Tidak tahan bau busuk
Sivasubramaniam (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil MBI, semalam.
IPOH - Serius mahukan perubahan, wakil penduduk dari kawasan perumahan Taman Rishah, Taman Silibin, Taman Silibin Ria dan One Pertama, di sini menyerahkan memorandum menggesa tindakan segera diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung isu bau busuk yang dikatakan berpunca daripada pengoperasian sebuah kilang baja berhampiran lokasi kediaman itu sejak Disember lalu.

Memorandum tersebut disampaikan Adun Buntong, A.Sivasubramaniam kepada wakil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), semalam.

Dalam tuntutan itu, penduduk mahu MBI mengambil langkah sewajarnya terhadap kilang berkenaan apabila kewujudannya menyebabkan penduduk terpaksa menghidu udara kurang menyenangkan setiap hari.

Sivasubramaniam berkata, buat masa ini mereka memberi tempoh agar kilang berkenaan menghentikan operasi atau memindahkan kilang ke lokasi lebih sesuai sebelum tindakan lanjut diambil.

“Daripada maklumat yang kita perolehi, kilang tersebut didapati telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu tanpa memiliki lesen atau permit.

“Kilang ini juga telah beberapa kali diberi amaran oleh MBI selain digesa untuk keluar dari kawasan berkenaan, tetapi sehingga ke hari ini, mereka masih berdegi dan meneruskan operasi mereka di situ.

“Kali ini, sekiranya mereka masih terus berdegil kita akan bawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi iaitu kepada pengetahuan menteri besar. Kita beri tempoh dua hingga tiga hari,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi DAP Negeri, V Sivakumar dan Adun Menglembu, Lim Pek Har.

Seorang penduduk Chin Ooi Keng, 55 berkata, bau busuk berkenaan nyata menganggu kehidupan hariannya sejak beberapa bulan lalu.

“Walau bermacam cara saya lakukan untuk menghilangkan bau berkenaan, namun ianya tetap boleh dihidu, saya sudah tidak boleh tahan lagi. Saya sangat berharap MBI akan dapat membantu kami untuk menangani masakah ini,” katanya.

Keluhan  itu turut diakui oleh seorang lagi penduduk, M.Selvarajoo, 49, yang turut mengatakan bau busuk berkenaan jelas menganggu kehidupan seharian penduduk di kawasan berkenaan hingga menyebabkan  kehadiran lalat di kawasan berkenaan.

“Sejak berbulan lamanya bau busuk serta masalah lalat ini juga telah mengakibatkan kesulitan kepada para penduduk di sini.  Bau tersebut boleh membuatkan penduduk di sini termasuk saya sendiri sering muntah-muntah kerana loya dengan bau busuk berkenaan, jadi kita harap sangat akan ada tindakan demi menjamin kesejahteraan penduduk,” katanya.

Seorang kakitangan kilang berhampiran, Tang Kwai Weng, 55, bekata, bau busuk daripada kilang berkenaan jelas menganggu aktiviti  di kilang-kilang berhampiran yang adakalanya hampir tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna kerana sering muntah-muntah serta pening dengan bau berkenaan.

Katanya, biarpun MBI telahmengeluarkan arahan untuk menghentikan operasi atau berpindah beroperasi ke tempat lain, namun sehingga ke hari ini, ianya dilihat seakan tidak diendahkan.

Sinar Harian Ahad lalu melaporkan, penduduk mengggambarkan keadaan bau busuk yang melanda lokasi kediaman mereka tidak ubah seperti bangkai menyebabkan mereka bangkit mengadakan protes secara aman di kawasan kilang berkenaan.

Keadaan itu turut menarik perhatian Datuk Bandar apabila dipetik telah mengeluarkan arahan menghentikan operasi sementara waktu serta-merta.