Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP
Perak, ADUN Kawasan Tronoh di Ipoh pada 27/6/2012.
MIC Gulung Tikar Jika Tidak Berani Bela Datuk Ambiga
UMNO dan ‘rasism’ tidak boleh
dipisahkan. Politik UMNO adalah politik perkauman. Tanpa isu perkauman, UMNO tidak tahu berpolitik. Pemimpin-pemimpin UMNO
menggunakan perkauman sebagai senjata untuk menimbulkan salah faham dan
permusuhan antara kaum di negara ini. UMNO menggunakan sentimen perkauman untuk
meraih undi daripada orang-orang Melayu. Ini adalah permainan politik kotor
kerana mewujudkan ketegangan antara kaum di negara ini.
Peristiwa yang berlaku di
Parlimen hari ini sungguh menyedihkan apabila Ahli Parlimen BN Seri Gading,
Datuk Mohamad Aziz mahu Pengerusi
Bersama Bersih Datuk S.Ambiga ‘digantung’
kerana didakwanya sebagai seorang pengkhianat.
Perkara ini tidak patut disebut oleh seorang ahli parlimen. Beliau tidak
boleh dan tidak patut berhujah di parlimen dengan bahasa yang boleh menyinggung
perasaan seseorang individu atau satu kaum tertentu. Imuniti untuk berucap di
parlimen telah disalah gunakan oleh beliau. Tindakan beliau memalukan Parlimen Malaysia.
Kenyataan beliau pastinya
mempunyai niat perkauman. Beliau mahu Datuk S. Ambiga ‘digantung’ semata-mata kerana
dia seorang wanita India. Ini merupakan
satu penghinaan kepada keseluruhan masyarakat India dan kaum ibu di negara ini.
Rakyat Malaysia tidak patut memaafkan orang seperti ini. Mereka perlu dihukum
melalui peti undi dalam PRU13.
MIC mahu UMNO berhenti mencemuh Datuk S. Ambiga. MIC sudah berasa takut dan ragu kerana hilang lebih banyak undi
orang-orang India terutamanya kaum ibu kerana tindakan-tindakan UMNO yang
keterlaluan. Datuk S. Ambiga telah melalui penghinaan dan cemuhan yang melampau
daripada orang-orang UNMO dan segelintir NGO yang tidak bertanggungjawab.
MIC hanya mampu memberi teguran
lembut kepada UMNO ibarat menyurat di atas air. UMNO tidak akan menghormati pemimpin-pemimpin MIC yang sudah pasti telah
kehilangan sokongan masyarakat India. UMNO tidak peduli terhadap MIC dan undi
orang-orang India di negara ini. Itulah sebabnya mereka seringkali menghina
kaum India di negara ini. Pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak hanya bersandiwara menunjukkan keprihatinan mereka
terhadap kaum India.
Kalau MIC banar-benar berani,
saya mencabar pemimpin-pemimpinnya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen
Seri Gading, Datuk Muhamad Aziz yang mengeluarkan kenyataan yang sensitif di
parlimen hari ini. Jika tidak, MIC harus mengaku bahawa parti itu adalah boneka UMNO dulu,
sekarang dan selama-lamanya. Rakyat akan memastikan MIC akan menggulung tikar
bersama-sama dengan UMNO dalam PRU13 nanti.