Khamis, 31 Mei 2012
Jumaat, 25 Mei 2012
Khamis, 24 Mei 2012
Benarkah MIC Membantu Penternak & Petani?
Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP
Perak dan ADUN kawasan Tronoh pada 23/5/2012 di Ipoh
Benarkah MIC Membantu
Penternak & Petani?
Ramai orang-orang India melibatkan diri dalam aktiviti
penternakn lembu dari zaman British lagi.
Walaupun kerja menternak lembu
ini adalah berat dan cukup payah tetapi masyarakat India telah rajin
mengusahakan kegiatan ini. Jika kerajaan memberi bantuan dan sokongan yang
sewajarnya kegiatan ini dapat diperluaskan dan meningkatkan lagi ekonomi kaum India di negara ini. Tetapi,
kerajaan Barisan Nasional tidak prihatin terhadap golongan penternak dari
kalangan kaum India. Mereka tidak diberi
peluang, bantuan dan sokongan yang sewajarnya. MIC juga tidak memainkan peranan
yang secukupnya untuk membantu kaum
India yang terlibat dalam aktiviti penternakan lembu.
Seringkali
penternak-penternak dari kalangan
kaum India tidak diberi lembu-lembu
percuma yang dibekalkan oleh kerajan melalui Jabatan Haiwan. Mereka dianak
tirikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Jika, kenyataan saya tidak benar, saya
mencabar Datuk S.Veerasingam, Penasihat Khas Kepada Menteri Besar Perak untuk
mendedahkan beberapa statistik mengenai pemberian lembu-lembu percuma ini. Saya mahu beliau memberitahu
berapakah jumlah lembu-lembu yang diberikan percuma oleh kerajaan kepada
peneternak-penternak melalui Jabatan Haiwan Kampar pada 2011. Daripada jumlah
itu, berapakah jumlah lembu yang
diberikan kepada penternak-penternak kaum India. Beliau juga harus memberitahu
berapakah orang penternak lembu dari
kalangan kaum India yang manfaat daripada program bantuan kerajaan ini.
Saya difahamkan Jabatan Haiwan Kampar juga akan memberikan
lembu-lembu percuma kepada penternak-penternak lembu pada tahun ini. Saya mahu
Datuk S.Veerasingam membuat pengumuman berapakah orang penternak dari kalanagan
orang India yang akan dimasukkan nama
untuk mendapat bantuan lembu ini? Jika beliau gagal menjawab soalan-soalan saya,
bermaksud beliau dan MIC telah gagal
membantu dan membela golongan penternak selama
ini di negeri Perak
Khamis, 17 Mei 2012
Misteri Kad Pengenalan Merah Di Malaysia
Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 14/5/2012
di Bemban, Batu Gajah.
Misteri Kad Pengenalan Merah Di Malaysia
Selepas 54 tahun kita sudah merdeka, terdapat ramai rakyat
Malaysia yang masih memiliki kad pengenalan merah. Sebahagian besar atau hampir
kesemua yang memiliki kad pengenalan merah ini adalah dari kalangan kaum India.
Saya tidak pernah mendengar masalah kad pengenalan merah dari kalangan kaum
Melayu. Jarang sekali kita bertemu dengan orang-orang cina yang masih memegang kad
pengenalan merah. Walaupun ada juga segelintir orang- orang cina yang masih
memegang kad pengenalan merah tetapi
jumlah itu tidak signifikan. Tetapi, masalah kad pengenalan merah dari kalangan
masyarakat India adalah satu masalah yang serius dan perlu diberi perhatian
yang khusus. Siapakah yang perlu
dipersalahkan dalam hal ini kalau bukan kerajaan yang tidak prihatin terhadap
kebajikan orang-orang India.
Lebih 54 tahun masyarakat India telah dianak tirikan di
negara ini. Masalah kad pengenalan merah tidak pernah menjadi fokus kerajaan
Barisan Nasional. Mereka tidak mempedulikan masyarakat India yang berbakti dan berjasa dalam pembangunan dan kemajuan negara
ini. Masyarakat India pernah menjadi pengundi setia kepada Barisan Nasional
sehingga PRU 11. Tetapi, kerajaaan Barisan Nasional pula tidak mengenang
budi kaum India. Terdapat banyak kes
dimana walaupun permohonan kad pengenalan biru
dibuat berulang kali tetapi ditolak oleh kerajaan dengan pelbagai
alasan.
Apabila masalah ini telah meruncing ada pihak-pihak yang
tidak bermaruah dari kalangan Barisan Nasional muncul untuk membantu mangsa diskriminasi kerajaan
Barisan Nasional itu sendiri. Puak-puak ini harus berasa malu kerana kecuaian
dan kegagalan mereka inilah yang menyebabkan masyarakat India masih mundur di
negara kita.
Macam-macam program seperti Mydaftar dan sebagainya
dilaksanakan untuk menutup kesilapan mereka selama ini. Tetapi, apakah
hasilnya? Berapa ribukah orang India
yang memohon itu sudah berjaya mendapat kad pengenalan biru? Benarkah program
Mydaftar yang dianjurkan oleh kerajaan telah berjaya menghapuskan masalah kad
pengenalan merah di negara kita?
Sedih melihat orang-orang yang mendapat kad pengenalan biru
kebanyakkannya adalah warga emas. Mereka telah hilang usia muda yang produktif
dengan memegang kad pengenalan merah. Mereka hidup di negara ini sebagai
pendatang walaupun mereka lahir di sini. Mereka tidak dapat kerja yang baik,
tidak ada caruman KWSP dan Socso. Mereka tidak boleh memiliki harta. Mereka
hilang hak untuk mendapat rawatan percuma di hospital. Mereka juga tidak pernah
dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Selepas habis segala-galanya, baru mahu bagi kad pengenalan
merah kepada mereka. Ada juga puak-puak tertentu yang berbangga dengan
pencapaian mereka itu. Mereka seharusnya berasa malu dengan isu kad pengenalan
merah ini, bukannya berasa bangga. Inilah golongan yang tidak mempunyai maruah
dan harga diri yang sanggup menggadai bangsa sendiri untuk wang, pingat dan
jawatan politik”
Saya akan mendedahkan kes-kes kad pengenalan merah yang
masih tidak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional satu per satu.
·
Gambar seorang warga emas di Taman Permai, Bemban Batu Gajah yang lahir
di Malaysia, ibu bapanya juga lahir di Malaysia, suaminya orang Malaysia,
anak-anaknya juga dilahirkan di Malaysia. Tetapi beliau masih memegang kad
pengenalan merah. Beliau sudah putus asa untuk memohon kad pengenalan biru.
Bukankah ini satu kekejaman kerajaan Barisan Nasional yang menganiyaya
rakyatnya sendiri?
Rabu, 16 Mei 2012
Khamis, 10 Mei 2012
Rabu, 9 Mei 2012
Jumaat, 4 Mei 2012
RTM Melampaui Batas, Tendang Di Bawah Tali Pinggang
Kenyataan Media YB V. Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak,
ADUN Kawasan Tronoh pada 3hb Mei 2012 di Batu Gajah.
RTM Melampaui Batas, Tendang Di Bawah Tali Pinggang
RTM
telah menggadai maruah menjadi agensi suruhan Barisan Nasional. Setiap hari pemimpin-pemimpin
Barisan Nasional memperalatkan RTM untuk propaganda politik. Sungguh memalukan
apabila mereka menjadikan pembaca-pembaca berita sebagai budak-budak suruhan
mereka untuk menabur fitnah terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Setiap
kali kita mendengar berita, ada juga fitnah dan kempen politik Barisan
Nasional. Ini menyalahi undang-undang kerana menggunakan jentera kerajaan untuk
kepentingan politik Barisan Nasional.
Tambahan
pula saya mendengar ucapan Datuk Kaveyas , Presiden PPP dalam rangkaian Minnal FM hari ini. Beliau bukan
sahaja membuat ceramah politik memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak, malah mengutuk pemimpin-pemimpin pembangkang secara terbuka. Ini
merupakan salahguna kuasa oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan RTM itu
sendiri.
RTM
beroperasi melalui dana cukai pendapatan yang dikutip daripada rakyat Malaysia bukan sahaja penyokong Barisan Nasional malah juga
penyokong Pakatan Rakyat. Adalah tidak
munasabah untuk RTM berat sebelah hanya memberi peluang kepada pihak Barisan
Nasional sahaja untuk berkempen politik.
Sungguh tidak adil kerana makan wang penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tetapi hanya memberi peluang
kepada Barisan Nasional. Ini adalah satu tindakan yang paling tidak bermaruah
dan menghina kepada semua kakitangan RTM yang diperkudakan oleh
pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.
Saya
mencabar kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang mahu menjadi hero
melalui RTM supaya memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat
untuk turut berbicara. Saya pasti tidak
ada seorang pemimpin Barisan Nasional termasuk Perdana Menteri untuk menyahut
cabaran ini. Mereka takut semua skandal-skandal mereka akan ke udara jika
pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat diberi peluang yang sama untuk berkempen melalui
RTM.
Saya
cuma mahu mengingatkan kepada semua kakitangan RTM supaya jangan sentiasa
mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang sentiasa menabur
fitnah. Fitnah merupakan satu dosa yang besar, orang-orang yang turut membantu
menghebohkan fitnah itu juga tidak kurang dosanya. Jalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh
rakyat dengan betul dan jujur.
Khamis, 3 Mei 2012
Petani Kampung Serkai Jadi Dihalau Oleh Penceroboh Tanah Wakaf
Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP
Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3/5/2012 di Kampung Serkai Jadi, Tronoh.
Petani Kampung Serkai Jadi Dihalau Oleh Penceroboh Tanah Wakaf
Petani-petani di Kampung Serkai Jadi dihalau oleh
pihak-pihak tertentu tanpa dokumen yang sah. Petani-petani ini mengusahakan
tanah ini sejak tahun 1982 iaitu lebih kurang
30 tahun. Mereka menyewa tanah ini daripada Majlis Agama Islam Dan Adat
Melayu Perak sejak 1 Jun 2008. Walaupun Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Perak hanya meluluskan tanah wakaf ini pada 29 September 2010, tetapi petani-petani yang
mengusahakan kawasan ini membayar sewa sejak tahun 2008 kepada Majlis Agama
Islam Dan Adat Melayu Perak.
Petani-petani kawasan ini bergantung kepada sumber pendapatan
ini untuk menyara hidup mereka. Antara usaha-usaha yang dijalankan di kawasan
ini ialah pertanian sayur-sayuran, penternakan kambing,lembu dan kerbau .
Petani-petani ini giat menjalankan aktiviti pertanian di tanah wakaf ini sejak
dulu lagi.
Tiba-tiba ada pihak tertentu telah memasang pintu pagar di
jalan masuk utama ke kawasan pertanian
mereka. Mereka dihalang daripada memasuki kawasan untuk menjalankan aktiviti
harian mereka. Satu kain rentang telah digantung di pintu pagar itu yang menyatakan “ NOTIS PEMBERITAHUAN, Kepada
semua yang menjalankan aktiviti di dalam kawasan ini, SILA KOSONGKAN DENGAN
KADAR YANG SEGERA”. Kenyataan kain
rentang juga terdapat unsur-unsur ugutan “ Bermula dari sekarang sebarang
masalah yang timbul pihak kami tidak bertanggungjawab.” Siapakah yang dimaksudkan ‘pihak kami’ ? “Siapakah yang
menggantung kain rentang ini? Apakah kuasa yang ada kepada pihak itu untuk
menghalau petani-petani ini? Tidak ada apa-apa dokumen yang menyatakan mereka
berhak untuk menghalau petani-petani yang mengusahakan tanah wakaf ini.
Pihak ketiga ini juga telah memulakan kerja-kerja mengorek
longkang di seluruh kawasan itu. Kerja-kerja diteruskan secara haram dan
menyalahi undang-undang kerana menceroboh tanah wakaf yang dimiliki oleh Majlis
Agama Islam Dan Adat Melayu Perak.
Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merugikan
petani-petani yang mengusahakan tanah ini. Mereka tidak dapat bekerja di kebun
selama 2 hari. Menurut salah seorang petani yang bernama Encik Mahmad Hashim Bin Abdul Manap yang
berumur 65 tahun, “ Saya tidak dapat mengutip hasil kebun seperti kacang
panjang dan mengalami kerugian anggaran sebanyak RM600 sehari”.Satu laporan
polis telah dibuat oleh beliau di Balai Polis Tronoh semalam.
Baru Najib Tahu Orang India Turut Membangunkan Negara?
Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP
Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 2/5/2012 di Batu Gajah.
Baru Najib Tahu Orang India Turut Membangunkan Negara?
Saya
rasa sungguh kecewa dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang telah
mengabaikan masyarakat India selama ini. Masyarakat India menjadi tulang belakang dalam pembangunan
negara ini. Mereka dibawa ke Tanah Melayu oleh penjajah British untuk berkerja
di ladang-ladang getah di seluruh negara.
Ketika itu, Malaysia merupakan pengeluar getah yang terbesar di
dunia. Getah menjadi salah satu sumber
pendapatan negara yang cukup besar.
Hasil daripada titik peluh orang-orang India yang bekerja di ladang-ladang
getah ini telah digunakan dalam memajukan
dan membagunkan negara ini. Sejarah membuktikan
bahawa kaum India telah memberi sumbagan yang besar dalam ekonomi negara ini.
Saya
sangat bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Lee Lam Thye yang
menyatakan bahawa masyarakat India telah memberi sumbagan yang amat besar dalam
proses pembangunan negara Malaysia.
Beliau juga berkata, “ kerana masyarakat India negara kita telah
membangun seperti yang kita lihat hari ini.”
Beliau mendakwa tiada siapa yang
boleh menafikan kenyataan itu. Sejak
kemerdekaan sumbagan masyarakat India adalah sangat dibanggakan dan perlu
dipuji.
Tan
Sri Lee Lam Thye juga berkata Datuk Seri Najib Tun Razak sedar tentang sumbangan masyarakat India dalam
membangunkan negara ini. Persoalannya sekarang ialah kenapa selepas 54 tahun
sejak kemerdekaan baru ada pemimpin
utama negara yang tahu dan mengakui
tentang hakikat ini? Adakah Tan Sri Lee Lam Thye telah berani berkata bahawa
mantan Perdana Menteri kita Tun Mahathir telah mengabaikan masyarakat India di
zaman kekuasaannya? Kenyataan Tan Sri Lee Lam Thye seolah-olah beliau menuduh
pimpinan Barisan Nasional sebelum Najib Tun Razak yang tidak prihatin terhadap
masyarakat India. Inilah punca kemunduran masyarakat India pada hari ini. Beliau
memuji Najib Tun Razak yang ‘baru bangun
dari tidur’ untuk membantu masyarakat India yang ketinggalan dalam semua aspek
pembangunan negara.
Saya
tidak sealiran pendapat dengan pemimpin veteran Tan Sri Lee Lam Thye yang
mengangkat Datuk Seri Najib seolah-olah menjadi hero masyarakat India. Tan Sri Lee Lam Thye berkata Perdana Menteri Najib Tun Razak telah
memperkenalkan banyak program-program
pembangunan untuk masyarakat India di bawah konsep 1Malaysia. Jika benar,
berapakah jumlah pengambilan pekerja-pekerja dari kalangan masyarakat India
daripada jumlah keseluruhan pengambilan ke dalam sektor awam sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Senaraikan semua jawatan-jawatan penting dalam sektor
awam yang telah diberikan kepada orang-orang India sejak Najib mengambil alih
jawatan Perdana Menteri. Tan Sri Lee Lam Thye harus menjawab soalan-soalan ini
sebelum memuji Datuk Seri Najib yang kononnya prihatin untuk membangunkan
masyarakat India yang mundur di negara kita. Saya berharap supaya jangan
membuat kenyataan-kenyataan politik yang bertujuan untuk menipu masyarakat
India yang telah pun tertipu dan
tertindas di bawah kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun.
Langgan:
Catatan (Atom)