Ahad, 27 Jun 2010

Lesen Judi Tidak Lalu Kerana Kuasa Rakyat


Kenyataan Media Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) merangkap Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook, pada hari Sabtu, 26 Jun 2010 di Petaling Jaya.

Kuasa Rakyat mengubah keputusan kerajaan dalam isu pemberian lesen perjudian sukan.

Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menarik balik hasrat memberikan lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam semalam. Ini merupakan satu keputusan yang tepat dan memenuhi hasrat dan permintaan rakyat Malaysia. Ia juga membuktikan pandangan yang telah dilontarkan oleh DAPSY dan pertubuhan lain yang menentang pemberian lesen tersebut memang ada asas yang kukuh dan hujah yang meyakinkan.

Keputusan ini dilihat sebagai kesan kebangkitan kuasa rakyat yang dicetuskan oleh “tsunami politik 8 Mac 2008”. Suara rakyat tidak lagi dapat diketepikan oleh pimpinan kerajaan seperti dahulu dan mampu mengubah keputusan dan pendirian kerajaan dalam sebarang isu termasuk isu lesen perjudian sukan ini.

Walaupun secara umumnya keputusan ini dialu-alukan, namun persoalan yang timbul ialah mengapa keputusan pemberian lesen ini yang sepatutnya dikeluarkan oleh kerajaan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan bukannya mesyuarat Kabinet? Apakah Majlis Tertinggi UMNO yang menentukan segala dasar kerajaan dan bukannya Kabinet yang dianggotai oleh semua wakil komponen Barisan Nasional? Dimanakah semangat perkongsian kuasa yang menjadi prinsip utama Barisan Nasional?

Amat jelas sekali bahawa yang menjagi penentu segala keputusan dalam kerajaan ialah UMNO dan bukannya Barisan Nasional. Kuasa hegemoni UMNO dalam Barisan Nasional semakin menonjol dan parti-parti komponen yang lain hanya berperanan sebagai “penghias” semata-mata. Pandangan daripada MCA, Gerakan, MIC, PPP dan lain-lain adalah tidak relevan sama sekali.

Pucuk pimpinan MCA, MIC dan PPP telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap pemberian lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports sebelum ini. DAPSY ingin mempersoalkan apakah pendirian mereka sekarang? Atau sokong sahaja sebarang keputusan yang dibuat oleh UMNO?



LOKE SIEW FOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan