Jumaat, 22 Jun 2012

Datuk Bandar Ipoh Telah Membohongi Penduduk Papan


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak , ADUN Kawasan Tronoh pada 21/6/2012 di Papan.
Datuk Bandar Ipoh Telah Membohongi Penduduk Papan

Penduduk  Papan dan sekitarnya mengadu bau busuk akibat projek pelupusan sampah di kawasan ini. Projek MBI ini membawa satu lagi masalah baru kepada penduduk kawasan Papan, Bukit Merah, Menglembu, Pusing, Lahat  dan beberapa tempat lain. Ada juga aduan diterima daripada penduduk kawasan Jelapang  yang mengatakan bahawa terdapat bau busuk pada waktu petang di kawasan kediaman mereka. Dari manakah datangnya bau busuk ini?

MBI telah memulakan pelupusan sampah di kawasan Papan pada 1 April 2012. Belum sampai 3 bulan projek dimulakan, penduduk-penduduk kawasan persekitaran telah mengadu bau yang terlalu busuk terutamanya pada waktu petang dan malam. Mereka mengadu bahawa mereka telah hilang keselesaan sejak projek pelupusan ini dimulakan oleh MBI di kawasan Papan.

Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan 560 ekar tanah untuk pelupusan sampah di kawasan papan. Walaupun dibantah oleh penduduk-penduduk Papan dan sekitarnya, tetapi kerajaan berdegil juga untuk melaksanakan projek ini. Lebih daripada 1000 orang penduduk tempatan telah menurunkan tandatangan  membantah projek ini pada awal tahun ini. Walau bagaimanapun MBI tidak mempedulikan bantahan rakyat tempatan. Mereka hanya mahu menyelesaiakan masalah bau busuk di tapak pelupusan sampah Bercham.

Akhirnya mereka telah berpindah  dari tapak pelupusan sampah Bercham ke Papan. Saya bersama-sama dengan YB Lim Pek Har, ADUN Kawasan Menglembu telah berjumpa Dengan Datuk Bandar Ipoh pada awal bulan Mac 2012 berhubung dengan projek pelupusan sisa pepejal ini.

Dalam perjumpaan itu, Datuk Bandar Ipoh telah memberi jaminan bahawa tidak akan timbul isu bau busuk seperti yang dijangkakan oleh kami. Beliau memberitahu bahawa MBI akan melaksanakan ‘projek teknologi tinggi’ untuk memproses sampah di kawasan Papan itu. Tetapi, jelas sekali beliau telah membohongi penduduk  Papan dan sekitarnya.

Setakat ini tidak ada apa-apa projek pembinaan loji untuk memproses sisa pepejal di tapak tanah yang diluluskan. MBI hanya melaksanakan pembuangan sampah secara tradisional ‘kutip, buang dan tutup’.  Adakah MBI bercadang untuk menggunakan keseluruhan 560 ekar tanah ini untuk dijadikan tempat buang sampah? Setakat ini kurang daripada 1 ekar tanah digunakan  untuk membuang sampah di kawasan itu, tetapi ramai penduduk kawasan itu telah  membuat aduan. Apakah akan berlaku jika 100 atau 200 ekar dibuang sampah dalam tempoh 2 atau 3 tahun lagi?

Saya minta supaya Datuk Bandar Ipoh turun padang untuk tunjukkan kepada rakyat apakah yang beliau maksudkan ‘Projek pelupusan sisa pepejal berteknologi tinggi’ yang dijalankan di kawasan papan ini. Masalah ini perlu diselesaikan dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah lagi.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan