Lebih daripada satu tahun bangunan tambahan SJKT Desa Pinji yang siap dibina masih belum dibuka. Sungguh memalukan dan mengecewakan. Timbalan Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab tidur? (16/4/2017)
Rabu, 19 April 2017
Rabu, 5 April 2017
KDN Perlu Kesungguhan Politik Bagi Membendung Judi Haram
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 April 2017 di Dewan Rakyat, Parlimen.
Perjudian haram merupakan satu fenomena yang menghantui masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi. Masalah ini semakin bertambah walaupun pelbagai usaha telah diambil untuk membendungnya. Setiap tahun kita melihat ada juga pembukaan pusat-pusat perjudian siber di merata tempat.
Kita ada undang-undang yang tegas. Kita ada agensi penguatkuasa. Tetapi, masalah ini tetap wujud. Persoalannya kenapakah pelaku jenayah berani membuka pusat-pusat perjudian haram ini. Mereka tidak takut dengan undang-undang yang sedia ada? Atau penguatkuasaan tidak efektif.
Saya percaya masalah ini boleh diselesaikan jika Kementerian Dalam Negeri bersungguh-sungguh dan mempunyai 'political will'. Tetapi, nampaknya terdapat kekurangan dalam 'political will' yang saya maksudkan. Adakah unsur rasuah menyebabkan segala usaha untuk membendung gejala ini tergendala.
Apabila kanak-kanak sekolah mengetahui lokasi pusat-pusat perjudian ini, bagaimana pula pihak berkuasa tidak mengetahuinya? Adalah pelik dan tidak munasabah jika agensi penguatkuasa menafikan mengetahui pengoperasian pusat-pusat judi ini di kawasan di bawah kawalan mereka.
Saya risau masa hadapan anak-anak kita terancam jika kita tidak serius dalam hal ini. Judi haram adalah musuh kepada semua bangsa di negara kita. Ini tidak boleh dianggap masalah mana-mana satu kaum. Perjudian haram ini akan menjadi punca kepada jenayah-jenayah lain.
Saya telah menanyakan satu soalan lisan di Dewan Rakyat mengenai isu ini pada 4 April 2017. Soalanya adalah seperti berikut:
"Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu Gajah] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan tentang 800,000 mesin judi yang dirampas oleh PDRM dari tahun 2011 hingga tahun 2016. Adakah mesin-mesin judi itu telah dilupuskan? Berapakah hasil yang diperolehi oleh Kementerian daripada pelupusan mesin-mesin judi itu? "
Jawapan yang diberi oleh Menteri Dalam Negeri adalah seperti berikut:
"Mengikut peruntukan Seksyen 16A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, penyitaan dan pemusnahan barang rampasan mesin perjudian sama ada terdapat pertuduhan atau tidak hendaklah berdasarkan kepada arahan daripada Majistret kepada Ketua Polis Daerah.
Bagi tahun 2011 sehingga 2016, jumlah keseluruhan rampasan komputer dan komponen komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian haram adalah sebanyak 693,663 unit dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 191,389 unit komputer dan komponennya telah dimusnahkan. Manakala bakinya masih lagi di peringkat perbicaraan, siasatan dan menunggu arahan Mahkamah.
Pelupusan barang-barang kes adalah tertakluk kepada arahan daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui surat bertarikh 24 Sepember 2010 dalam rujukan KK/BKP 10/535/20/15(9) mengenai Pelupusan Aset Yang Dikategorikan Sebagai Buangan Terjadual.
Berdasarkan arahan ini, komputer dan komponen adalah termasuk dalam buangan berjadual dan pelupusannya perlu berpandukan kepada Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.
PDRM telah melaksanakan pelupusan mengikut arahan-arahan yang telah dikeluarkan melalui pemusnahan secara fizikal dan kemudiannya ditanam dalam tanah. Oleh yang demikian, PDRM tidak memperolehi sebarang pendapatan daripada pelupusan yang dijalankan."
Isnin, 3 April 2017
Blue Print Adalah Gula-gula Pilihanraya Bagi Kaum India
Kenyataan Media YB Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 April 2017 di Ipoh.
Kaum India telah tersungkur daripada agenda perdana ekonomi negara. Blue Print kaum India yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi adalah usaha untuk memperdayakan kaum India menyokong Barisan Nasional dalam RRU14.
Kita sudah lama mendengar tentang Blue Print ini. Tetapi, wajahnya tidak kelihatan untuk sekian lama. Tiba-tiba pemimpin-pemimpin MIC sudah mula bercakap tentang Blue Print ini. Kononnya Blue Print ini merangkumi segala aspek pembangunan sosio-ekonomi kaum India. Maklumlah, PRU14 sudah semakin hampir. Pemimpin-pemimpin MIC sudah memulakan sandiwara dengan usaha-usaha memperbodohkan kaum India dengan gimik politik seperti ini.
Pemimpin-pemimpin MIC tidak pernah berasa malu untuk menipu kaumnya sendiri. Enam puluh tahun telah berlalu selepas negara kita mencapai kemerdekaan, tetapi sikap dan perangai mereka tidak berubah. Setiap kali berpilihanraya, mereka bersama-sama dengan UMNO akan datang membawa gula-gula kepada masyarakat India. Pelbagai janji kosong ditaburkan di hati mereka. Akhirnya, selepas memenangi piliharaya janji-janji itu dicapatikan seperti biasa.
Kali ini, mereka datang dengan Blue Print. Walaupun Blue Print ini adalah janji pilihanraya semata-mata, saya pasti akan mengambil masa membacanya untuk mengetahui bagaimanakah kerajaan akan kelentong masyarakat India kali ini.
Kaum India sangat mengharapkan kerajaan untuk mendapatkan bantuan pendidikan. Setiap tahun ratusan pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang gagal diberi tawaran kursus yang dikehendaki. Ini menghancurkan cita-cita yang diidamkan oleh mereka sejak kecil lagi. Ibubapa yang kurang berada juga tidak dapat menunaikan hasrat hati anak-anak mereka. Begitulah nasib ribuan anak-anak kita yang akhirnya terpaksa mengkuburkan niat mereka di lubuk hati masing-masing.
Kerajaan gagal mewujudkan dana pendidikan seperti MARA untuk membantu anak-anak miskin kaum India. MARA menaja anak-anak miskin Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di dalam dan di luar negara.
Sehingga kini terdapat 9,871 orang pelajar tajaan MARA di luar negara. Daripada jumlah tersebut seramai 3,100 orang terdiri daripada pelajar dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi. Manakala untuk tahun 2017, MARA mensasarkan akan menaja seramai 450 orang pelajar cemerlang di dalam dan di luar negara dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.
Saya secara prinsipnya bersetuju dengan kaedah yang ditangani oleh kerajaan membantu anak-anak Bumiputera. Golongan miskin perlu dibantu tanpa mengira agama dan bangsa. Tetapi, kerajaan gagal membantu anak-anak miskin kaum India yang memperolehi keputusan yang cemerlang. Apakah kerajaan akan terus membisu dalam soal pendidikan anak-anak miskin ini? MIC pula tidak berani menjawab soalan ini kerana terpaksa mengikut telunjuk tuannya.
Perhimpunan Aman Menuntut RM33.5 juta Untuk SJKT
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 April 2017 di Dataran Little India, Ipoh.
Satu perhimpunan aman telah diadakan di Dataran Little India Ipoh untuk menuntut supaya RM33.5 juta disalurkan kepada sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara. Sekolah-sekolah Tamil seharusnya menerima peruntukkan sebanyak RM50 juta bagi tahun 2016. Tetapi kerajaan hanya menyalurkan RM16.5 juta pada tahun tersebut.
Pemimpin-pemimpin MIC gagal untuk mendapatkan peruntukkan tersebut. Saya telah memohon kepada Timbalan Menteri Kewangan untuk meluluskan baki RM16.5 juta di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada 27 Mac 2017.
Perhimpunan aman pada pagi ini adalah untuk meminta kerajaan meluluskan baki RM33.5 juta untuk sekolah-sekolah Tamil pada kadar yang segera. Ini adalah kerana banyak sekolah-sekolah Tamil masih menanti peruntukkan ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
Najib Bertemu Rajinikanth Untuk Pancing Undi Kaum India
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 April 2017 di Ipoh.
Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri bersama delegasinya berada di India sekarang. Semua pemimpin-pemimpin utama MIC juga berada bersamanya di negara itu. Apakah tujuan utama beliau melawat negara India?
Negara India yang dikenali sebagai benua kecil mempunyai 1.33 bilion penduduk iaitu lebih kurang 16.8% daripada penduduk dunia. India juga menjadi kuasa ekonomi yang pesat berkembang di rantau Asia. Kini, India juga merupakan sebuah negara pembekal tenaga intelek ke seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat.
Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang progresif dengan India. Potensi perniagaan dan pasaran adalah cukup luas di negara itu. India merupakan pembeli minyak kelapa sawit yang utama daripada Malaysia. Kita juga sedang berusaha untuk membuka luas pintu kepada pelancong-pelancong dari India.
Oleh yang demikian, hubungan diplomatik yang baik untuk mengukuhkan perdagangan antara kedua-dua negara adalah wajar. Perjumpaan diantara pemimpin-pemimpin utama Malaysia dan India dalam konteks itu tidak boleh dipertikaikan.
Tetapi, lawatan Perdana Menteri ke rumah pelakon paling terkemuka di Tamil Nadu iaitu Superstar Rajinikanth menimbulkan banyak persoalan dikalangan masyarakat di Malaysia. Pelbagai reaksi dilihat dalam media sosial mengenai soal ini. Apakah niat pemimpin utama negara kita melawat pelakon terkenal itu?
Adakah ini dilakukan dengan niat untuk memancing undi kaum India dalam PRU14 nanti? Adakah lawatan ini dilakukan dengan tujuan melembutkan hati peminat-peminat Superstar Rajinikanth? Adakah lawatan ini adalah satu lagi usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu 1MDB?
Superstar Rajinikanth merupakan seorang hero yang sentiasa memperjuangkan kebaikan dan keadilan dalam filem-filem lakonannya. Banyak unsur-unsur motivasi diselitkan dalam pertuturan dan lagu-lagu filem beliau. Saya juga merupakan peminat setia kepada pelakon bergaya yang menjadi idola sebahagian besar golongan muda hari ini.
Saya rasa terkilan melihat Perdana Menteri Malaysia yang diselubungi denģan pelbagai skandal melawat pelakon popular itu. Saya melihatnya seolah-olah satu pertemuan watak 'hitam' dan 'putih'. Saya yakin pengundi-pengundi kaum India tidak terpedaya dengan gimik politik Perdana Menteri. Kita harus melawan kuasa jahat dan kezaliman seperti yang ditonjolkan oleh hero filem Tamil itu dan bukanlah sebaliknya.
Langgan:
Catatan (Atom)