SUMBER : SINAR HARIAN
PR ajak BN debat terbuka
Khairuddin bersama pimpinan PR Perak pada sidang akhbar di Pejabat Pas Perak semalam.
IPOH – Pakatan Rakyat (PR) negeri menjemput Barisan Nasional (BN) mengadakan debat terbuka pada 23 Januari ini berhubung isu pembentukan kerajaan PR Perak pada 2008 yang didakwa dipengaruhi oleh rasuah tanah.


Setiausaha Sekretariatnya, Dr Khairuddin Abdul Malek berkata, draf surat jemputan rasmi kepada pimpinan BN untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.



Menurut beliau, pihaknya turut meminta kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memberikan kelulusan Dewan Bandaran Ipoh sebagai lokasi debat selain turut meminta Sinar Harian menjadi orang tengah kepada debat berkenaan.



“Kita akan minta MBI untuk benarkan dewan itu dan jika tidak boleh lokasi debat akan diadakan di Hotel Excelsior. Seperti debat yang dianjurkan oleh Sinar Harian, mereka boleh menjadi moderator ataupun mana-mana media lain yang sudi.



“Kita akan tampilkan dua pendebat dari PR, Datuk Ngeh Koo Ham dan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan kita minta BN tampilkan pimpinan mereka untuk berdebat.



Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain berkata, debat itu dianjurkan bagi memastikan politik negara dipenuhi dengan politik fakta dan bukannya politik murahan fitnah bagi meraih sokongan rakyat.



“Debat itu dibuat memandangkan pelbagai tohmahan isu-isu kepentingan rakyat Perak telah dilontarkan oleh pimpinan BN khususnya di kawasan luar bandar bagi mengelirukan rakyat.



“Kita sudah pun mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan namun respons akar umbi kita menyatakan pimpinan BN di kawasan masih menggunakan isu berkenaan memfitnah PR bagi tujuan meraih sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar, di sini, semalam.



Abu Bakar menambah, atas dasar itu, PR sebulat suara mencabar kepimpinan BN Perak mengulang apa yang didakwa dalam dewan dinyatakan di luar sidang dewan dengan berdebat.



“Kita cabar mereka untuk mengulang ucapan itu di luar dewan dan jangan berselindung di balik kekebalan sidang Dun pada debat yang bakal kita anjurkan kelak,” katanya lagi.



Pada persidangan kedua, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-12, Disember lalu kecoh apabila beberapa wakil rakyat BN membangkitkan pemberian tanah melibatkan dua pemimpin DAP Perak sebagai habuan bagi melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak.



Kekecohan bermula apabila Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) yang mempersoalkan adakah kerajaan Kelantan yang diterajui Pas turut terlibat dalam memastikan calon daripada parti itu dilantik sebagai menteri besar Perak membahaskan Belanjawan Perak 2013 di persidangan Dun berhubung isu tanah di Perak.



Sebelum ini, blog Pisau.net turut menyiarkan dakwaan Koo Ham dan Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming ditawarkan tanah itu sebagai balasan menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar pada 2008.



Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan kononnya beliau memberikan tanah bernilai lebih RM30 juta kepada pimpinan DAP Perak sebagai habuan memastikan Mohammad Nizar dilantik Menteri Besar Perak pada 2008.