Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu
Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 5 Disember 2015 di Ipoh
Perkhidmatan kesihatan adalah penting untuk menjamin
kualiti hidup rakyat yang baik dan imej negara yang bersasarkan Wawasan 2020
iaitu Malaysia sebagai sebuah negara maju. Sektor kesihatan ini boleh menjadi
salah satu faktor penentu kejayaan negara mencapai hala tuju yang dimuktamadkan
oleh Perdana Menteri yang Keempat Tun Dr Mahathir.
Jika negara kita tidak mempunyai perkhidmatan
kesihatan yang baik, maka adalah tidak wajar untuk dianggap sebagai sebuah negara maju. Ini
adalah kerana salah satu kriteria negara maju ialah mempunyai perkhidmatan
kesihatan yang unggul dan dapat
dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada kos yang berpatutan.
Sistem kesihatan yang baik juga merupakan kebanggaan
sesebuah negara. Kita sudah pastinya mahu negara kita menaikkan taraf
perkhidmatan kesihatan kepada taraf dunia ataupun ‘world class’. Tetapi adakah
ini boleh dicapai dalam tempoh 5 tahun
akan datang?
Negara kita berhasrat mencapai taraf negara maju pada
tahun 2020. Kita hanya mempunyai satu lagi rancangan lima tahun iaitu Rancangan Malaysia Yang Ke
Sebelas (RMK11) untuk menjayakan aspirasi tersebut. Tetapi, dalam jangka masa 5
tahun itu, bolehkah negara kita meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan pada
tahap yang dibanggakan itu? Bolehkah kita bersaing dengan negara-negara maju
yang lain?
Saya ingin memberi satu contoh di sini iaitu mengenai
klinik kesihatan di kawasan bandar iaitu Klinik Kesihatan Buntong. Klinik
Kesihatan Buntong ini sebenarnya terletak di kawasan Parlimen Batu Gajah. Saya
tidak menafikan bahawa rakyat setempat telah mendapat akses perkhidmatan perubatan
daripada klinik itu. Tetapi, adakah perkhidmatan yang diberikan itu boleh
diberi kepujian?
Apabila pelanggan-pelanggan atau pesakit-pesakit klinik
kesihatan itu diminta untuk memberi komen, mereka mengemukakan beberapa
rungutan yang berasas. Satu daripadanya ialah mengenai masa menunggu yang
terlalu lama. Mereka berpendapat klinik berkenaan tidak mencukupi kakitangan.
Pada kebiasaanya, diperhatikan bahawa banyak diantara kaunter-kaunter
pendaftarannya ditutup sepanjang masa.
Alasannya ialah tidak cukup kakitangan yang disediakan oleh pihak kementerian.
Ini menyebabkan pesakit-pesakit terpaksa menunggu berjam-jam sebelum berjumpa
dengan pegawai perubatan.
Selain daripada itu, saya juga difahamkan bahawa tidak
ada perkhidmatan ambulans di Klinik Kesihatan Buntong. Adakah ini benar? Jika
benar, kenapa? Saya dimaklumkankan bahawa Klinik berkenaan pernah memiliki
ambulansnya tersendiri suatu ketika dahulu. Apa telah terjadi kepada ambulans
milik Klinik Kesihatan Buntong itu?
Inilah keadaan di sebuah Klinik Kesihatan di kawasan
Bandar. Bagaimanakah pula klinik-klinik yang wujud di kawasan luar bandar dan
pendalaman? Sudah pasti lebih teruk keadaannya daripada ini. Bayangkan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh
Kementerian Kesihatan kepada Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Sabah dan
Sarawak.
Dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas, kerajaan telah
menggariskan 4 strategi untuk mencapai akses sejagat kepada penjagaan kesihatan
yang berkualiti. Strategi-strategi itu ialah seperti berikut:
1. Meningkatkan
sokongan yang bersasar, khususnya bagi masyarakat yang kurang mendapat akses
kepada perkhidmatan.
2. Menambah baik
sistem penyampaian untuk ‘outcome’ kesihatan yang lebih baik.
3. Memperluaskan
kapasiti bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan
4. Mempergiatkan
kerjasama antara sektor awam, swasta dan NGO untuk meningkatkan kesedaran
kesihatan.
Pada hemat saya pelaksanaan 4 strategi di atas
memerlukan masa yang lebih panjang. Memandangkan keadaaan ekonomi negara yang
semakin merudum, adalah sukar untuk mencapai matlamat yang disasarkan itu dalam
tempoh 5 tahu akan datang. Walau bagaimanapun, kerajaan harus memberi tumpuan
utama kepada sektor kesihatan negara kita dalam soal-soal infra struktur, peralatan,
perkidmatan kecemasan, pencegahan penyakit dan
kawalan jangkitan.