Isnin, 23 Januari 2017

PRU14 : Rakyat Berubah Atau Terus Dizalimi

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak & Setiausaha Pakatan Harapan Perak pada 18 Januari 2017 di Kuala Terla, Cameron Highlands.


Rakyat mahukan perubahan. Barisan Nasional telah merosakkan negara ini sehingga rakyat terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi. Rasuah telah merayap begitu ketara dari peringkat tertinggi sehingga ke peringkat bawahan.

SPRM hanya berani menangkap penjawat-penjawat awam. Tetapi, skandal-skandal dana bernilai berbilion ringgit yang melibatkan Menteri dibiarkan begitu sahaja. 

Ditambah lagi dengan kos sara hidup yang melampau. Rakyat sedang ditimpa krisis kenaikan harga barangan yang mendadak. Keluhan mereka tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.


Rakyat Didahulukan? Mungkin juga benar, kerana rakyatlah sengsara terlebih dahulu. Keborosan dan ketirisan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah menyebabkan rakyat hidup melarat pada hari ini.

Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang membantu rakyat dalam masa-masa tertekan. Tetapi, kerajaan yang ada hari ini adalah zalim kerana menambahkan beban rakyat dengan cukai baru dan menghapuskan subsidi yang pernah diberi kan sebelum ini.

Barisan Nasional angkuh kerana mereka menang semua piliharaya umum sebelum ini. Mereka yakin rakyat akan pasti mengundi komponen itu walaupun ditindas. Tetapi adakah rakyat akan tertipu lagi? Saya melihat PRU14 adalah cukup berbeza.

Sudah mula nampak riak-riak kebangkitan dikalangan sahabat-sahabat Melayu. Saya percaya sahabat-sahabat Cina dan India juga akan kekal bersama dalam perjuangan ini. Kebangkitan rakyat ini akan mengolah perubahan dan bakal memberi kemenangan Pakatan Harapan  menggantikan Barisan Nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan