Jumaat, 10 Disember 2010

Kebajikan Rakyat Harus Diutamakan




Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 10/12/2010



Kebajikan Rakyat Harus Diutamakan



Apakah fungsi Jabatan kebajikan Masyarakat kalau bukan untuk menjaga kebajikan rakyat. Jabatan Kebajikan Masyarakat harus member i keutamaan kepada factor-faktor kemanusiaan dan bukannya menimbulkan soal prosedur dan birokrasi. Sebagai seorang wakil rakyat saya berhadapan dengan masalah kebajikan rakyat tiap-tiap hari. Pelbagai aduan diterima daripada rakyat jelata bahawa permohonan mereka tidak dilayan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakt. Saya sendiri pernah menangani beberapa kes kebajikan yang tidak mendapat bantuan daripada pihak kerajaan.



Walaupun pada hakikatnya permohonan bantuan am kebajikan daripada pihak yang mengalami kesulitan kewangan tetapi tidak ada sebarang tindakan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya sendiri pernah membantu membuat permohonan untuk beberapa orang miskin yang amat memerlukan tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Batu Gajah. Perkara ini sangat menyedihkan kerana jabatan yang seharusnya bertanggung jawab menjaga kebajikan rakyat tidak memainkan peranan seperti mana yang diharapkan. Kalau benar kerajaaan Barisan Nasional mahu mendahulukan rakyat, maka jumlah peruntukan yang lebih banyak harus disediakan untuk menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat miskin.



Oleh kerana sikap tidak endah pihak kerajaan terhadap permohonan bantuan am, maka terbuktilah bahawa ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ merupakan satu slogan pilihanraya untuk mengkaburi mata rakyat. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak membuktikan kesungguhan dalam mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam memproses permohonan bantuan.



Tempoh proses permohonan bantuan adalah terlalu lama. Bantuan lambat adalah sama seperti tiada bantuan langsung. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat harus memenuhi piawaian yang ditetapkan untuk memproses dan memberi maklum balas untuk setiap permohonan yang diterima. Permohonan yang tidak dijawab menunjukkan sikap kakitangan yang angkuh dan merupakan satu penghinaan terhadap golongan yang memerlukan.



Ada juga kes-kes dimana bantuan kewangan yang diberikan itu diberhentikan tanpa memberitahu si penerima. Apabila si pemerima pergi ke bank untuk mengeluarkan wang bantuan, didapati wang tidak dimasukkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dengan rasa kecewa mereka menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengetahui sebab wang tidak dimasukkan dalam akaun mereka. Masa itu, mereka diberitahu bahawa pihak jabatan sedang membuat kajian semula bantuan yang diderikan itu. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana member i kejutan kewangan kepada penerima bantuan tersebut. Kerajaan bermain dengan emosi dan kemiskinan rakyat. Apa salahnya penilaian semula bantuan dibuat terlebih dahulu sebelum bantuan diberhentikan. Sekurang-kurangnya si penerima itu akan lebih bersedia untuk menerima kemungkinan bantuan kewangan itu akan diberhentikan pada masa hadapan.

1 ulasan: