Sabtu, 7 April 2012

Penternak Ikan Kui Kampung Baru Bali, Kecewa Dengan Kerajaan Perak

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 7/4/2012 di Batu Gajah.


Penternak Ikan Kui Kampung Baru Bali,Kecewa Dengan Kerajaan Perak

Negeri Perak menghasilkan bekalan terbesar ikan negara, baik untuk makanan begitu juga ikan hiasan. Adakah kerajaan negeri memberi sokongan secukupnya untuk penternak-penternak ikan? Mereka memerlukan bantuan, sokongan dan dokongan daripada kerajaan negeri. Apa gunanya kita hanya memberi statistik yang membanggakan tetapi tidak ada inisiatif kerajaan untuk membantu penternak-penternak ikan ini.
Penternak-penternak ikan hiasan tidak dibantu oleh kerajaan untuk mengiatkan lagi perusahaan ini. Penternak-penternak ikan hiasan di Tronoh, Sungai Siput, Gopeng dan beberapa tempat yang lain tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri. Malah kerajaan negeri sering kali menjadi penghalang dan sentiasa memberi masalah kepada penternak-penternak ini. Tanah dan kolam yang diusahakan oleh penternak-penternak ini diberi milik kepada pihak ketiga. Kemudian penternak-penternak ini diberi tekanan dan dihalau dari kawasan yang diusahakan oleh mereka. 

Saya rasa sedih melihat penternak-penternak ikan kui di Kampung Baru Bali, Tronoh. Produk ikan kui dari Kampung Baru Bali mempunyai gred atau kualiti yang cukup tinggi untuk pasaran antarabangsa. Setahu saya tidak ada apa-apa bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri Perak kepada penternak-penternak ikan kui ini. Pencapaian dan kemajuan yang dicapai oleh mereka setakat ini adalah hasil daripada titik peluh sendiri.
Mereka telah membuat permohonan tanah kolam bebarapa tahun yang lalu tetapi sehingga hari ini tidak ada maklum balas yang positif daripada kerajaan negeri. Jika tanah kolam itu diberi milik kepada penternak-penternak ini, maka perusahaan ini dapat digiatkan lagi oleh mereka. Penternak-penternak ini akan menanam lebih banyak modal dan membawa masuk teknologi moden untuk meningkatkan lagi kuantiti dan kualiti produk mereka.  

Pada zaman pemerintahan Pakatan Rakyat mereka hampir mendapat kelulusan. Tetapi, selepas rampasan kuasa berlaku di Perak, permohonan mereka ini telah diabaikan semula. Kerajaan negeri tidak ada niat untuk membantu golongan penternak ikan kui ini. Saya juga mendapat maklumat bahawa pihak-pihak lain mula mendapat hak milik tanah di kawasan itu. Ini bermaksud penternak-penternak Kampung Baru Bali telah dianiyaya oleh kerajaan dengan memberi hak milik tanah kepada orang-orang lain yang langsung tidak mempunyai kepentingan di atas tanah itu.

Bila Nak Berhenti Bohong?


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 6/4/2012 di Batu Gajah

Bila Nak Berhenti Bohong?

Budaya BN memperdayakan masyarakat India masih tidak berhenti lagi. Walaupun masyarakat India telah memberi satu pengajaran kepada BN dalam PRU12, tetapi mereka masih tidak berubah. BN tetap memberi janji-janji kosong untuk menipu masyarakat India semata-mata untuk mendapat undi mereka. Saya telah mengeluarkan satu kenyataan media mengenai isu sekolah Tamil di Jelapang 2 minggu yang lepas. Setakat ini tidak ada apa-apa maklum balas daripada kerajaan negeri mahupun MIC negeri Perak mengenai isu yang dibangkitkan. Saya difahamkan bahawa ada pemimpin-pemimpin MIC telah menjanjikan pembinaan sebuah sekolah Tamil di DUN Jelapang.  Adakah ini benar?

Jika kenyataan ini adalah benar, di manakah lokasi tanah yang telah dikenal pasti untuk membina sekolah Tamil itu di Jelapang? Adakah pihak yang mengeluarkan kenyataan itu telah membuat permohonan untuk tanah yang dikenal pasti itu? Jika ya, apakah status permohonan tersebut?

Setahu saya tidak ada apa-apa permohonan tanah dibuat oleh mana-mana pihak untuk membina sekolah Tamil di Jelapang.  Ini adalah satu pembohongan besar  yang dibuat oleh pemimpin BN untuk meraih undi masyarakat India di kawasan ini. 

Memang DUN Jelapang memerlukan sebuah sekolah Tamil. DUN Jelapang mempunyai 23% pengundi orang-orang India. Peratusan ini membuktikan bahawa terdapat jumlah isi rumah kaum India yang agak ramai di kawasan ini. Kanak-kanak di kawasan ini terpaksa pergi ke jauh lebih kurang 10km untuk sekolah Tamil yang paling hampir. Saya memang bersetuju dengan cadangan membina sebuah sekolah Tamil di Jelapang. Tetapi, apa yang dijanjikan oleh BN adalah sekadar ‘menanam tebu di bibir’. Saya meminta masyarakat India di kawasan DUN Jelapang  supaya jangan terpedaya dengan janji-janji pilihanraya BN.

Isnin, 2 April 2012

PENTERNAK SUNGAI GALAH DIHALAU

JAMUAN MAKAN MALAM DAP DUN TRONOH 3/4/2012 120 MEJA

MESYUARAT PIBG MENJADI PENTAS POLITIK

Benarkah Najib Menawarkan 1000 Tempat Matrikulasi Untuk Pelajar-pelajar India?

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 1/4/2012 di Jelapang

Benarkah Najib Menawarkan  1000 Tempat Matrikulasi Untuk Pelajar-pelajar India?

Pendana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan 1000 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India untuk sesi 2012/2013. Beliau mengumumkan hal  ini di program sambutan ponggal yang diadakan di Kapar pada 26/2/2012. Adakah pengumuman beliau itu benar dan ikhlas? Saya risau ini juga akan menjadi satu lagi janji kosong Barisan Nasional selepas pilihanraya. Saya tidak mahu Barisan Nasional menipu masyarakat India lagi. Jika benar apa yang dijanjikan oleh Najib, beberapa persoalan perlu dijawab berhubung dengan perkara ini. 

Pertama sekali, adakah pemberian 1000 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India ini telah dibincang dan diluluskan di dalam mesyuarat Kabinet? Jika ya, bilakah ia diluluskan?

Kedua, kenapakah perkara ini tidak diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga hari ini. Belaiu sebagai Menteri Pelajaran sepatutnya membuat pengumuman rasmi berhubung dengan pemberian 1000 tempat matrikulasi kepada pelajar-pelajar India. 

Ketiga, Kenapakah setakat ini masih belum  ada ‘blue print’ berhubung dengan perkara yang dibangkitkan. Pengumuman Najib patut disokong dengan ‘blue print’ yang terperinci bagaimana perkara ini akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Keempat, Najib harus memberi maklumat yang terperinci mengenai bilangan pelajar matrikulasi  yang akan diambil di setiap Instititut Pengajian Tinggi Awam. Bilangan pelajar mengikut universiti dan kolej perlu disenaraikan. 

Kelima, bilangan tempat mengikut program atau bidang kursus matrilukasi juga perlu disenaraikan untuk pengetahuan umum.

Kesemua persoalan di atas perlu dijawab oleh Najib sebelum janji yang dibuat  itu boleh dipercayai. Jika beliau tidak  berani  menjawap soalan-soalan di atas, maka sudah pasti janji ini merupakan janji kosong pilihanraya untuk memenangi hati masyarakat India.

Berhubung dengan perkara itu, Pakatan Rakyat Perak telah melancarkan satu risalah Bahasa Tamil meminta Najib menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan. Risalah tersebut telah dilancarkan di Pasar Awam Jelapang pada pagi ini.

Sabtu, 31 Mac 2012

Najib Takut Kalah lagi Di Perak


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 31/3/2012 di Ipoh
Najib Takut Kalah lagi Di Perak

Najib telah melakukan satu kesilapan besar dengan merampas kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat. Dalam PRU12, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, DAP dan PKR untuk memerintah negeri ini. Sejak 9 Mac 2008, Barisan Nasional telah cuba sedaya upaya untuk tumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Pelbagai taktik kotor telah direncanakan oleh Najib untuk mendapatkan semula negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. Semua agensi-agensi kerajaan telah disalahgunakan untuk mencapai matlamat Barisan Nasional itu. Akhirnya kerajaan pilihan rakyat telah ditumbangkan apabila 3 orang wakil rakyat berjaya ‘dibeli’ oleh Najib. 

Perbuatan yang sungguh jijik itu merupakan kesilapan maha besar  yang telah dilakukan oleh Najib. Beliau tidak sedar bahawa tindakan kejam itu boleh menghantui Barisan Nasional sehingga hari ini. Rakyat Malaysia, khususnya  rakyat Perak sangat marah terhadap, Najib, Zambry dan ADUN-ADUN ‘katak’ yang tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat Perak melalui pilihanraya. Mereka ini telah menderhaka kepada rakyat untuk kepentingan politik mereka. Golongan ini tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak. Perbuatan mereka ini juga telah meruntuhkan kemurniaan sistem demokrasi di negara kita.

Najib menyangka ‘rakyat  Perak mudah lupa’. Oleh yang demikian beliau berani merampas kerajaan Perak dengan menggunakan kekerasan  polis  dan  memanupulasikan mahkamah. Tetapi, rakyat Perak tidak melupakan perisiwa hitam yang berlaku pada awal tahun 2009. Segala apa yang berlaku masih jernih dalam ingatan seluruh warga Perak.  Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Perak selama 11 bulan dengan  cekap dan berkesan ditumbangkan kerana  ketamakan kuasa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Rakyat Perak kecewa kerana Pakatan Rakyat tidak diberi masa yang secukupnya untuk memerintah negeri dan membuktikan kewibawaannya. Sebelum Pakatan Rakyat melaksanakan polisi-polisi yang dirancang untuk  rakyat Perak, Barisan Nasional telah menggulingkan kerajaan itu dengan cara yang terkutuk.

Rakyat Perak mahu melihat satu perubahan dalam pentadbiran negeri ini. Mereka telah menolak kerajaan Barisan Nasional dalam PRU12, tetapi mereka kembali berkuasa melalui ‘pintu belakang’. Rakyat Perak bersedia untuk ‘ajar’ Barisan Nasional  dalam PRU13. Mereka sedang menunggu hari mengundi untuk mengembalikan kuasa rakyat. Najib dan kuncu-kuncunya sedar bahawa mereka telah  hilang kepercayaan rakyat Perak. Najib tahu Barisan Nasional akan tumbang semula di negeri Perak. Kali ini Barisan Nasional akan hilang lebih banyak kerusi kerana tindakan zalimnya merampas satu kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Oleh kerana Najib takut akan kalah besar, beliau terpaksa ‘turun padang’ banyak kali di negeri Perak. Beliau melancarkan pelbagai program, mengadakan banyak jamuan makan  dan memberi wang ringgit untuk mengambil hati rakyat Perak.  Najib terdesak dan terpaksa memberi tumpuan  melampau di negeri Perak kerana beliau  sedar tentang kesilapan yang telah dilakukan olehnya.  Dalam ‘road show’ Najib , Perak merupakan negeri yang paling kerap beliau turun padang untuk bertemu dengan rakyat. Ini membuktikan bahawa Najib kini takut kepada rakyat Perak yang sedang menanti untuk menghukumnya dalam PRU13.

Kerajaan telah membuat pembayaran RM608.68 juta sepanjang tempoh 11 minggu kepada rakyat melalui lawatan rasmi Najib  dan timbalannya Muhyiddin Yassin ke seluruh negara baru-baru ini. Jumlah ini merupakan  "peruntukan segera" yang diluluskan dari Januari hingga 15 Mac  yang telah diserahkan semasa lawatan mereka  berdua ke semua negeri, dengan Perak merekodkan kelulusan tertinggi sebanyak RM220.38 juta untuk 34 projek.  

Lebih daripada 1/3 jumlah peruntukan segera itu  telah ditaburkan di negeri Perak. Jelas bahwa Najib takut akan kalah teruk di negeri Perak dalam PRU13. Beliau tidak perlu berbelanja besar  di Perak jika Barisan Nasional benar-benar  mempunyai  keyakinan dan mempunyai peluang yang cerah untuk menang. Dulu Najib beli ‘katak’ di Perak, sekarang dengan konsep unggulnya ‘I help you, You help me’ beliau sedang bermati-matian untuk  membeli rakyat Perak itu sendiri.

Isnin, 26 Mac 2012

Transformasi Sektor Pertanian Tergendala Kerana Amalan Kronisme Dan Korupsi

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 26/3/2012 di Batu Gajah.

 (Penternak-penternak yang dihalau dari kawasan mereka usahakan di Sungai Galah, Perak)

 

Transformasi Sektor Pertanian Tergendala Kerana Amalan Kronisme Dan Korupsi


Petani-petani dan penternak-penternak sering kali menghadapi masalah gangguan daripada kerajaan ataupun agensi-agensi kerajaan. Sebilangan besar golongan petani dan penternak ini mengusahakan tanah kerajaan secara haram. Mereka mengusahakan tanah secara haram kerana kerajaan tidak mahu memberi hak milik tanah mahupun TOL kepada mereka. Jika kerajaan serius untuk menjaga kebajikan golongan petani dan penternak ini sudah tentu mereka akan diberi hak milik tanah ataupun sekurang-kurangnya TOL. Tetapi, kerajaan gagal untuk berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu.

Ini menyebabkan petani-petani dan penternak-penternak terpaksa menjalankan kegiatan mereka secara haram di atas tanah kerajaan. Kita tidak boleh mempersalahkan golongan petani dan penternak ini. Mereka mengusahakan tanah dan sumbangan mereka dalam sektor pertanian negara tidak boleh dinafikan. Mereka membantu mengurangkan masalah kekurangan makanan di dalam negara. Keluaran hasil pertanian petani-petani dan penternak-penternak secara haram ini memasuki pasaran makanan negara kita tiap-tiap hari. 

Apa akan berlaku jika sekirannya semua petani dan penternak ini memberhentikan aktiviti  pertanian mereka dengan serta-merta? Sudah tentu kita akan menghadapi masalah kekurangan makanan di dalam negara. Ini akan mengakibatkan pengantungan negara kita kepada negara lain untuk makanan akan bertambah. Dalam kata lain, pengimportan barang makanan akan tambah berlipat ganda. Ini akan meningkatkan lagi pengaliran dana kita ke negara asing. 

Kerajaan harus sedar kepentingan golongan petani-petani dan penternak-penternak ini. Mereka seharusnya diberi peluang pemilikan tanah atau diberi TOL untuk mengusahakan kegiatan pertanian di tanah itu. Apa yang pelik di negara kita ialah kaum petani dan penternak ini sentiasa ditindas oleh kerajaan dan pihak ketiga. Mereka ini sentiasa terdedah kepada ancaman pihak-pihak tertentu. Setelah mereka mengusahakan tanah berpuluh-puluh tahun, tiba-tiba tanah itu diberikan kepada pihak ketiga oleh kerajaan. 

Kenapa tawaran tanah  itu tidak diberikan kepada petani-petani yang mengusahakan tanah itu? Kenapa tapak tanah yang diusahakan oleh petani dan penternak itu diberikan kepada pihak ketiga yang langsung tidak ada kena mengena dengan tanah itu? Ini menbuktikan kewujudan amalan-amalan kronisme dan korupsi dalam sektor pertanian negara kita. Orang yang layak tidak diberikan tapak tanah untuk bertani, manakala pihak ketiga yang mempunyai hubungan politik pula boleh mendapat tanah itu dengan mudah. 

Saya tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Mohd Hashim Bin Abdullah,  Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani  di dalam portal rasmi kementerian itu. Berikut adalah ungkapan beliau:

“Sektor Pertanian merupakan salah satu sektor penting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana ia merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk dunia. Kebolehan sesebuah negara memajukan sektor pertanian di negaranya menunjukkan keupayaan negara tersebut membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyatnya. Oleh yang demikian, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan juga Belanda tidak meminggirkan pembangunan sektor pertanian di negara mereka, malahan ia dimajukan sebagai satu entiti perniagaan yang berdaya saing dan menguntungkan.

Malaysia merupakan negara pengimport makanan, bil imbangan dagangan makanan negara tidak pernah mencatatkan nilai lebihan, walaupun negara kita dirahmati dengan tanah yang subur, taburan hujan yang mencukupi serta iklim yang sesuai. Menyedari peluang dan potensi untuk membangunkan sektor ini, Kementerian ini telah diamanahkan untuk membangunkan sektor pengeluaran makanan atau sektor Agro-Makanan agar ia berdaya saing dan boleh menyumbang kepada pendapatan negara. Usaha untuk mentransformasikan sektor ini merupakan satu cabaran yang amat besar…..” 

Memang manis untuk mendengar matlamat kerajaan itu. Tetapi, indah khabar dari rupa, kerajaan tidak mengambil inisiatif untuk membantu petani-petani dan penternak-penternak yang mengusahakan tanah kerajaan secara haram. Malah, mereka ini sentiasa terdedah kepada ugutan dan desakan daripada pelbagai pihak. Matlamat kerajaan tidak akan tercapai jika golongan ini tidak dibantu. Transformasi tidak dapat dilaksanakan selagi terdapat unsure\-unsur kronisme dan korupsi dalam sektor ini.  

Kerajaan harus prihatin menyelesaikan masalah kaum petani dan penternak ini. Ramai diantara mereka tidak mengharapkan dorongan dan sokongan kerajaan. Mereka hanya mahu supaya  dibiarkan mengusahakan tanah tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

Sabtu, 24 Mac 2012

Benarkah Petani Sungai Galah Ditindas Oleh Kerajaan BN Perak?


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 24/3/2012 di Batu Gajah


Benarkah Petani Sungai Galah Ditindas Oleh Kerajaan  BN Perak?

10 orang penternak lembu dan kerbau di Sungai Galah, Kampung Gajah telah membuat laporan polis semalam. Mereka dihalau oleh pihak ketiga dari kawasan mereka menjalankan kegiatan  penternakan itu.  Ada dikalangan  penternak-penternak itu  yang mengusahakan kawasan tersebut lebih daripada 40 tahun. Tiba-tiba ada orang lain daripada luar yang masuk ke kawasan itu dan mengugut mereka keluar. Kononnya kerajaan negeri Perak telah meluluskan tanah itu kepada pihak ketiga ini yang langsung tidak menjalankan  apa-apa usaha di kawasan ini. 

Penternak-penternak itu cukup kecewa dengan kerajaan Perak yang tidak prihatin kepada mereka. Tetapi adakah benar tanah tersebut diluluskan kepada pihak ketiga itu oleh kerajaan Perak? Kami akan membuat siasatan lanjut mengenai perkara ini pada hari Isnin di Pejabat Tanah Dan Daerah Kinta, Batu Gajah. Walau bagaimanapun jentera-jentera pihak ketiga  itu telah memasuki ke kawasan mereka dua hari yang lepas untuk menggertak dan mengugut penternak-penternak ini. 

Pihak ketiga yang kononnya mendakwa tanah itu diberikan kepada mereka tidak menunjukkan apa-apa dokumen mengenai pemberian hak milik itu. Tambahan pula ada diantara diri mereka yang mengaku sebagai pegawai agensi kerajaan tetapi tidak menunjukkan apa-apa identiti pengenalan. 

Saya telah meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan berdasarkan 10 laporan polis yang dibuat oleh peneternak-penternak itu. Jika benar kerajaan telah memberikan hak milik tanah itu kepada  pihak ketiga, maka ini merupakan satu lagi penganiyayaan kepada kaum penternak yang mengusahakan tanah itu untuk sekian lama. Mereka ini akan hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga mereka.

Penternak-penternak menbuat aduan di pejabat saya pada hari ini kerana mereka mahu pembelaan daripada tindakan yang kejam dan tidak berkeperimanusiaan. Baru-baru ini terdapat banyak kes di negeri Perak di mana petani-petani dan penternak-penternak dihalau dari kawasan mereka semata-mata untuk membantu kroni-kroni kerajaan Perak  membuat projek-projek  atas nama ‘pembanguan’ dan alasan-alasan lain yang tidak munasabah. Mangsa-mangsa yang dihalau itu tidak dibela oleh kerajaan. Kezaliman kerajaan Barisan Nasional Perak harus ditamatkan riwayat  oleh pengundi-pengundi Perak dalam PRU13 nanti.