Isnin, 4 Januari 2016

PROGRAM HARI KELUARGA UNTUK MERAPATKAN HUBUNGAN RAKYAT

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 Jan 2016


Program-program sosial seperti Hari Keluarga dan Sukaneka adalah penting untuk merapatkan hubungan antara kaum terutamanya dikalangan penduduk setempat.
Memandangkan keperluan itu, penduduk Taman Impiana Adril telah menganjurkan Hari Keluarga pada 1 Januari 2016 sempena sambutan Tahun Baru.

Program ini dihadiri dari semua lapisan masyarakat yang merupakan penghuni di Taman Impiana Adril, Menglembu. Orang Melayu, Cina & India telah datang memberi sambutan baik kepada program Hari Keluarga ini.

Saya telah menghadiri program tersebut bersama-sama dengan ADUN Menglembu YB Lim Pek Har. Saya telah diberi peluang untuk memberi ucapan Tahun Baru kepada para hadirin.

Saya difahamkan bahawa jawatankuasa penganjur program Hari Keluarga ini bercadang untuk menubuhkan Persatuan Penduduk Taman Impiana Adril yang baru. Saya amat mengalu-alukan penubuhan ini kerana organisasi tersebut dapat membantu penduduk kawasan ini dengan cara yang lebih berkesan dan sistematik.

Tambahan pula, hubungan dan kerjasama penduduk Taman Impiana Adril juga dapat dieratkan terutamanya untuk membendung masalah jenayah di kawasan ini. Kami, kedua-dua wakil rakyat kawasan ini telah memberi sedikit sumbangan untuk memulakan persatuan penduduk ini.

Saya juga telah mencadangkan supaya banyak program-program kemasyarakatan dianjurkan setelah penubuhan persatuan penduduk.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan