Rabu, 22 Februari 2012

Keselamatan Murid Tanggungjawab Semua





Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak Pada 21/2/2012 di Batu Gajah.
Keselamatan Murid Tanggungjawab Semua
Pada 17/2/2012 lebih kurang jam 7.15 pagi satu kemalangan jalan raya telah berlaku dan meragut nyawa seorang budak sekolah. Kemalangan itu berlaku di jalan besar berhampiran dengan SK Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah.  Seorang murid perempuan berumur 10 tahun dari sekolah itu telah meninggal dunia pada hari yang sama kerana dilanggar oleh sebuah kereta. Pada pagi ini, saya telah menziarahi keluarga mangsa yang kehilangan anak kesayangan itu.
Keselamatan murid-murid sekolah harus diberi keutamaan oleh semua pihak.  Pihak sekolah harus mengambil semua langkah proaktif untuk memastikan keselamatan kanak-kanak sekolah. Keselamatan kanak-kanak sekolah harus diberi keutamaan kerana ibubapa mengharapkan pihak sekolah menjaga anak-anak mereka sebelum, sewaktu dan selepas sekolah. Ini adalah harapan semua ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Walau bagaimanapun, ibubapa juga tidak boleh mencuci tangan dengan hanya memberi tanggungan itu kepada pihak sekolah semata-mata. Ibubapa juga harus memastikan samada persekitaran sekolah itu adalah selamat untuk anak-anak mereka. Mereka juga harus meninjau dan memastikan  keselamatan jalan raya berhampiran dengan sekolah itu. Ibubapa melalui PIBG harus mengambil inisiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan sekolah anak-anak mereka.
Selain daripada itu, ibubapa juga harus mengingatkan anak-anak mereka supaya jangan bermain-main di jalan raya. Sebagai satu langkah keselamatan, Ibubapa dan bas sekolah harus mengambil dan menurunkan anak-anak mereka di tempat yang  lebih selamat ataupun jauh daripada jalan raya utama. Sering kali kita melihat kanak-kanak sekolah menunggu kenderaan mereka  berhampiran dengan jalan raya utama. Ini juga perlu dielakkan kerana ia juga boleh melibatkan kemalangan yang besar jika berlaku kecuaian daripada mana-mana pihak.
Pihak Jabatan Pelajaran Negeri juga harus membuat lawatan ke semua sekolah-sekolah di bawah bidang kuasa mereka untuk memastikan keselamatan murid-murid. Pemantauan aspek  keselamatan murid-murid sekolah harus diberi keutamaan oleh pihak sekolah dan juga JPN.
Pihak kerajaan tempatan juga perlu memastikan bahawa papan tanda sekolah dan bonggol menahan kejaluan dibina  di kawasan berhampiran dengan sekolah.  Selain daripada itu, pengguna jalan raya juga harus berhati-hati dan memberi tumpuan penuh apabila menghampiri kawasan sekolah. Sering kali, kanak-kanak terlalu cuai bermain atau berlari di jalan raya. Pemandu kenderaan pula tidak boleh mengelakkan kemalangan jika mereka memandu dengan laju atau tidak memberi tumpuan penuh di jalan raya.
Saya berharap pihak sekolah, JPN, ibu bapa, pemandu bas sekolah, pengguna jalanraya dan semua pihak memastikan keselamatan kanak-kanak sekolah. Tidak guna kita sesal kemudian setelah nyawa seorang anak hilang kerana kemalangan jalan raya yang boleh dielakkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan