Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP
Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 17/2/2013 di Little India, Jalan Lahat, Ipoh.
Selamatkan 2000 Ekar
Tanah Daripada Diancam Buaya Darat
Barisan Nasional Perak telah
menipu masyarakat India sekali lagi. Apa sudah jadi dengan janji kerajaan Perak
untuk memberikan 2000 ekar tanah untuk Sekolah-sekolah Tamil di Perak? Kerajaan
Barisan Nasional telah berjanji untuk memberi tanah 2000 ekar itu pada tahun
2009 setelah mereka merampas kuasa di negeri Perak. Mereka menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak
prihatin terhadap sekolah-sekolah Tamil. MIC Perak dengan bangganya telah membuat pengumunan bahawa kerajaan
Barisan Nasional Perak telah memberikan 2000 ekar tanah kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak. Adakah
benar kerajaan Perak telah memberikan tanah seluas 2000 ekar itu kepada
sekolah-sekolah Tamil? Kalau benar, saya memohon kepada MIC negeri Perak untuk
membukti perkara itu dengan menunjukkan geran tanah untuk 2000 ekar tanah tersebut dengan
serta-merta.
Sebenarnya tanah itu tidak pernah
diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak. Tanah itu diberikan di atas
nama Yayasan Perak. Saya tidak tahu apa hubungan Yayasan Perak dengan
sekolah-sekolah Tamil. Ini merupakan saya muslihat untuk mengkaburi mata masyarakat
India. MIC membuat lakonan seolah-olah
masalah tanah untuk sekolah-sekolah Tamil itu telah diselesaikan apabila
kerajaan memberikan tanah itu kepada Yayasan Perak.
Saya pernah membangkitkan isu
tanah 2000 ekar itu beberapa kali dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.
Tetapi, saya hanya diberi jawapan yang lumrah iaitu masalah akan diselesaikan
dalam tempoh terdekat. Isu tanah ini tidak dipandang serius oleh kerajaan
Barisan Nasional. Pemimpin-pemimpin MIC
juga tidak mahu isu ini sering ditimbulkan. Mereka mungkin mempunyai agenda
sendiri untuk ‘sapu’ tanah tersebut. Saya difahamkan ada pemimpin-pemimpin
politik yang bercadang untuk mendapatkan tanah itu daripada Yayasan Perak
dengan cara menubuhkan syarikat swasta untuk mengurus tadbirnya.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Tapah
Datuk Saravanan juga telah membuat saranan kepada kerajaan Perak supaya menyerahkan
tanah itu kepada MIC untuk membantu sekolah-sekolah Tamil. Ini adalah satu
cadangan yang tidak boleh diterima. Rakyat negara ini khususnya masyarakat India
tidak lupa kepada skandal-skandal besar yang pernah dilakukan oleh MIC seperti
isu saham telekon dan Maika Holdings. Memberi 2000 ekar tanah ini kepada MIC
adalah seolah-olah menjemput buaya ke tepi sungai dan memberikan seekor kambing
untuk dimakan.
Tambahan pula, dalam suasana
politik sekarang Barisan Nasional tidak mungkin dapat menjadi kerajaan lagi di
negeri Perak selepas PRU13. Oleh yang demikian, memberi tanah itu kepada MIC
adalah satu tindakan yang langsung tidak
bermakna.
Saya telah membangkit isu ini
dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak pada 15/2/2013. Pakatan
Rakyat Perak menjanjikan untuk menyelesaikan masalah tanah 2000 ekar itu dengan
serta merta apabila menjadi kerajaan selepas PRU13.
Kami juga memberi tempoh 14 hari
kepada kerajaan Barisan Nasional Perak untuk menyelesaikan masalah tanah 2000
ekar ini. Jika pihak kerajaan gagal menyelesaikan masalah ini, kami terpaksa
membuat satu himpunan aman di hadapan SUK Perak untuk menuntut hak
sekolah-sekolah Tamil di Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan