Setiausaha Sekretariat PR Perak, Dr Khairuddin Abdul Malek berkata, jumlah peserta itu terdiri daripada anggota, penggerak dan penyokong PR di Perak dalam mencapai matlamat sebenar PR untuk menghimpunkan sejuta rakyat.

“Himpunan ini adalah wadah untuk rakyat menyatakan pendirian berkenaan isu yang berbangkit sama ada pentadbiran negara, ekonomi, alam sekitar mahupun pilihan raya di negara ini.

“PR Perak komited dengan usaha penganjur dalam menggembleng solidariti rakyat menyatakan pendirian mereka kepada kerajaan malah kita sarankan semua ahli serta NGO hadir demi kepentingan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Pas yang turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham serta Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain.

Khairuddin juga turut menggesa agar masyarakat yang ingin turut serta pada perhimpunan Sabtu ini supaya memasuki ibu negara seawal 11 Januari dan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.