Jumaat, 18 Disember 2015

Kualiti Perkhidmat Sektor Kesihatan Perlu Ditingkatkan Jika Malaysia Benar-benar Berhasrat Menjadi Negara Maju

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 5 Disember 2015 di Ipoh

Perkhidmatan kesihatan adalah penting untuk menjamin kualiti hidup rakyat yang baik dan imej negara yang bersasarkan Wawasan 2020 iaitu Malaysia sebagai sebuah negara maju. Sektor kesihatan ini boleh menjadi salah satu faktor penentu kejayaan negara mencapai hala tuju yang dimuktamadkan oleh Perdana Menteri yang Keempat Tun Dr Mahathir.

Jika negara kita tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan yang baik, maka adalah tidak wajar untuk  dianggap sebagai sebuah negara maju. Ini adalah kerana salah satu kriteria negara maju ialah mempunyai perkhidmatan kesihatan yang  unggul dan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada kos yang berpatutan.

Sistem kesihatan yang baik juga merupakan kebanggaan sesebuah negara. Kita sudah pastinya mahu negara kita menaikkan taraf perkhidmatan kesihatan kepada taraf dunia ataupun ‘world class’. Tetapi adakah ini boleh dicapai dalam tempoh 5 tahun  akan datang?

Negara kita berhasrat mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Kita hanya mempunyai satu lagi rancangan  lima tahun iaitu Rancangan Malaysia Yang Ke Sebelas (RMK11) untuk menjayakan aspirasi tersebut. Tetapi, dalam jangka masa 5 tahun itu, bolehkah negara kita meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan pada tahap yang dibanggakan itu? Bolehkah kita bersaing dengan negara-negara maju yang lain?

Saya ingin memberi satu contoh di sini iaitu mengenai klinik kesihatan di kawasan bandar iaitu Klinik Kesihatan Buntong. Klinik Kesihatan Buntong ini sebenarnya terletak di kawasan Parlimen Batu Gajah. Saya tidak menafikan bahawa rakyat setempat telah mendapat akses perkhidmatan perubatan daripada klinik itu. Tetapi, adakah perkhidmatan yang diberikan itu boleh diberi kepujian?

Apabila pelanggan-pelanggan atau pesakit-pesakit klinik kesihatan itu diminta untuk memberi komen, mereka mengemukakan beberapa rungutan yang berasas. Satu daripadanya ialah mengenai masa menunggu yang terlalu lama. Mereka berpendapat klinik berkenaan tidak mencukupi kakitangan.

Pada kebiasaanya, diperhatikan bahawa banyak diantara kaunter-kaunter pendaftarannya  ditutup sepanjang masa. Alasannya ialah tidak cukup kakitangan yang disediakan oleh pihak kementerian. Ini menyebabkan pesakit-pesakit terpaksa menunggu berjam-jam sebelum berjumpa dengan pegawai perubatan.

Selain daripada itu, saya juga difahamkan bahawa tidak ada perkhidmatan ambulans di Klinik Kesihatan Buntong. Adakah ini benar? Jika benar, kenapa? Saya dimaklumkankan bahawa Klinik berkenaan pernah memiliki ambulansnya tersendiri suatu ketika dahulu. Apa telah terjadi kepada ambulans milik Klinik Kesihatan Buntong itu?

Inilah keadaan di sebuah Klinik Kesihatan di kawasan Bandar. Bagaimanakah pula klinik-klinik yang wujud di kawasan luar bandar dan pendalaman? Sudah pasti lebih teruk keadaannya daripada ini. Bayangkan  perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan kepada Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas, kerajaan telah menggariskan 4 strategi untuk mencapai akses sejagat kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti. Strategi-strategi itu ialah seperti berikut:

 1.  Meningkatkan sokongan yang bersasar, khususnya bagi masyarakat yang       kurang mendapat akses kepada perkhidmatan.
     2.     Menambah baik sistem penyampaian untuk ‘outcome’ kesihatan yang           lebih baik.  
     3.    Memperluaskan kapasiti bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan       penjagaan kesihatan
     4.   Mempergiatkan kerjasama antara sektor awam, swasta dan NGO untuk         meningkatkan kesedaran kesihatan.

Pada hemat saya pelaksanaan 4 strategi di atas memerlukan masa yang lebih panjang. Memandangkan keadaaan ekonomi negara yang semakin merudum, adalah sukar untuk mencapai matlamat yang disasarkan itu dalam tempoh 5 tahu akan datang. Walau bagaimanapun, kerajaan harus memberi tumpuan utama kepada sektor kesihatan negara kita dalam soal-soal infra struktur, peralatan, perkidmatan kecemasan, pencegahan penyakit dan  kawalan jangkitan.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan