Rabu, 5 April 2017

KDN Perlu Kesungguhan Politik Bagi Membendung Judi Haram

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 April 2017 di Dewan Rakyat, Parlimen.


Perjudian haram merupakan satu fenomena yang menghantui masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi. Masalah ini semakin bertambah walaupun pelbagai usaha telah diambil untuk membendungnya. Setiap tahun kita melihat ada juga pembukaan pusat-pusat perjudian siber di merata tempat.

Kita ada undang-undang yang tegas. Kita ada agensi penguatkuasa. Tetapi, masalah ini tetap wujud. Persoalannya kenapakah pelaku jenayah berani membuka pusat-pusat perjudian haram ini. Mereka tidak takut dengan undang-undang yang sedia ada? Atau penguatkuasaan tidak efektif.

Saya percaya masalah ini boleh diselesaikan jika Kementerian Dalam Negeri bersungguh-sungguh dan mempunyai 'political will'. Tetapi, nampaknya terdapat kekurangan dalam 'political will' yang saya maksudkan. Adakah unsur rasuah menyebabkan segala usaha untuk membendung gejala ini tergendala.

Apabila kanak-kanak sekolah mengetahui lokasi pusat-pusat perjudian ini, bagaimana pula pihak berkuasa tidak mengetahuinya? Adalah pelik dan tidak munasabah jika agensi penguatkuasa menafikan mengetahui pengoperasian pusat-pusat judi ini di kawasan di bawah kawalan mereka.

Saya risau masa hadapan anak-anak kita terancam jika kita tidak serius dalam hal ini. Judi haram adalah musuh kepada semua bangsa di negara kita. Ini tidak boleh dianggap masalah mana-mana satu kaum. Perjudian haram ini akan menjadi punca kepada jenayah-jenayah lain.

Saya telah menanyakan satu soalan lisan di Dewan Rakyat mengenai isu ini pada 4 April 2017. Soalanya adalah seperti berikut:


"Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu  Gajah] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan tentang 800,000 mesin judi yang dirampas oleh PDRM dari tahun 2011 hingga tahun 2016. Adakah mesin-mesin judi itu telah dilupuskan? Berapakah hasil yang diperolehi oleh Kementerian daripada pelupusan mesin-mesin judi itu? "
Jawapan yang diberi oleh Menteri Dalam Negeri adalah seperti berikut:

"Mengikut peruntukan Seksyen 16A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, penyitaan dan pemusnahan barang rampasan mesin perjudian sama ada terdapat pertuduhan atau tidak hendaklah berdasarkan kepada arahan daripada Majistret kepada Ketua Polis Daerah.

Bagi tahun 2011 sehingga 2016, jumlah keseluruhan rampasan komputer dan komponen komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian haram adalah sebanyak 693,663 unit dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 191,389 unit komputer dan komponennya telah dimusnahkan. Manakala bakinya masih lagi di peringkat perbicaraan, siasatan dan menunggu arahan Mahkamah.

Pelupusan barang-barang kes adalah tertakluk kepada arahan daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui surat bertarikh 24 Sepember 2010 dalam rujukan KK/BKP 10/535/20/15(9) mengenai Pelupusan Aset Yang Dikategorikan Sebagai Buangan Terjadual. 

Berdasarkan arahan ini, komputer dan komponen adalah termasuk dalam buangan berjadual dan pelupusannya perlu berpandukan kepada Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.


PDRM telah melaksanakan pelupusan mengikut arahan-arahan yang telah dikeluarkan melalui pemusnahan secara fizikal dan kemudiannya ditanam  dalam tanah. Oleh yang demikian, PDRM tidak memperolehi sebarang pendapatan daripada pelupusan yang dijalankan."

Tiada ulasan:

Catat Komen