Khamis, 3 Mei 2012

Petani Kampung Serkai Jadi Dihalau Oleh Penceroboh Tanah Wakaf



Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3/5/2012 di Kampung Serkai Jadi, Tronoh.
Petani Kampung Serkai Jadi Dihalau Oleh Penceroboh Tanah Wakaf
Petani-petani di Kampung Serkai Jadi dihalau oleh pihak-pihak tertentu tanpa dokumen yang sah. Petani-petani ini mengusahakan tanah ini sejak tahun 1982 iaitu lebih kurang  30 tahun. Mereka menyewa tanah ini daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak  sejak  1 Jun 2008. Walaupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak hanya meluluskan tanah wakaf ini pada  29 September 2010, tetapi petani-petani yang mengusahakan kawasan ini membayar sewa sejak tahun 2008 kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak.
Petani-petani kawasan ini bergantung kepada sumber pendapatan ini untuk menyara hidup mereka. Antara usaha-usaha yang dijalankan di kawasan ini ialah pertanian sayur-sayuran,  penternakan kambing,lembu dan kerbau . Petani-petani ini giat menjalankan aktiviti pertanian di tanah wakaf ini sejak dulu lagi.
Tiba-tiba ada pihak tertentu telah memasang pintu pagar di jalan masuk utama  ke kawasan pertanian mereka. Mereka dihalang daripada memasuki kawasan untuk menjalankan aktiviti harian mereka. Satu kain rentang telah digantung di pintu pagar itu  yang menyatakan “ NOTIS PEMBERITAHUAN, Kepada semua yang menjalankan aktiviti di dalam kawasan ini, SILA KOSONGKAN DENGAN KADAR YANG SEGERA”.  Kenyataan kain rentang juga terdapat unsur-unsur ugutan “ Bermula dari sekarang sebarang masalah yang timbul pihak kami tidak bertanggungjawab.” Siapakah  yang dimaksudkan ‘pihak kami’ ? “Siapakah yang menggantung kain rentang ini? Apakah kuasa yang ada kepada pihak itu untuk menghalau petani-petani ini? Tidak ada apa-apa dokumen yang menyatakan mereka berhak untuk menghalau petani-petani yang mengusahakan tanah wakaf ini.
Pihak ketiga ini juga telah memulakan kerja-kerja mengorek longkang di seluruh kawasan itu. Kerja-kerja diteruskan secara haram dan menyalahi undang-undang kerana menceroboh tanah wakaf yang dimiliki oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak.
Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merugikan petani-petani yang mengusahakan tanah ini. Mereka tidak dapat bekerja di kebun selama 2 hari. Menurut salah seorang petani yang bernama  Encik Mahmad Hashim Bin Abdul Manap yang berumur 65 tahun, “ Saya tidak dapat mengutip hasil kebun seperti kacang panjang dan mengalami kerugian anggaran sebanyak RM600 sehari”.Satu laporan polis telah dibuat oleh beliau di Balai Polis Tronoh semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan