Selasa, 26 Ogos 2014

Belia India Ramai Salah Langkah Kerana Penindasan Berterusan Yang Mengheret Mereka Dalam Masalah Sosio-Ekonomi Yang Meruncing



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 19 Ogos 2014 di Ipoh


Masalah budaya samseng merupakan satu fenomena kritikal yang dihadapi oleh belia pada hari ini terutamanya dari kalangan kaum India. Ini bukanlah masalah kaum India semata-mata. Masalah ini merupakan masalah negara kita yang perlu dilihat dalam konteks makro. Penglibatan kaum India dalam kumpulan-kumpulan kongsi gelap bukan sahaja akan merugikan mereka sendiri malah akan menjadi satu masalah sosial yang genting untuk seluruh rakyat Malaysia. Kerajaan harus mengambil segala langkah untuk membendung masalah budaya samseng ini supaya menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Undang-undang dan hukuman merupakan salah satu cara untuk melawan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah. Tetapi, ini bukanlah satu-satunya cara untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Kita harus mengkaji dan menyelidik tentang fenomena ini secara terperinci. Kenapakah anak-anak muda dari kalangan kaum India mudah terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti kongsi gelap? Walaupun kaum-kaum lain juga turut terlibat dalam aktiviti-aktiviti seperti ini, tetapi penglibatan anak-anak muda kaum India lebih menonjol dan memudaratkan.

Masalah ini timbul berikutan daripada faktor-faktor sosio-ekonomi yang lain. Antaranya ialah persekitaran, masalah penempatan, pengangguran, pendidikan, pendapatan dan sebagainya. Pada asasnya pemimpin-pemimpin kaum India gagal untuk mengenal pasti jalan penyelesaian untuk masalah-masalah sosio-ekonomi yang dihadapi oleh kaum India. Belia-belia kaum India tertindas dalam semua aspek pembangunan dan kemajuan negara. Mereka tidak mempunyai hala tuju yang dirangka khas oleh kerajaan untuk menjamin masa hadapan yang cerah. Mereka tidak mendapat apa-apa bantuan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Kerajaan tidak mempedulikan kewujudan mereka sama sekali sehingga hari ini.

Pemimpin-pemimpin politik kaum India terutamanya daripada parti MIC telah gagal untuk menyalurkan bantuan kepada kaum belia yang tidak ada haluan. Mereka dibiarkan untuk menyelesaikan masalah mereka secara sendiri selama bertahun-tahun. Inilah menjadi punca kepada segala masalah yang tenat pada hari ini. Belia-belia India yang menghadapi masalah sosio ekonomi terutamanya dari segi kewangan terpaksa mencari jalan pintas untuk menyelesaikan masalah mereka.

Golongan tertindas ini telah diberi bantuan, tunjuk ajar, bimbingan dan perlindungan oleh ketua-ketua kongsi gelap. Mereka diberi peluang untuk mencari pendapatan lumayan dengan cara mudah tetapi bertentangan dengan undang-undang. Belia-belia yang terdesak dalam tekanan emosi terpaksa memilih jalan yang salah untuk menyara hidup. Pada hakikatnya, ini bukanlah apa yang diingini oleh anak-anak muda ini.

Oleh kerana mereka tidak diberi apa-apa peluang untuk hidup secara halal, mereka terpaksa memilih jalan yang salah. Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Polisi-polisi kerajaan yang menindas adalah faktor terpenting yang perlu diperbaiki dengan serta-merta untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan harus membuka ruangan secara ikhlas kepada belia-belia kaum India dengan program-program keusahawanan di seluruh negara.

Belia-belia India yang ingin menceburi bidang perniagaan sukar sekali mendapat apa-apa bantuan terutamanya dana pinjaman. Banyak dana disediakan oleh kerajaan melalui SME Bank. Tetapi, berapakah orang belia India yang pernah mendapat bantuan pinjaman daripada SME Bank? Apa jua permohonan pinjaman perniagaan yang dibuat ditolak dengan pelbagai alasan.

Ini merupakan satu bentuk diskriminasi yang tidak patut wujud di negara kita. Di bawah SME Bank, peruntukan Dana Usahawan Muda ( Young Entrepreneur Fund) sebanyak RM50 juta diperkenalkan khusus untuk golongan belia yang berkelayakan beumur 18 hingga 30 tahun sebagai pinjaman mudah untuk memulakan perniagaan.

Pertamanya, adakah belia-belia India tidak layak untuk mendapat bantuan pinjaman ini? Ataupun maklumat ini tidak disampaikan oleh kerajaan kepada masyarakat India kerana tujuan politik menindas? Bukankah pewujudan dana ini merupakan salah satu strategi berterusan kerajaan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan belia Malaysia? Anak-anak muda kaum India bukan dianggap belia Malaysia? Inilah antara beberapa persoalan yang perlu dijawap oleh pemimpin-pemimpin negara yang dimandatkan untuk membuat dasar-dasar negara.

Dana ini telah dilancarkan pada pertengahan bulan Februari 2013 telah meluluskan pinjaman kepada 228 usahawan belia dengan nilai pembiayaan melebehi RM20juta. Daripada jumlah ini berapakah yang disalurkan kepada belia kaum India yang amat memerlukan bantuan seperti ini?

Selain daripada itu, di bawah MATRADE pula, satu program khas bagi membantu dan menggalakkan usahawan belia untuk menerokai pasaran antarabangsa yang dikenali sebagai Program Pembangunan Pengeksport Belia telah diwujudkan. Program ini akan memberi fokus kepada sektor soft export iaitu dalam bidang 'arts, music, fashion, design' dan sebagainya.

Saya pasti bahawa belia-belia dari kalangan kaum India tidak pernah mendengar dan mengetahui tentang program ini. Pemimpin-pemimpin MIC yang sepatutnya menyalurkan semua maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan dan program-program yang berfaedah seperti ini telah gagal melaksanakan tanggungjawab di peringkat akar umbi. Inilah punca kenapa anak-anak muda kita terpaksa hidup seperti katak di bawah tempurung tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di sekeliling mereka.

Di bawah program ini, syarikat pengeksport yang dikendalikan oleh belia akan dibimbing selama 3 tahun dengan objektif menjadikan mereka sebagai pengeksport yang berdaya saing dan mampu menerokai pasaran antarabangsa. Syarikat mereka juga akan diberi insentif pembiayaan untuk menyertai aktiviti promosi eksport di luar negara dan layak untuk diberi bantuan melalui Geran Pembangunan Pasaran.

Satu lagi program kerajaan untuk membantu usahawan belia ialah Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang akan dilaksanakan oleh SME Corp mulai November 2014. Program ini diberi peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menganjakkan paradigma minda kaum belia daripada mencari pekerjaan kepada bidang keusahawanan. Program ini akan melalui 3 fasa iaitu Latihan Bootcamp, Bengkel Perniagaan dan Perlaksanaan Pelan Perniagaan. Ini adalah satu program yang baik direka khas untuk membantu belia-belia bumiputera. Apa salahnya kalau kerajaan juga berprihatin untuk mewujudkan program-program seperti ini untuk membantu belia-belia kaum India yang bermasalah di negara ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan