Kenyataan Media YB V.Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Perak
& ADUN Kawasan Tronoh pada 16/2/2013 di Ipoh
Pakatan Madu vs Barisan Racun : Peruntukan Kewangan Untuk
Wakil Rakyat
Rakyat memilih wakil mereka
melalui pilihanraya. Seseorang wakil rakyat yang menang pilihanraya itu adalah
merupakan ahli yang dipilih oleh rakyat
untuk mewakili sesuatu kawasan tertentu. Samada wakil yang dipilih itu adalah daripada
kerajaan atau pun daripada pembangkang adalah
terpulang kepada rakyat kawasan tersebut. Rakyat membuat pilihan melalui proses
demokrasi. Wakil rakyat yang dipilih itu harus bertanggungjawab untuk menyelesaikan
masalah rakyat di kawasannya. Tetapi, wakil rakyat yang dipilih dari kalangan
pembangkang tidak diberi peruntukan kewangan oleh kerajaan. Mereka dinafikan
hak untuk memberi khidmat yang cemerlang dan membantu rakyat yang memilihnya.
Perkara ini dilihat seolah-olah kerajaan menghukum rakyat yang memilih
pembangkang di kawasan itu. Ini adalah tidak adil kerana keputusan rakyat harus
dihormati oleh semua pihak. Kerajaan sepatutnya memberi hak yang sama kepada
semua wakil rakyat yang dipilih untuk Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Kerajaan Barisan Nasional memberi
pelbagai sekatan kepada wakil-wakil rakyat dari kalangan pembangkang. Menafikan
hak peruntukan kewangan itu menjejaskan kerja-kerja wakil rakyat membantu
pengundinya. Setiap wakil rakyat kerajaan diberi peruntukan untuk membuat
projek-projek kecil di kawasan mereka. Jumlah peruntukan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri itu adalah berbeza-beza mengikut negeri. Tambahan pula,
wakil rakyat kerajaan diberi elaun-elaun tambahan untuk menanggung kos atau
perbelanjaan pusat khidmat masyarakat. Sebagai contoh kerajaan membayar gaji
pembantu khas pusat khidmat, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan
sebagainya. Tetapi, wakil rakyat pembangkang pula terpaksa membayar semua
tanggungan itu dengan sendiri. Lebih-lebih lagi, dalam musim perayaan wakil
rakyat pembangkang terpaksa melalui tekanan kewangan yang cukup hebat untuk
menjalankan program-program sambuatan hari kebesaran. Manakala wakil-wakil
rakyat kerajaan pula diberi peruntukan khas untuk dibelanjakan di kawasan
masing-masing dalam musim perayaan.
Barisan Nasional tidak berani
bersaing di atas pentas yang sama rata dengan Pakatan Rakyat. Seseorang wakil rakyat
pembangkang ditekan dari segala sudut supaya rakyat tidak memilihnya lagi.
Tetapi, hampir semua wakil rakyat pembangkang telah berjaya mengharungi tekanan
ini dan masih sanggup memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada
pengundi-pengundinya.
Adakah keadaan yang sama juga
harus diteruskan jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di peringkat negeri dan
persekutuan selepas PRU13? Pada pandangan saya, adalah wajar untuk kerajaan
Pakatan Rakyat memberikan peruntukan kewangan kepada semua wakil rakyat yang
menang pilihanraya tanpa mengira idelogi atau fahaman politik. Kita harus
menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat. Pakatan Rakyat harus membuktikan
kewibawaannya dengan bersaing di atas pentas yang sama rata dengan Barisan
Nasional. Kita tidak harus membuktikan kepada rakyat bahawa cara kita urus
tadbir negara adalah berbeza dengan Barisan Nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan