Khamis, 16 Ogos 2012

Yang Tertinggal & Yang Terpinggir Masih Ramai Di Perak


Kenyataan Media 
YB V.Sivakumar, 
Timbalan Pengerusi DAP Perak, 
ADUN Kawasan Tronoh 
pada 14/8/2012 
di MTD, Batu Gajah.


Yang Tertinggal & Yang Terpinggir Masih Ramai Di Perak





Seorang warga emas yang bernama Mok Tai Soo (72) merupakan antara orang-orang yang ‘Tertinggal & Terpinggir’ di Negeri Perak. Beliau pernah memohon bantuan kebajikan 4 tahun yang lalu. Tetapi, tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan. Beliau tinggal di sebuah rumah  di MTD Batu Gajah.  Beliau tidak pernah berkahwin dan hidup sebatang kara. Beliau sudah lama tidak bekerja dan tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan. Abangnya yang juga tidak bekerja memberi bantuan makanan kepada beliau. Selain daripada itu beliau tidak mendapat apa-apa pertolongan daripada mana-mana pihak.

Beliau juga menghadapi masalah penglihatan. Salah satu daripada matanya buta menyebabkan beliau tidak boleh keluar untuk mencari apa-apa pendapatan untuk dirinya. Tambahan bula beliau juga menghadapi masalah sakit jantung.

Bukankah kriteria ini cukup untuk Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meluluskan bantuan kewangan kepada beliau? Kalau orang seperti ini tidak dibantu oleh kerajaan, siapakah lagi yang lebih layak? Saya tidak faham peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sebenar. Pegawai-pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pernah melawat beliau di rumahnya pada bulan Februari 2009. Mereka telah mengambil gambar depan, belakang dan sekeliling rumahnya. Tetapi, selepas itu tidak ada apa-apa maklum balas. Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah  langsung tidak prihatin dalam kes ini.

Saya juga tidak faham kenapa Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah tidak mahu menjawab surat-surat dan memberi sebarang maklum balas kepada kes-kes yang disiasat. Jika, permohonan tidak berjaya, perlu dimaklumkan kepada pemohon mengapakah permohonannya ditolak. Saya sungguh berharap bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah akan memainkan peranannya dengan lebih efektif lagi. Saya juga dapat merasakan adanya bau-bau politik dalam kes-kes yang diluluskan dan yang ditolak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah. Saya akan mendedahkan beberapa kes seperti yang dimaklumkan tidak lama lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan