Kenyataan Media YB Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 April 2017 di Ipoh.
Kaum India telah tersungkur daripada agenda perdana ekonomi negara. Blue Print kaum India yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi adalah usaha untuk memperdayakan kaum India menyokong Barisan Nasional dalam RRU14.
Kita sudah lama mendengar tentang Blue Print ini. Tetapi, wajahnya tidak kelihatan untuk sekian lama. Tiba-tiba pemimpin-pemimpin MIC sudah mula bercakap tentang Blue Print ini. Kononnya Blue Print ini merangkumi segala aspek pembangunan sosio-ekonomi kaum India. Maklumlah, PRU14 sudah semakin hampir. Pemimpin-pemimpin MIC sudah memulakan sandiwara dengan usaha-usaha memperbodohkan kaum India dengan gimik politik seperti ini.
Pemimpin-pemimpin MIC tidak pernah berasa malu untuk menipu kaumnya sendiri. Enam puluh tahun telah berlalu selepas negara kita mencapai kemerdekaan, tetapi sikap dan perangai mereka tidak berubah. Setiap kali berpilihanraya, mereka bersama-sama dengan UMNO akan datang membawa gula-gula kepada masyarakat India. Pelbagai janji kosong ditaburkan di hati mereka. Akhirnya, selepas memenangi piliharaya janji-janji itu dicapatikan seperti biasa.
Kali ini, mereka datang dengan Blue Print. Walaupun Blue Print ini adalah janji pilihanraya semata-mata, saya pasti akan mengambil masa membacanya untuk mengetahui bagaimanakah kerajaan akan kelentong masyarakat India kali ini.
Kaum India sangat mengharapkan kerajaan untuk mendapatkan bantuan pendidikan. Setiap tahun ratusan pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang gagal diberi tawaran kursus yang dikehendaki. Ini menghancurkan cita-cita yang diidamkan oleh mereka sejak kecil lagi. Ibubapa yang kurang berada juga tidak dapat menunaikan hasrat hati anak-anak mereka. Begitulah nasib ribuan anak-anak kita yang akhirnya terpaksa mengkuburkan niat mereka di lubuk hati masing-masing.
Kerajaan gagal mewujudkan dana pendidikan seperti MARA untuk membantu anak-anak miskin kaum India. MARA menaja anak-anak miskin Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di dalam dan di luar negara.
Sehingga kini terdapat 9,871 orang pelajar tajaan MARA di luar negara. Daripada jumlah tersebut seramai 3,100 orang terdiri daripada pelajar dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi. Manakala untuk tahun 2017, MARA mensasarkan akan menaja seramai 450 orang pelajar cemerlang di dalam dan di luar negara dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.
Saya secara prinsipnya bersetuju dengan kaedah yang ditangani oleh kerajaan membantu anak-anak Bumiputera. Golongan miskin perlu dibantu tanpa mengira agama dan bangsa. Tetapi, kerajaan gagal membantu anak-anak miskin kaum India yang memperolehi keputusan yang cemerlang. Apakah kerajaan akan terus membisu dalam soal pendidikan anak-anak miskin ini? MIC pula tidak berani menjawab soalan ini kerana terpaksa mengikut telunjuk tuannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan