Isnin, 4 Jun 2012

Geran Tanah Di Kawasan Kerap Banjir : Kampung Sri Jaya



Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak & ADUN Kawasan Tronoh pada 3/6/2012 di Kampung Sri Jaya, Batu Gajah.
Geran Tanah Di Kawasan Kerap Banjir : Kampung Sri Jaya
Penduduk  setinggan Kampung Sri Jaya, Batu Gajah telah menerima geran tanah pada 10 Mei 2012. Seramai 10 keluarga yang menetap di kawasan itu telah menerima geran tanah daripada kerajaan negeri. Mereka sudah menetap di kawasan setinggan itu berpuluh-puluh tahun.  Mereka  mempunyai impian untuk mendapatkan sebidang tanah bagi mendirikan rumah. Tetapi, impian mereka berkecai apabila mereka diberi  geran tanah secara insitu.
Pada mulanya mereka dijanjikan tanah di tempat lain. Kemudian dengan tiba-tiba pihak kerajaan negeri telah meluluskan tanah secara insitu kepada penduduk kampung ini.  Kenapa perkara ini berlaku? Kenapa mereka tidak diberi tanah di tempat lain seperti yang dicadangkan lebih awal? Ada sesuatu yang tidak kena dengan tindakan kerajaan negeri memberikan geran tanah secara insitu. Apa sudah jadi dengan tanah yang dicadangkan untuk menempatkan semula penduduk Kampung Sri Jaya? Perkara ini perlu disiasat dengan lebih teliti lagi.
Walau bagaimanapun, penduduk Kampung Sri Jaya yang menerima geran secara insitu berasa agak kecewa. Tanah setinggan yang mereka duduki sekarang sering kali dilanda banjir. Kawasan  setinggan ini terletak berhampiran dengan Sungai Raia. Kawasan ini akan banjir jika air Sungai Raia melimpah akibat hujan lebat. Kerap kali banjir berlaku di kawasan ini setiap tahun. Penduduk kawasan setinggan ini kehilangan banyak  harta benda mereka apabila banjir berlaku di kawasan ini. Perkara ini diketahui oleh semua orang di  sekitar Batu Gajah.
Penduduk kawasan ini juga pernah membuat laporan polis setiap kali berlaku banjir . Saya sendiri pernah melawat dan membantu penduduk Kampung Sri Jaya ketika banjir berlaku. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mempunyai semua rekod mengenai kejadian banjir di kawasan ini.
Sungguh menghairankan bagaimana pihak Jabatan Pengairan dan Saliran telah memberi sokongan kepada kerajaan negeri untuk meluluskan  tanah secara insitu kepada penduduk Kampung Sri Jaya yang tinggal berhampiran dengan Sungai Raia. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran juga tahu bahawa sungai ini sering kali melimpah dan membanjiri kawasan-kawasan yang berhampiran.
Pegawai Daerah Kinta juga tahu tentang masalah di kawasan ini. Oleh yang demikian, kenapa kerajaan negeri memberi geran tanah secara insitu di Kampung Sri Jaya? Kerajaan negeri juga tidak memberi apa-apa cadangan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan ini. Tindakan ini amat tidak adil kerana tanah telah diberi tetapi tidak memberi penyelesaian kepada masalah di tanah itu. Apa gunanya memberi geran tanah tetapi tanah itu tidak membawa faedah kepada penduduk kampung.
Penduduk setinggan Kampung Sri Jaya tidak berani untuk mendirikan rumah di tanah itu kerana takut malapetaka yang lebih dahsyat akan berlaku jika masalah banjir kawasan itu tidak diselesaikan. Saya menyeru kerajaan negeri dan Pegawai Daerah Kinta memberi penjelasan mengenai masalah yang dibangkitkan. Penduduk Kampung Sri Jaya ingin mengetahui bagaimanakah kerajaan negeri akan membantu mereka menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan