Ahad, 31 Ogos 2014

Ramai Yang Putus Asa, Ramai Yang Tertipu, Ramai Yang Hilang Peluang & Faedah Kerana Kerajaan BN Gagal Selesaikan Masalah Taraf Kewarganegaraan Sebilangan Besar Kaum India Yang Tercicir




Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 27 Ogos 2014 di Batu Gajah




Masalah kewarganegaraan merupakan isu penting bagi ramai dari kalangan kaum India yang lahir di negara ini. Perkara ini bukanlah satu masalah baru. Walaupun perkara ini telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak, tetapi masalah ini tidak diselesaikan oleh kerajaan sehingga hari ini. Pada hakikatnya, kerajaan tidak serius menangani masalah ini semata-mata kerana ianya melibatkan kaum India. Pemimpin-pemimpin MIC juga tidak mengambil berat menyelesaikan masalah ini kerana sentiasa ikut telunjuk UMNO yang mempunyai agendanya tersendiri.

Tidak ada inisiatif oleh kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini. Ribuan dari kalangan masyarakat India memiliki kad pengenalan merah. Mereka tidak mendapat bantuan daripada pihak berkuasa. Mereka dibiarkan hidup begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Ramai juga yang pernah ditipu oleh pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan dalam hal ini. Mereka pernah membelanjakan banyak wang tetapi tidak mendapat sebarang hasil yang dihasratkan. Sampai bila masyarakat India akan ditipu dan diperdayakan?

Program MyDaftar juga merupakan satu kosmetik politik kerajaan Barisan Nasional untuk mengelirukan masyarakat India sewaktu pilihanraya. Berapakah orang yang sebenarnya telah diberi taraf kewarganegaraan di bawah program MyDaftar setakat ini? Saya mohon supaya kerajaan mendedahkan maklumat statistik mengenai pemberian taraf kewarganegaraan kepada kaum India sejak program MyDaftar dilancarkan.

Adakah pernah kerajaan melancarkan satu operasi besar-besaran untuk mengenalpasti semua orang yang memiliki kad pengenalan merah di negara ini? Apakah usaha kerajaan untuk membantu mereka yang layak membuat permohonan taraf kewarganegaraan? Setakat ini saya belum pernah mendengar apa-apa operasi yang dilancarka secara besar-besaran dalam menangani masalah ini. Kempen-kempen yang dilaksanakan setakat ini semuanya tidak berjaya membendung masalah ini.

Puan Neela a/p Apparau yang berumur 53 tahun dari Bandar Sri Pengkalan Ipoh merupakan salah seorang daripada anak jati yang lahir di tanahair ini tetapi masih tidak mendapat taraf kewarganegaraan. Beliau terpaksa memiliki kad pengenalan merah kerana tidak mempunyai surat lahir. Beliau dibesarkan oleh neneknya. Suaminya bekerja sebagai seorang pengurus dan memiliki kad pengenalan biru. Perkahwinan mereka telah didaftarkan pada tahun 1984. Puan Neela mempunyai 2 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan. Semua anaknya memiliki kad pengenalan biru

Sejak berkahwin, beliau telah berusaha beberapa kali untuk memohon kad pengenalan biru tetapi gagal. Pelbagai usaha tetal diambil tetapi semuanya telah menjadi hampa. Beliau masih tidak putus asa untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia. Beliau tidak menikmati apa jua faedah sebagai warganegara Malaysia walaupun dilahirkan di negara ini. Beliau juga tidak berpeluang bekerja kerana nasibnya yang malang itu.

Puan Neela telah datang ke Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu Gajah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan berkaitan dengan taraf kewarganegaraan beliau. Pejabat saya akan membantu sedaya yang boleh untuk mendapatkan taraf ke warganegaraan kepada beliau. Permohonan akan dibuat segera di bawah Artikel 19 Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan