Rabu, 25 Januari 2017

DAP Menyambut Tahun Baru Cina Di Kampung Bali

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 23 Januari 2017 di Kampung Baru Bali, Tronoh.


DAP Kampung Baru Bali, Tronoh telah menganjurkan Jamuan Makan Malam Tahun Baru Cina di cawanganya pada hari ini. Seperti tahun-tahun sebelum ini, sambutan Tahun Baru Cina diatur meriah di Kampung Baru tersebut.

Jamuan Makan Malam disampingi dengan pertandingan karaoke disambut baik oleh para hadirin. Sumbangan wang tunai 'Ang Pow' dan hamper juga telah diberikan kepada warga emas dan golongan miskin di kampung baru tersebut.
Walaupun hujan tidak berhenti-henti tetapi majlis telah berjalan dengan lancar. 

Program ini dihadiri oleh YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, YB Paul Yong ADUN Tronoh dan YB Lim Pek Har ADUN Menglembu. Ketiga-tiga wakil rakyat yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Perak telah memberi ucapan ringkas Tahun Baru Cina di majlis tersebut.

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi Cawangan DAP Kampung Baru Bali Saudara Fam Choy dan Ahli-ahli Jawatankuasa cawangannya yang telah berjaya menganjurkan program yang penuh  bermakna ini.

Banjir Di Kampung Baru Nalla; Sungai Cetek & Kelubong Kecil Adalah Puncanya

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 24 Januari 2017 di Kampung Baru Nalla, Tronoh.



Air Sungai Selinsing di Kampung Baru Nalla telah melimpah lebih kurang jam 3.00 pagi. Air bah memasuki beberapa rumah di Kampung Baru Nalla selepas satu jam. Kampung Kurnia yang berada di sebelah Kampung Baru Nalla juga turut dilanda banjir.

Walaupun tidak ada sebarang kemalangan nyawa ataupun kecederaan tetapi harta benda di dalam rumah telah rosak. Jumlah kerugian belum diketahui. Setakat ini mangsa-mangsa banjir tidak dipindahkan ke mana-mana pusat kerana mereka enggan keluar dari rumah masing-masing. Walau bagaimanapun, pihak polis dan pihak Angkatan Pertahanan Awam bersiap sedia untuk membantu memindahkan mereka jika hujan tidak berhenti dan paras air naik lagi.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dihubungi untuk menyediakan tempat perlindungan dan makanan jika mangsa-mangsa perlu dipindahkan. Saya bersama YB Paul Yong ADUN Tronoh telah melawat kawasan banjir pagi tadi. Banjir kali ini adalah paling teruk dalam 10 tahun yang lalu di kawasan Kampung Baru Nalla, Tronoh.

Jalan Besar yang menjadi jalan utama memasuki kampung itu telah dinaiki air setinggi lebih kurang 4 kaki. Ini menyebabkan orang-orang kampung tidak boleh keluar masuk.


Sungai Selinsing adalah terlalu kecil untuk menampung jumlah air yang besar terutamanya semasa hujan lebat. Selain daripada itu, kelubong di Jalan Besar Kampung Baru Nalla adalah terlalu kecil. Kelubong ini perlu digantikan dengan jambatan yang dibina pada paras yang lebih tinggi.

Saya pernah membawa isu ini di Dewan Negeri Perak beberapa tahun yang lalu. ADUN Tronoh YB Paul Yong juga pernah membangkitkan isu kecetekan sungai di Dewan Negeri Perak.


Saya memohon kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengambil tindakan segera membesarkan dan mendalamkan Sungai Selinsing. Selain daripada itu, menyediakan peruntukan khas untuk membina jambatan menggantikan kelubong di Jalan Besar, Kampung Baru Nalla. Hanya dengan cara ini masalah banjir di kawasan ini dapat diatasi.

Isnin, 23 Januari 2017

PRU14 : Rakyat Berubah Atau Terus Dizalimi

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak & Setiausaha Pakatan Harapan Perak pada 18 Januari 2017 di Kuala Terla, Cameron Highlands.


Rakyat mahukan perubahan. Barisan Nasional telah merosakkan negara ini sehingga rakyat terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi. Rasuah telah merayap begitu ketara dari peringkat tertinggi sehingga ke peringkat bawahan.

SPRM hanya berani menangkap penjawat-penjawat awam. Tetapi, skandal-skandal dana bernilai berbilion ringgit yang melibatkan Menteri dibiarkan begitu sahaja. 

Ditambah lagi dengan kos sara hidup yang melampau. Rakyat sedang ditimpa krisis kenaikan harga barangan yang mendadak. Keluhan mereka tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.


Rakyat Didahulukan? Mungkin juga benar, kerana rakyatlah sengsara terlebih dahulu. Keborosan dan ketirisan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah menyebabkan rakyat hidup melarat pada hari ini.

Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang membantu rakyat dalam masa-masa tertekan. Tetapi, kerajaan yang ada hari ini adalah zalim kerana menambahkan beban rakyat dengan cukai baru dan menghapuskan subsidi yang pernah diberi kan sebelum ini.

Barisan Nasional angkuh kerana mereka menang semua piliharaya umum sebelum ini. Mereka yakin rakyat akan pasti mengundi komponen itu walaupun ditindas. Tetapi adakah rakyat akan tertipu lagi? Saya melihat PRU14 adalah cukup berbeza.

Sudah mula nampak riak-riak kebangkitan dikalangan sahabat-sahabat Melayu. Saya percaya sahabat-sahabat Cina dan India juga akan kekal bersama dalam perjuangan ini. Kebangkitan rakyat ini akan mengolah perubahan dan bakal memberi kemenangan Pakatan Harapan  menggantikan Barisan Nasional.