Khamis, 3 Mei 2012

Baru Najib Tahu Orang India Turut Membangunkan Negara?




Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 2/5/2012 di Batu Gajah.
Baru Najib Tahu Orang India Turut Membangunkan Negara?
Saya rasa sungguh kecewa dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang telah mengabaikan masyarakat India selama ini. Masyarakat  India menjadi tulang belakang dalam pembangunan negara ini. Mereka dibawa ke Tanah Melayu oleh penjajah British untuk berkerja di ladang-ladang getah di seluruh negara.  Ketika itu, Malaysia merupakan pengeluar getah yang terbesar di dunia.  Getah menjadi salah satu sumber pendapatan negara yang  cukup besar. Hasil daripada titik peluh orang-orang India yang bekerja di ladang-ladang getah  ini telah digunakan dalam memajukan  dan membagunkan negara ini. Sejarah membuktikan bahawa kaum India telah memberi sumbagan yang besar dalam ekonomi negara ini.
Saya sangat bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Lee Lam Thye yang menyatakan bahawa masyarakat India telah memberi sumbagan yang amat besar dalam proses pembangunan negara Malaysia.  Beliau juga berkata, “ kerana masyarakat India negara kita telah membangun seperti yang kita lihat hari ini.”  Beliau mendakwa  tiada siapa yang boleh menafikan kenyataan itu.  Sejak kemerdekaan sumbagan masyarakat India adalah sangat dibanggakan dan perlu dipuji.
Tan Sri Lee Lam Thye juga berkata Datuk Seri Najib Tun Razak sedar  tentang sumbangan masyarakat India dalam membangunkan negara ini. Persoalannya sekarang ialah kenapa selepas 54 tahun sejak kemerdekaan baru ada  pemimpin utama negara yang  tahu dan mengakui tentang hakikat ini? Adakah Tan Sri Lee Lam Thye telah berani berkata bahawa mantan Perdana Menteri kita Tun Mahathir telah mengabaikan masyarakat India di zaman kekuasaannya? Kenyataan Tan Sri Lee Lam Thye seolah-olah beliau menuduh pimpinan Barisan Nasional sebelum Najib Tun Razak yang tidak prihatin terhadap masyarakat India. Inilah punca kemunduran masyarakat India pada hari ini. Beliau memuji Najib Tun Razak yang  ‘baru bangun dari tidur’ untuk membantu masyarakat India yang ketinggalan dalam semua aspek pembangunan negara.
Saya tidak sealiran pendapat dengan pemimpin veteran Tan Sri Lee Lam Thye yang mengangkat Datuk Seri Najib seolah-olah menjadi hero masyarakat India.  Tan Sri Lee Lam Thye  berkata Perdana Menteri Najib Tun Razak telah memperkenalkan  banyak program-program pembangunan untuk masyarakat India di bawah konsep 1Malaysia. Jika benar, berapakah jumlah pengambilan pekerja-pekerja dari kalangan masyarakat India daripada jumlah keseluruhan pengambilan ke dalam sektor awam sejak  beliau menjadi Perdana Menteri. Senaraikan  semua jawatan-jawatan penting dalam sektor awam yang telah diberikan kepada orang-orang India sejak Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Tan Sri Lee Lam Thye harus menjawab soalan-soalan ini sebelum memuji Datuk Seri Najib yang kononnya prihatin untuk membangunkan masyarakat India yang mundur di negara kita. Saya berharap supaya jangan membuat kenyataan-kenyataan politik yang bertujuan untuk menipu masyarakat India yang telah pun  tertipu dan tertindas di bawah kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan