Khamis, 2 Ogos 2012

Penternak Ikan Kampung Bali Tertipu

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh 
pada 1 Ogos 2012 di Kampung Bali, Tronoh.

Penternak Ikan Kampung Bali Tertipu

Penternak-penternak ikan kui di Kampung Bali, Tronoh berasa kecewa dan tertipu dengan kerajaan Negeri Perak. Mereka telah dijanjikan tanah tetapi akhirnya hasrat mereka dihampakan oleh Barisan Nasional. Pada tahun 2007, mantan Menteri Besar Perak  Dato' Seri Diraja Tajol Rosli telah menjanjikan 2 ekar tanah untuk setiap pengusaha ikan kui di Kampung Bali. Janji itu tidak dikotakan oleh Barisan Nasional. Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pada tahun 2008, segala usaha telah diambil untuk memberi geran tanah kepada penternak-penternak ini secara insitu dan mengikut keluasan yang diusahakan oleh penternak masing-masing. Kesemua 39 orang penternak telah bersetuju dengan cadangan kerajaan Pakatan Rakyat itu. Tetapi, sebelum Pakatan Rakyat melaksanakan pemberian geran kepada penternak-penternak ikan ini, Barisan Nasional telah merampas kuasa di Perak. 

Kejatuhan Pakatan Rakyat di Perak merupakan satu malapetaka kepada penternak-penternak ikan kui ini.  Jika kerajaan Pakatan Rakyat terus memerintah negeri Perak sudah tentu penternak-penternak ini memiliki gerak tanah yang mereka usahakan. Nasib mereka tidak baik kerana rejim Barisan Nasional yang merampas kuasa kerajaan tidak prihatin terhadap kebajikan mereka. Mereka tidak diberi geran sehingga hari ini walaupun janji telah dibuat oleh Barisan Nasional sebelum PRU12. Ini merupakan satu lagi janji pilihanraya  Barisan Nasional yang tidak ditepati. 

Pemberian geran tanah kepada penternak-penternak ini adalah penting kerana mereka akan menggiatkan lagi usaha mereka. Mereka akan melabur lagi dan membawa teknologi baru untuk meningkatkan hasil usaha mereka. Segala usaha mereka terbantut kerana tanah kolam-kolam itu bukan milik mereka. Jika kerajaan memberikan geran tanah itu kepada pengusaha-pegusaha ini, produktiviti  dari segi kualiti dan kuantiti ikan kui yang dihasilkan akan bertambah. Tetapi, kerajaan Barisan Nasional langsung tidak mempedulikan penternak-penternak ikan ini. Segala usaha mereka disia-siakan oleh kerajaan sehingga hari ini.

Ikan kui yang dihasilkan dari Kampung Bali adalah berkualiti tinggi. Kebanyakan daripada hasilnya diekspot ke negara lain terutamanya Singapura. Jika kerajaan memberi geran tanah  kepada pengusaha-pengusaha ini serta menghalalkan aktiviti penternakan tersebut, maka  kedua-dua pihak akan menikmati keuntungan daripada pertumbuhan  sektor ekonomi ini. Malangnya kerajaan Barisan Nasional kurang arif dalam menangani masalah yang dibangkitkan. Apa guna ada pakar-pakar ekonomi dalam Barisan Nasional jika masalah kecil seperti ini pun tidak dapat diselesaikan dengan bijaksana oleh mereka.

MCA yang kononnya membela masyarakat Cina juga tidak berani membuka mulut dan menuntut keadilan daripada kerajaan Barisan Nasional Perak. MCA berdiam diri sehingga hari ini kerana meraka tidak berani memperjuangkan hak penternak-penternak ini. Terbukti MCA menjadi boneka UMNO dan sanggup menggadai hak penternak-penternak ikan ini  semata-mata untuk menjaga kepentingan politik mereka.

Baru-baru ini ada pihak luar yang mengeluarkan notis guaman kepada beberapa orang penternak tempatan menuntut  mereka keluar daripada tanah yang mereka usahakan. Pihak ketiga ini mendakwa bahawa mereka telah membeli tanah tersebut daripada orang lain. Ini adalah tidak adil kerana penternak-penternak yang mengusahakan tanah itu tidak diberi geran tetapi pihak ketiga dari luar pula berani menuntut tanah tersebut. Siapakah pihak ketiga ini kalau bukan orang-orang kaya dan mempunyai hubungan erat dengan Barisan Nasional? Penternak-penternak ikan kui sangat kecewa dengan kerajaan Barisan Nasional yang telah mempermainkan mereka selama ini.

Saya telah membawa penternak-penternak ikan itu ke Pejabat Tanah dan Daerah Kinta untuk mendapatkan maklumat terkini tentang status tanah kolam mereka. Mengikut Penolong Pegawai Daerah  Kinta, Batu Gajah, Puan Nordina, kerajaan negeri Perak telah meluluskan keseluruhan tanah yang mereka usahakan itu kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (SADC) pada tahun 2011. Ini adalah satu penganiyayaan  kepada penternak-penternak ini. Sekarang, pemilik sah untuk tanah kolam ini ialah SADC dan bukannya pengusaha-pengusaha ikan kui. SADC akan menentukan nasib penternak-penternak ini pada masa hadapan. 

Inilah perbezaan yang paling nyata antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Pakatan Rakyat mahu merakyatkan ekonomi negeri dengan memberikan geran tanah kepada penterternak-penternak. Manakala, Barisan Nasional pula memberikan tanah itu kepada SADC untuk makan keringat penternak-penternak itu. Barisan Nasional mahu rakyat menjadi hamba kepada mereka untuk selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan