Khamis, 7 Januari 2016

RM 260 Bilion Untuk Pembangunan Negara Di Bawah RMK11, Dari Manakah Pendapatannya?

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 Januari 2016 di Ipoh



Adakah Malaysia akan mencapai tahap pembangunan seperti yang dijangkakan dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas, 2016 – 2020?  Sasaran pertumbuhan ekonomi adalah 5 hingga 6 peratus setahun dalam tempoh ini. Sasaran ini tidak mudah untuk dicapai. Memandangkan ekonomi dunia yang tidak menentu dan dianggarkan pertumbuhan ekonomi hanya sekadar 3.9 peratus setahun, maka adalah sukar untuk negara kita mencapai prestasi yang disasarkan.

Kerajaan telah memperuntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM260 bilion bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke Sebelas. Untuk membelanjakan sejumlah wang yang besar ini, negara kita memerlukan pendapatan yang cukup tinggi. Tetapi, adakah suasana ekonomi negara dan persekitaranya akan mengizinkan negara kita memperolehi pendapatan yang lumayan dalam 5 tahun akan datang?

Unjuran ini dibuat berdasarkan andaian harga minyak mentah dunia sebanyak AS$70 setong. Tetapi, harga minyak mentah di pasaran dunia jauh lebih rendah pada masa sekarang. Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak telah mengalami pengurangan pendapatan yang amat besar kerana kejatuhan harga minyak ini. Kita juga tidak tahu samada harga minyak mentah akan menjunam lagi pada masa hadapan. Jika keadaan sedemikian berterusan sudah pasti ini akan memberi impak negatif terhadap makro ekonomi negara kita. Pembangunan negara juga akan turut terencat.

Saya juga tidak yakin bahawa kerajaan boleh mencapai sasaran bajet seimbang menjelang tahun 2020. Lima tahun akan datang merupakan tempoh masa yang dipenuhi pelbagai dugaan dan cabaran ekonomi bagi negara kita. Ditambah pula dengan penurunan nilai matawang Ringgit akan menjejaskan keutuhan ekonomi negara. Walaupun dijangka penurunan nilai matawang Ringgit akan meningkatkan eksport, tetapi ini tidak semestinya membawa keuntungan yang lumayan kepada negara kita.



Kita harus sedar bahawa import dari negara lain akan menjadi semakin mahal. Ini seterusnya akan meningkatkan harga barangan import di pasaran tempatan. Kadar inflasi negara akan meningkat. Adalah sukar untuk mengawal inflasi seperti ini.


Oleh yang demikian, kerajaan harus berhemat dalam segala bentuk perbelanjaan pengurusan dan pembanguan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke Sebelas. Rasuah, pembaziran, dan bocoran akan melemahkan lagi kedudukan ekonomi negara. 

Isnin, 4 Januari 2016

PROGRAM BACK TO SCHOOL DI IMPIANA ADRIL

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 Januari 2016



Pertama kali, Program " Back To School" telah dianjurkan oleh DAP Batu Gajah dan DAP Menglembu di kawasan rumah pangsa Taman Impiana Adril, Menglembu.

Sumbangan RM100 diberikan kepada 50 keluarga miskin untuk membantu mereka membeli barang keperluan sekolah anak-anak  mereka. Peserta dipilih dari kalangan kaum miskin yang benar-benar memerlukan bantuan ini.

Permohonan telah dibuat kepada pihak jawatankuasa pengelola pangsapuri. Selepas disaring 50 keluarga termiskin dipilih untuk diberi bantuan tersebut. Peserta terdiri daripada semua bangsa.

Bantuan ini diberikan oleh YB V.Sivakumar & YB Lim Pek Har kepada peserta-peserta yang layak. Program ini adalah penting untuk mengikat semangat perpaduan dan merapatkan rakyat dengan wakil rakyat.

Sebelum pemberian wang tunai, kedua-dua wakil rakyat telah melawat beberapa tingkat di bangunan rumah pangsa tersebut.



PROGRAM HARI KELUARGA UNTUK MERAPATKAN HUBUNGAN RAKYAT

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 Jan 2016


Program-program sosial seperti Hari Keluarga dan Sukaneka adalah penting untuk merapatkan hubungan antara kaum terutamanya dikalangan penduduk setempat.
Memandangkan keperluan itu, penduduk Taman Impiana Adril telah menganjurkan Hari Keluarga pada 1 Januari 2016 sempena sambutan Tahun Baru.

Program ini dihadiri dari semua lapisan masyarakat yang merupakan penghuni di Taman Impiana Adril, Menglembu. Orang Melayu, Cina & India telah datang memberi sambutan baik kepada program Hari Keluarga ini.

Saya telah menghadiri program tersebut bersama-sama dengan ADUN Menglembu YB Lim Pek Har. Saya telah diberi peluang untuk memberi ucapan Tahun Baru kepada para hadirin.

Saya difahamkan bahawa jawatankuasa penganjur program Hari Keluarga ini bercadang untuk menubuhkan Persatuan Penduduk Taman Impiana Adril yang baru. Saya amat mengalu-alukan penubuhan ini kerana organisasi tersebut dapat membantu penduduk kawasan ini dengan cara yang lebih berkesan dan sistematik.

Tambahan pula, hubungan dan kerjasama penduduk Taman Impiana Adril juga dapat dieratkan terutamanya untuk membendung masalah jenayah di kawasan ini. Kami, kedua-dua wakil rakyat kawasan ini telah memberi sedikit sumbangan untuk memulakan persatuan penduduk ini.

Saya juga telah mencadangkan supaya banyak program-program kemasyarakatan dianjurkan setelah penubuhan persatuan penduduk.