portfolio yang diberikan kepada P.Waythamoorthy yang telah meletak jawatan. Adakah agenda sosio-ekonomi masyarakat India diteruskan oleh Jabatan Perdana Menteri dan apakah fungsi-fungsinya. Nyatakan juga perkara-perkara yang telah dicapai dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Tidak ada gunanya untuk pemimpin-pemimpin India daripada Barisan Nasional untuk merebut jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri jika tidak ada satu hala tuju atau 'blue print' yang diterima dan diiktiraf perlaksanaannya oleh kerajaan. Jawatan itu sahaja tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada masyarakat India. Malah, ianya akan disalah gunakan untuk kepentingan sendiri yang amat merugikan masyarakat India.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan