Selasa, 19 Februari 2013

Kaum India tetap sokong Pakatan Rakyat

Kaum India tetap sokong Pakatan Rakyat

Kaum India Tidak Berganjak, Sokongan Tetap Kepada Pakatan Rakyat

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 18/2/2013 di Batu Gajah Kaum India Tidak Berganjak, Sokongan Tetap Kepada Pakatan Rakyat Masyarakat India di negara ini tidak pernah dihormati oleh Barisan Nasional walaupun jasa mereka kepada negara ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Orang-orang India yang datang ke Tanah Melayu telah memberi sumbangan yang begitu besar dalam pelbagai sektor. Kebanyak orang-orang yang datang itu adalah daripada India Selatan dan Sri Langka yang merangkumi orang Tamil, Telugu dan Malayalam. Walaupun mereka telah melibatkan diri dalam pelbagai sektor ekonomi negara ini tetapi yang paling ketara ialah dalam industri perladangan getah. Tanpa orang-orang India, tidak mungkin sektor perladangan ini telah berkembang begitu maju. Keringat masyarakat India telah sebati dalam pembagunan dan kemajuan negara ini. Pada suatu ketika dahulu, getah merupakan salah satu daripada eksport utama negara ini. Sektor perladangan getah telah membawa masuk aliran wang asing ke negara ini. Sektor ini juga boleh dianggap sebagai asas kepada pembanguan dan kemajuan yang kita nikmati hari ini. Orang-orang India begitu setia kepada majikan dan tanahair ini. Walaupun mereka tidak mendapat upah yang setimpal dengan kerja yang mereka lakukan tetapi mereka tidak pernah memberontak. Ada juga pemimpin yang pernah menghina kaum India yang bekerja di ladang dengan ungkapan-ungkapan yang amat menyakitkan hati seperti “Apa yang mereka buat di belakang pokok tiada siapa yang tahu”. Selepas kemerdekaan pun nasib mereka tidak berubah juga. Walaupun tenaga mereka dikerah oleh majikan tetapi mereka tetap taat setia kepada syarikat ladang. Mungkin sikap taat setia dan menunduk inilah yang dipermainkan oleh Barisan Nasional selama ini. Orang-orang India dianggap sebagai golongan yang mudah dibeli dan dipengaruhi oleh kerajaan. Tambahan pula Barisan Nasional juga merasakan bahawa kaum India mudah ditakutkan olehnya. Kerajaan menakutkan kaum India dengan menggunakan orang-orang MIC, PPP, IPF, Gerakan, NGO, Cawangan Khas Polis dan sebagainya. Selain daripada itu, di kebanyakkan ladang-ladang pula, Barisan Nasional menggunakan majikan untuk menakutkan orang-orang India. Peluang ini digunakan oleh Barisan Nasional untuk meraih undi kaum India selama ini. Ketakutan yang ada pada sebilangan besar orang-orang India itu dijadikan modal kekuatan Barisan Nasional untuk memenangi pilihanraya. Selain daripada faktor negatif itu, Barisan Nasional juga menggunakan satu lagi taktik untuk mendapat sokongan daripada kaum India. Mereka menggunakan wang sebagai faktor penarik. Orang-orang India yang berada dalam keadaan serba kekurangan dan kemiskinan dipergunakan oleh Barisan Nasional untuk kepentingan mereka. Golongan berpendapatan rendah ini dibeli dengan wang ringgit dan sumbangan-sumbangan lain. Pemberian sedikit wang kepada golongan fakir miskin boleh mempengaruhi sokongan dan undi mereka. Barisan Nasional sedar bahawa pihak pembangkang sukar untuk menandinginya dalam permainan politik wang. Oleh yang demikian, Barisan Nasional cuba menggunakan wang untuk memenangi hati orang-orang India miskin yang menjadi sasaran mereka. Golongan miskin yang kurang berpendidikan seperti ini mudah tertipu dengan pemberian-pemberian seperti ini. Untuk menawan hati golongan seperti ini Perdana Menteri Najib Tun Razak melancarkan BR1M RM500 pada tahun 2012 dan 2013. Bukan sahaja sekadar itu Barisan Nasional juga menjanjikan RM1000 jika mereka menang kembali Putrajaya. Semua ini dibuat dengan harapan rakyat miskin boleh ditipu dengan wang untuk menang dalam PRU13. Adakah orang-orang India yang selama ini ditindas dan dihina oleh Barisan Nasional akan termakan racun yang diberikan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak? Pihak MIC cukup yakin bahawa orang-orang India boleh dipengaruhi oleh Barisan Nasional dengan pemberian wang dan ‘hamper’. Mereka juga cuba membuktikan sokongan kaum India kepada Barisan Nasional dengan membuat program-program kesenian, kebudayaan, keagamaan dan sebagainya. Kehadiran orang-orang India dalam program-program seperti itu tidak boleh dianggap sebagai sokongan yang jati kepada Barisan Nasional. Orang-orang India datang ke program-program itu untuk menghiburkan hati mereka sahaja. Niat sebenar mereka bukanlah untuk memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional. Sebagai contoh, program ‘Otrumai Ponggal’ yang dibuat oleh Barisan Nasional di Dataran Merdeka Kuala Lumpur baru-baru ini dibanjiri oleh orang-orang India. Tetapi, pada realitinya, setiap cawangan MIC dipaksa untuk membawa orang-orang India ke program tersebut. Selain daripada itu, orang-orang India yang dibawa ke Daratan Merdeka itu dijanjikan dengan sejumlah wang tunai dan melancong beberapa tempat di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Perkara ini boleh dibuktikan kerana ramai juga yang merungut bahawa mereka tidak menerima wang yang dijanjikan dan tertipu dengan agenda membawa mereka melancong. Mereka ini telah dipergunakan oleh Barisan Nasional untuk kepentingan politiknya. Program ‘Otrumai Ponggal’ itu sebenarnya diatur dalam keadaan terdesak untuk mendapat sokongan kaum India. Wang berjuta-juta ringgit dibelanjakan oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk membodek kaum India. Tetapi adakah mereka akan mendapat sokongan kaum India dalam PRU13? Pada pandanagan saya, kaum India tidak mudah tertipu oleh Barisan Nasional dengan agenda politik mereka. Penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional tidak mudah dilupai oleh kaum India. Pemberian BR1M RM500 atau RM1000 tidak akan mengubah nasib mereka di negara ini. Harapan kaum India adalah lebih besar daripada itu. Peluang pekerjaan dalam sektor awam, peluang pendidikan tinggi dalam bidang ikthisas, peluang kontrak dan perniagaan, masalah kad pengenalan merah, masa hadapan sekolah-sekolah Tamil dan sebagainya adalah antara perkara-perkara yang langsung tidak dipedulikan oleh Barisan Nasional. Sebagai kesimpulan, Barisan Nasional tidak akan mendapat sokongan daripada majoriti kaum India. Walaupun saya tidak mempunyai statistik kajian yang konkrit untuk menguatkan hujah saya, tetapi saya cukup yakin bahawa lebih daripada 60% kaum India akan menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU13. Saya membuat unjuran ini berdasarkan maklum balas dan pemantauan pelbagai pihak terhadap sokongan kaum India.

Ahad, 17 Februari 2013

Selamatkan 2000 Ekar Tanah Daripada Diancam Buaya Darat

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 17/2/2013 di Little India, Jalan Lahat, Ipoh.

Selamatkan 2000 Ekar Tanah Daripada Diancam Buaya Darat


Barisan Nasional Perak telah menipu masyarakat India sekali lagi. Apa sudah jadi dengan janji kerajaan Perak untuk memberikan 2000 ekar tanah untuk Sekolah-sekolah Tamil di Perak? Kerajaan Barisan Nasional telah berjanji untuk memberi tanah 2000 ekar itu pada tahun 2009 setelah mereka merampas kuasa di negeri Perak. Mereka  menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak prihatin terhadap sekolah-sekolah Tamil. MIC Perak dengan bangganya  telah membuat pengumunan bahawa kerajaan Barisan Nasional Perak telah memberikan 2000 ekar tanah  kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak. Adakah benar kerajaan Perak telah memberikan tanah seluas 2000 ekar itu kepada sekolah-sekolah Tamil? Kalau benar, saya memohon kepada MIC negeri Perak untuk membukti perkara itu dengan menunjukkan geran tanah  untuk 2000 ekar tanah tersebut dengan serta-merta. 

Sebenarnya tanah itu tidak pernah diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak. Tanah itu diberikan di atas nama Yayasan Perak. Saya tidak tahu apa hubungan Yayasan Perak dengan sekolah-sekolah Tamil. Ini merupakan saya muslihat untuk mengkaburi mata masyarakat India.  MIC membuat lakonan seolah-olah masalah tanah untuk sekolah-sekolah Tamil itu telah diselesaikan apabila kerajaan memberikan tanah itu kepada Yayasan Perak. 

Saya pernah membangkitkan isu tanah 2000 ekar itu beberapa kali dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak. Tetapi, saya hanya diberi jawapan yang lumrah iaitu masalah akan diselesaikan dalam tempoh terdekat. Isu tanah ini tidak dipandang serius oleh kerajaan Barisan Nasional.  Pemimpin-pemimpin MIC juga tidak mahu isu ini sering ditimbulkan. Mereka mungkin mempunyai agenda sendiri untuk ‘sapu’ tanah tersebut. Saya difahamkan ada pemimpin-pemimpin politik yang bercadang untuk mendapatkan tanah itu daripada Yayasan Perak dengan cara menubuhkan syarikat swasta untuk mengurus tadbirnya. 

Baru-baru ini Ahli Parlimen Tapah Datuk Saravanan juga telah membuat saranan kepada kerajaan Perak supaya menyerahkan tanah itu kepada MIC untuk membantu sekolah-sekolah Tamil. Ini adalah satu cadangan yang tidak boleh diterima. Rakyat negara ini khususnya masyarakat India tidak lupa kepada skandal-skandal besar yang pernah dilakukan oleh MIC seperti isu saham telekon dan Maika Holdings. Memberi 2000 ekar tanah ini kepada MIC adalah seolah-olah menjemput buaya ke tepi sungai dan memberikan seekor kambing untuk dimakan.

Tambahan pula, dalam suasana politik sekarang Barisan Nasional tidak mungkin dapat menjadi kerajaan lagi di negeri Perak selepas PRU13. Oleh yang demikian, memberi tanah itu kepada MIC adalah satu tindakan yang  langsung tidak bermakna. 

Saya telah membangkit isu ini dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak pada 15/2/2013. Pakatan Rakyat Perak menjanjikan untuk menyelesaikan masalah tanah 2000 ekar itu dengan serta merta apabila menjadi kerajaan selepas PRU13. 

Kami juga memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Barisan Nasional Perak untuk menyelesaikan masalah tanah 2000 ekar ini. Jika pihak kerajaan gagal menyelesaikan masalah ini, kami terpaksa membuat satu himpunan aman di hadapan SUK Perak untuk menuntut hak sekolah-sekolah Tamil di Perak.

Sabtu, 16 Februari 2013

Pakatan Madu vs Barisan Racun : Peruntukan Kewangan Untuk Wakil Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Perak & ADUN Kawasan Tronoh pada 16/2/2013 di Ipoh

Pakatan Madu  vs Barisan Racun : Peruntukan Kewangan Untuk Wakil Rakyat

Rakyat memilih wakil mereka melalui pilihanraya. Seseorang wakil rakyat yang menang pilihanraya itu adalah merupakan ahli yang dipilih oleh  rakyat untuk mewakili sesuatu kawasan tertentu. Samada wakil yang dipilih itu adalah daripada kerajaan atau pun daripada pembangkang  adalah terpulang kepada rakyat kawasan tersebut. Rakyat membuat pilihan melalui proses demokrasi. Wakil rakyat yang dipilih itu harus bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya. Tetapi, wakil rakyat yang dipilih dari kalangan pembangkang tidak diberi peruntukan kewangan oleh kerajaan. Mereka dinafikan hak untuk memberi khidmat yang cemerlang dan membantu rakyat yang memilihnya. Perkara ini dilihat seolah-olah kerajaan menghukum rakyat yang memilih pembangkang di kawasan itu. Ini adalah tidak adil kerana keputusan rakyat harus dihormati oleh semua pihak. Kerajaan sepatutnya memberi hak yang sama kepada semua wakil rakyat yang dipilih untuk Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. 

Kerajaan Barisan Nasional memberi pelbagai sekatan kepada wakil-wakil rakyat dari kalangan pembangkang. Menafikan hak peruntukan kewangan itu menjejaskan kerja-kerja wakil rakyat membantu pengundinya. Setiap wakil rakyat kerajaan diberi peruntukan untuk membuat projek-projek kecil di kawasan mereka. Jumlah peruntukan wakil rakyat  Dewan Undangan Negeri  itu adalah  berbeza-beza mengikut negeri. Tambahan pula, wakil rakyat kerajaan diberi elaun-elaun tambahan untuk menanggung kos atau perbelanjaan pusat khidmat masyarakat. Sebagai contoh kerajaan membayar gaji pembantu khas pusat khidmat, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan sebagainya. Tetapi, wakil rakyat pembangkang pula terpaksa membayar semua tanggungan itu dengan sendiri. Lebih-lebih lagi, dalam musim perayaan wakil rakyat pembangkang terpaksa melalui tekanan kewangan yang cukup hebat untuk menjalankan program-program sambuatan hari kebesaran. Manakala wakil-wakil rakyat kerajaan pula diberi peruntukan khas untuk dibelanjakan di kawasan masing-masing dalam musim perayaan.

Barisan Nasional tidak berani bersaing di atas pentas yang sama rata dengan Pakatan Rakyat. Seseorang wakil rakyat pembangkang ditekan dari segala sudut supaya rakyat tidak memilihnya lagi. Tetapi, hampir semua wakil rakyat pembangkang telah berjaya mengharungi tekanan ini dan masih sanggup memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pengundi-pengundinya.

Adakah keadaan yang sama juga harus diteruskan jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan selepas PRU13? Pada pandangan saya, adalah wajar untuk kerajaan Pakatan Rakyat memberikan peruntukan kewangan kepada semua wakil rakyat yang menang pilihanraya tanpa mengira idelogi atau fahaman politik. Kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat. Pakatan Rakyat harus membuktikan kewibawaannya dengan bersaing di atas pentas yang sama rata dengan Barisan Nasional. Kita tidak harus membuktikan kepada rakyat bahawa cara kita urus tadbir negara adalah berbeza dengan Barisan Nasional.

Jumaat, 15 Februari 2013

Rampas Kuasa Untuk Bolot Tanah


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak & ADUN Kawasan Tronoh pada 15/2/2013 di Ipoh

Rampas Kuasa Untuk Bolot Tanah

Kenapa Barisan Nasional rampas kerajaan pilihan rakyat di Perak pada 6 Februari 2009? Rakyat sudah memberi mandat  kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional yang telah hilang kepercayaan. Tetapi, Barisan Nasional telah menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat itu dengan cara yang kejam.  Barisan Nasional tidak mahu lelap mata sehingga kerajaan yang sah itu dijatuhkan dengan taktik kotor dan tidak bermoral. Semua jentera kerajaan telah disalah gunakan untuk mencapai matlamat yang berniat jahat itu. Barisan Nasional telah melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak bermaruah dengan bantuan PDRM, SPRM, SPR, Mahkamah dan beberapa institusi yang lain.

Kerana ketamakan kuasa, rakyat tidak dipedulikan. Selepas rampasan kuasa, Barisan Nasional telah mengkhianati rakyat lagi. Agenda utama rampasan kuasa ialah membolot tanah negeri. Sebaik sahaja rampasan kuasa berlaku di negeri Perak, kerajaan Barisan Nasional di bawah Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadeer telah menjual puluhan ribu ekar tanah negeri  kepada kroni-kroninya  dengan harga premium yang cukup rendah. Bukti-bukti yang kukuh pernah diketengahkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada bulan Disembar 2012. Tetapi, Datuk Seri Diraja Zambry dan barisan EXCOnya tidak berani mendedahkan senarai nama orang-orang  yang mendapat tanah tersebut. Walaupun perkara ini dibangkitkan beberapa kali dalam persidangan tetapi, kerajaan Barisan Nasional sentiasa mencari jalan pintas untuk melarikan diri daripada menjawap soalan-soalan yang dibangkitkan.

Pakatan Rakyat Perak mempunyai banyak maklumat mengenai skandal tanah Barisan Nasional di negeri Perak sejak rampasan kuasa pada tahun 2009. Tanah seluas 68,503 ekar tanah telah dilluluskan kepada pihak-pihak tertentu sejak 2009 hingga bulan julai 2011. Daripada jumlah itu 88.5% tanah diluluskan untuk pertanian dan industri iaitu seluas 60,591.73 ekar. Tanah selebihnya diluluskan untuk kuari, lombong dan perumahan.  Adalah cukup pelik apabila membuat penghitungan mengenai jumlah kutipan premium bagi tanah pertanian dan perindustrian itu.  Jumlah premium yang dikutip untuk 60.591.73 ekar tanah hanyalah RM22 696 910. Secara purata, premium yang dikutip untuk seekar tanah ialah RM375 sahaja. Ini  telah menimbulkan banyak persoalan yang tidak berani dijawab oleh kerajaan Barisan Nasional. Bukankah RM375 untuk seekar tanah boleh dianggap terlalu murah? Siapakah yang mendapat manfaat daripada pemberian tanah ini? Rakyat jelata? Sudah tentu tidak. 

Saya pasti rakyat negeri Perak yang paling miskin pun mampu membayar premium RM375 untuk seekar tanah.  Secara teorinya, 60 591 isu rumah boleh diberi  seekar tanah masing-masing untuk kegiatan ekonomi mereka. Kerajaan Barisan Nasional tidak memberi peluang itu kepada rakyat miskin tetapi telah memilih untuk menambahkan rezeki kroni-kroninya. Dalam kata lain, rampasan kuasa di negeri Perak pada tahun 2009 adalah semata-mata  untuk membolehkan Barisan Nasional dan kroni-kroninya membolot tanah kerajaan dan khazanah negeri yang lain.



SAMBUTAN PONGAL DI PEKAN TRONOH  !!




Ahad, 10 Februari 2013

Rakyat Akan Kembali Berkuasa Di Perak


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak & ADUN Kawasan Tronoh pada 9/2/2013 di Ipoh

Rakyat Akan Kembali Berkuasa Di Perak

Barisan Nasional Perak telah melakukan satu kesilapan besar apabila merampas kerajaan pilihan rakyat pada tahun 2009. Pada 8 Mac 2008, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, PKR dan DAP untuk memerintah negeri Perak. Kehendak rakyat itu wajib dihormati oleh semua pihak. Tetapi, Barisan Nasional Perak kerana ketamakan kuasa telah merampas kerajaan rakyat itu dengan melanggar semua undang-undang yang sedia ada. Barisan Nasional telah menubuhkan kerajaan melalui ‘Pintu Belakang’ yang tidak sah di sisi Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu pun Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Perak ketika itu.

Barisan Nasional mengharapkan bahawa peristiwa rampasan kuasa itu akan dilupai oleh rakyat apabila dimakan oleh masa. Tetapi, andaian Barisan Nasional itu adalah tidak benar. Perdana Menteri Najib Tun Razak telah membuat perhitungan yang terkeluar dari landasan apabila membuat andaian ‘rakyat Malaysia mudah lupa’. Peristiwa ramapasan kuasa itu telah terpahat dalam sanubari setiap rakyat perak yang menghormati demokrasi, undang-undang dan keadilan. Walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan Barisan Nasional Perak untuk mengalih perhatian rakyat Perak daripada isu itu, tetapi segala usaha itu terbukti gagal. Rakyat sedar bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah tidak sah atau ‘haram’ disisi undang-undang. Rakyat Perak tidak akan membenarkan keadaan ini berterusan lagi. Negeri Perak memerlukan satu kerajaan  sah yang diberi mandat oleh rakyat. 

Masa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Perak sudah semakin hampir. Dalam sebulan dua ini Parlimen dan DUN Perak akan dibubarkan. Barisan Nasional dan pakatan Rakyat akan turun ke gelanggang pilihanraya. Kali ini, Barisan Nasional pasti akan tumbang di Negeri Perak. Kewibawaan Barisan Nasional telah terhakis di bawah rejim Barisan Nasional yang tidak sah di Negeri Perak. Rakyat dapat menilai, membuat pertimbangan yang rasional dan membandingkan pemerintahan Pakatan rakyat selama 11 bulan dan pemerintahan Barisan Nasional selama 4 tahun selepas rampasan kuasa. Barisan Nasional tidak berjaya membawa apa-apa berubahan yang nyata di Perak. Banyak slogan-slogan retorik seperti  ‘Perak Aman Jaya’,  ‘Tiada Yang Tertinggal, Tiada Yang Terpinggir’ adalah  omong-omong kosong sahaja. Rakyat tidak boleh ditipu lagi dengan janji-janji manis yang tidak dilaksanakan.

Tambahan pula rakyat Perak juga sedar bahawa dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini lebih daripada 68000 ekar tanah di seluruh Perak telah diberikan kepada kroni-kroni Barisan Nasional dengan harga premium tanah yang terlalu murah. Oleh yang demikian, jelas bahawa rampasan kuasa pada tahun 2009 dilakukan adalah semata-mata untuk membolot kekayaan negeri  dan memewahkan lagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroninya. 

Daripada analisa yang diperolehi daripada pelbagai sumber  didapati bahawa Pakatan Rakyat Perak akan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi daripada 59 kerusi yang akan ditandingi untuk Dewan Negeri Perak. Kemenangan yang besar ini adalah perlu untuk  menjamin kesejahteraan  dan kedudukan kerajaan yang baru dipilih itu. Pakatan Rakyat Negeri Perak akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menambahkan lagi bilangan kerusi dalam PRU13. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat negeri Perak akan memberi mandat yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang.